Komunikasi di kalangan kanak-kanak adalah satu cara untuk menyampaikan maksud hati atau mempertahankan diri dalam bentuk perkataan atau bahasa badan dan mahu difahami dan disayangi.

Pada peringkat awal, mungkin komunikasi kanak-kanak tidak dipengaruhi dengan unsur negatif seterusnya mendedahkan mereka kepada mencarut. Namun, setelah mereka meningkat usia, perkara ini sukar dibendung.

Kanak-kanak akan lebih terdedah kepada mencarut jika  mereka kerap kali mendengar perkataan, perbuatan atau gambar negatif atau mencarut. Lama-kelamaan, besar kemungkinan mereka akan membesar dengan bahasa yang tidak baik. Bagi menangani masalah ini agar tidak berleluasa,  anda boleh mengambil kira beberapa langkah di bawah:

1 - IBU BAPA CONTOH TERBAIK
Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dalam mendidik mereka berkomunikasi. Sebagai ibu bapa,  gunakan bahasa yang baik dalam berkomunikasi. Elakkan diri daripada menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘bodoh’. Teori ‘social learning’ atau ‘modelling’ ada mengatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian.

2 - PANTAU RANCANGAN TV
Cuba peruntukkan sedikit waktu bersama anak-anak. Anda dapat memantau rancangan televisyen(tv) yang mereka tonton. Perhatikan kata-kata (dialog) yang digunakan oleh watak dalam rancangan tersebut. Kadang kala penggunaan perkataan yang tidak sesuai sangat jelas dan kerap kali digunakan dalam setiap rancangan kartun sama ada alih bahasa atau rancangan kartun terbitan tempatan seperti perkataan ‘tak guna’. Sebagai orang yang lebih dewasa, cuba anda terangkan bahawa perkataan itu tidak sesuai digunakan dalam percakapan harian. Cuba jelaskan secara terperinci berserta contoh agar mereka memahaminya.

3 - PIHAK BERWAJIB MAINKAN PERANAN
Oleh kerana terlalu banyak rancangan kartun dialih suara dan kerap kali menggunakan perkataan yang tidak manis di sebut anak-anak, oleh itu pihak berwajib harus tampil ke hadapan untuk membendung masalah ini. Sekatan atau tapisan harus dibuat agar perkara ini tidak berleluasa seterusnya menyebabkan kanak-kanak terpengaruh dengan perkara-perkara tidak elok.

4 - TERAPKAN NILAI KEAGAMAAN DALAM PERTUTURAN
Kanak-kanak yang baru dilahirkan itu adalah fitrah, ibu bapalah yang mencorakkan. Jadi mulakanlah setiap hari dengan perkataan yang baik-baik. Dalam Islam sendiri, segala perbuatan  yang dilakukan perlu dimulakan dengan ucapan ‘bismillah’. Anak-anak akan belajar dan mengikut perbuatan ibu bapanya. Sekiranya, ibu bapanya mencarut maka anak juga akan mencarut.

5 -
KAWAL PERGAULAN KANAK-KANAK

Paling penting yang harus ibu bapa lakukan adalah mengawal pergaulan anak-anak. Setiap saat, anda harus pastikan anak-anak anda bersama dengan siapa, apa yang dibuat dan kata-kata yang dia gunakan. Jika dibiarkan tanpa pemantauan, anak-anak akan rasa bebas, seterusnya membuat apa sahaja yang mereka mahukan. Kalau ibu bapa lambat menyedari  akan pengaruh yang tidak baik ini kepada anak-anak mereka sedangkan anak-anak mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu, maka ini akan menyebabkan anak memberontak dan berfikir ibu bapanya tidak menyayangi mereka lagi. Jadi, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
sumber
Kemampuan fizikal yang meningkat ditambah dengan keyakinan diri yang tinggi membuat kanak-kanak lebih berani mengambil risiko. Tidak hairanlah jika ibu bapa terleka sedikit, si anak sudah lenyap daripada pandangan mata.

Keberaniannya ini membuat jantung anda berdetak dengan pantas. Apa lagi jika ia berlaku di kawasan yang asing buat si anak. Oleh itu ibu bapa harus mendidik anak beberapa cara menghadapi kemungkinan anak hilang atau tersesat.




Wajib dilakukan:


  • Ajarkan anak menghafal alamat dan nombor telefon ibu bapa.
  • Bantu anak menulis data-data dirinya pada kertas dan lapisi dengan plastik laminate. Gantungkannya pada beg anak. Ingatkan anak untuk menunjukkan kad tersebut pada petugas atau orang yang menemuinya.
  • Biasakan mengajak anak melakukan orientasi ruang setiap kali ke tempat awam. Contohnya, menunjukkannya kaunter pertanyaan atau memperkenalkannya kepada polis bantuan atau pengawal keselamatan melalui uniform yang dipakai. Minta anak merujuk kepada pihak tersebut jika terpisah daripada anda. 
  • Biasakan anak-anak memakai pakaian berwarna terang atau cerah. Ini memudahkan anda mencarinya jika berada di antara kerumunan orang ramai. Begitu juga anda agar mudah dikenali anak.
  • Lakukan latihan dan simulasi di rumah secara berkala untuk mengingat kembali ‘pelajaran’ anda tentang apa yang perlu dilakukannya dalam situasi tersebut. Dengan cara ini anak akan terus-menerus diingatkan mengenai apa yang harus dilakukan jika ia terpisah daripada anda.
Berikut adalah beberapa tips penting mengenai tata cara penyimpanan susu, agar susu awet dan tetap selamat untuk diminum.



  • Untuk susu kemasan yang masih tertutup, anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk. Pastikan susu tersimpan dengan baik pada suhu 1-4 darjah celcius. Sebaiknya, tempatkan susu pada bahagian tengah peti sejuk. Elakkan menyimpan susu pada bahagian pintu peti sejuk kerana ini akan membuatkan kualiti susu akan berkurangan disebabkan suhu yang berubah-rubah ketika membuka dan menutup peti sejuk.
  • Bagi anda yang kerap menyimpan susu tepung di dalam jumlah yang banyak, simpan susu di dalam bekas yang tertutup rapat. Atau, anda boleh simpan di dalam bekas kedap udara yang juga tertutup. Kemudian, letakkan di dalam peti sejuk dengan suhu 10-15 darjah celcius.
  • Sebaiknya, minum susu cair di dalam kemasan yang telah dibuka pada hari yang sama. Kebiasaannya menuang susu dan kemudiannya memasukkannya semula di dalam peti sejuk selama berhari-hari akan menyebabkan susu rosak serta mudah dicemari bakteria.
  • Untuk susu pekat manis yang telah dibuka kemasannya, simpanlah di dalam peti sejuk. Pastikan anda tidak mengambilnya lagi selepas 20 hari.
  • Jangan lupa untuk selalu memerhatikan tarikh luput susu setiap kali anda membelinya atau setelah beberapa hari menyimpan. 
Jangan hanya fokuskan kecantikan kepada wajah sahaja. Anda juga perlu memastikan bahagian anggota badan anda yang lain seperti siku dan lutut juga dalam keadaan yang cantik dan bersih.

Berikut terdapat petua yang boleh anda ikuti sebagai cara untuk menjaga kecantikan siku dan lutut anda. Salah satunya adalah dengan menggunakan buah lemon.

Caranya, 
  • sediakan sebiji buah lemon dan dibelah kepada dua bahagian. 
  • Kemudian, ramas sebelah lemon pada sebelah siku atau lutut anda dan biarkan basah selama 10 minit.
  • Lakukan perkara yang sama pada bahagian siku atau lutut lagi satu. 
  • Setelah itu, cuci bersih siku atau lutut dan sapu losen untuk kulit.


Inshaallah rawatan ini memang berhasil sekiranya sering diamalkan. Selamat mencuba! 
Seorang rakan bertanya kepada saya mengapa setiap kali dia berbuat kebaikan contohnya, tidak meninggalkan solat, solat tepat pada waktunya, memberi sedekah dan membuat amal kebajikan, namun dia sentiasa dilanda musibah atau perkara-perkara tidak baik. Akibatnya dia takut berbuat baik. Bukan tidak redha dengan ketentuan Ilahi tetapi dia tidak faham mengapa keadaan sebegini dialaminya. Harap Ustaz dapat membantu.

Kiriman :-
Rabitah Amir

JAWAPAN

Isu kali ini secara ringkasnya adalah tentang persoalan tentang ibadah yang selalu diuji dengan musibah. Ibadah adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh setiap Muslim.

Ibadah terbahagi kepada dua – ibadah khusus dan ibadah umum dan dari segi kefarduannya terbahagi kepada fardu ain dan fardu kifayah.

Ibadah bermaksud pengabdian kepada Allah, ibadah khusus seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan lain-lain adalah hubungan secara langsung antara manusia dengan Allah. Ibadah umum pula adalah segala amalan hidup manusia yang baik dan tidak bertentangan dengan syarak yang diniatkan kerana Allah.

Melalui ibadah manusia berhubung baik dengan Allah tetapi dalam persoalan ini adalah persoalan yang berbeza. Antara ibadah dan ujian kepada manusia adalah selalu berlaku. Malah ia akan selalu datang kepada manusia.

Tiada kaitan ujian Allah dan ibadah manusia. Manusia tetap perlu beribadah dan ujian tentunya akan selalu dating kepada manusia. Ibadah terutamanya ibadah khusus yang bersifat fardu ain tidak boleh ditinggalkan walau bagaimana keadaan sekalipun.

Fardu kifayah amat digalakkan bagi meningkatkan hubungan manusia dengan Allah dan bagi penambahan kebaikan dan pahala. Ibadah umum yang diniatkan kepada Allah adalah digalakkan kepada manusia bahawa dalam kehidupan sehari-harian hubungan dengan Allah tidak boleh dipisahkan dan akan sentiasa diberikan pahala.

Meninggalkan fardu ain yang bersifat khusus seperti solat zakat dan ibadah lain akan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Kepada yang bertanya, hendaklah meneruskan usaha dalam amal ibadah begitu juga kepada kita semua. Berikan penghayatan yang besar kepada ibadah khususnya fardu ain ini supaya dapat kita menjaga hak-hak Allah SWT.

Sebagaimana firmannya, “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Jelas bahawa ibadah adalah tujuan hidup manusia. Meninggalkan ibadah adalah bermaksud lari daripada kewajipan dan tujuan hidup kita. Persoalan kepada semakin banyak ibadah semakin banyak musibah.

Beberapa perkara hendaklah difikirkan. Pertama, jangan kita kaitkan antara ibadah dan musibah atau ujian antara bala yang menimpa. Kewajipan kita hanya untuk beribadah dan mempertingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah sebaik mungkin. Jika kita ditimpa musibah atau bala yang memang kita tidak inginkan maka kita hendaklah mempunyai fikiran yang jelas bahawa ia datang daripada Allah.

Kedua, jangan mengeluh dan keluh kesah dalam hati seolah-olah Allah tidak sayang kepada kita sebab semakin cuba jadi baik dan beribadah semakin banyak pula bala yang datang.

Sebaliknya cubalah menanam rasa redha terhadap apa jua yang diberikan Allah dalam hidup. Jika ada bala dalam hidup ini menerima ujian kecil atau besar tentulah ada hikmah di sebalik ujian itu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Alangkah baiknya hidup orang mukmin itu jika dia dapat kebaikan dia bersyukur dan jika mendapat musibah dia bersabar.”

Daripada hadis di atas Nabi menyuruh kita bersyukur dengan apa yang ada dan bersabar dengan segala musibah yang dihadapi.

Nasihat saya supaya kita sama-sama bersabar dalam setiap cubaan Allah dan kesusahan, kesenangan dan apa jua yang berlaku dalam hidup kita. Kadang-kadang apa yang kita kehendaki itu sebenarnya bukan yang terbaik untuk kita tapi apa yang kita tidak sukai itulah yang terbaik untuk kita dari Allah. Terimalah segalanya dengan hati tenang dan ingatlah ia adalah qada’ dan qadar Allah.

Manusia biasanya terlupa tentang rukun keenam dalam rukun iman. Percaya kepada qada dan qadar Allah adalah iman mempersoalkan kehendak Allah adalah satu kesalahan. Manusia telah dikurniakan qada dan qadar. Telah ada wahyu sebagai petunjuk maka hendaklah berusaha menjadi yang terbaik dan redha akan setiap kurniaan Allah baik dan buruk.

Ini yang membentuk iman dan hendaklah selalu bersangka baik kepada Allah. Mohonlah selalu akan rahmat Allah dan jangan berputus asa dalam berdoa. Mudah-mudahan kehidupan kita akan selalu dirahmati oleh Allah.

Oleh: USTAZ AZHAR TUARNO
(Imam Masjid Negara merangkap Penolong Pengarah  Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Kuala Lumpur)
sumber




Sakit di bahagian belakang, sukar membuang air besar dan terkencing apabila terbatuk mungkin kerap dialami kebanyakan wanita. Namun, tidak ramai mengetahui masalah sebenar gejala ini sehinggalah ke peringkat agak teruk dan mendesak mereka membuat pemeriksaan doktor.

Rahim jatuh! Mungkin ramai yang berkerut dahi tatkala mendengar perkataan ini. Namun, kenyataan di atas adalah antara gejala-gejala yang dikaitkan dengan masalah rahim jatuh.

Rahim jatuh atau dalam bahasa perubatan dikenali sebagai Uteral Viginal Prolapse (UVP) adalah situasi di mana rahim turun/jatuh dari tempat asal melalui saluran faraj atau kadang-kadang berada di luar saluran faraj.

Dianggarkan kira-kira 30% daripada wanita yang pernah bersalin secara normal dan lebih daripada dua atau tiga kali bersalin akan berasa ada simptom-simptom rahim jatuh.

Walau bagaimanapun, simptom-simptom ini berlaku secara berlainan. Sesetengahnya mendapat gejala yang sedikit dan tidak mempengaruhi hidup mereka. Sesetengahnya pula mendapat gejala yang teruk sehingga mempengaruhi dan mengganggu gaya hidup.

Antara gejala-gejala yang biasa dialami disebabkan masalah ini ialah:

  • Sakit belakang
  • Berasa tidak selesa semasa mengadakan hubungan kelamin kerana berasa seperti ada benda yang turun di bahagian vagina
  • Ada sesetengah yang mengalami keadaan agak teruk sehingga rahimnya terkeluar sepenuhnya dan akan berasa ada benda yang menyebabkan susah hendak duduk, susah hendak berjalan dan sesetengahnya pula tidak boleh mengawal kencing atau mudah terkencing/terkucil apabila batuk.
  • Gejala lebih teruk lagi ialah sukar hendak membuang air besar kerana apabila ini berlaku ia menarik sekali dinding faraj. Saluran air besar yang sepatutnya akan memasuki ruang lain sehingga menyebabkan sukar untuk membuang air besar.


Apabila rahim terkeluar dalam jangka masa yang lama, ia akan menyebabkan kulit pada rahim kering dan senang/mudah menjadi ulser dan kadang-kadang boleh menyebabkan pendarahan terutama sekiranya lambat mendapat rawatan.

Tiga peringkat masalah rahim jatuh:

  • Peringkat pertama - rahim turun sedikit sahaja
  • Peringkat kedua - rahim sedikit terkeluar pada lubang faraj
  • Peringkat ketiga – rahim terkeluar sepenuhnya. Pada peringkat ini ia boleh mengganggu proses membuang air. 
Bentuk buah yang sedikit lonjong dan berbulu halus menjadikan kiwi sebagai buah yang unik. Dengan rasa manis-manis masam ia bukan setakat boleh dimakan begitu sahaja malah, boleh disesuaikan dengan hidangan lain. Anak-anak anda juga tidak perlu lagi mengambil sebarang suplemen kerana buah kiwi sudah mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Khasiat kiwi :


  • Sebagai buah yang menghasilkan vitamin C terbesar berbanding buah-buah lain, dan vitamin E dalam buah kiwi berfungsi sebagai antioksida, pencegah sel kanser, mengekalkan kesihatan menyeluruh, mencegah penyakit tulang bengkok, mencegah diri daripada serangan selesema. Vitamin C dalam setiap kiwi juga dapat memelihara kulit agar tetap sihat dan bersih.
  • Mengandungi actinides yang mengatasi sembelit.
  • Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pencernaan, kiwi ada jawapannya. Kandungan seratnya yang tinggi juga dapat membantu melancarkan proses pencernaan.
  • Kini ramai yang telah mengalihkan pemakanan buah kepada buah kiwi kerana ia kaya dengan khasiat imunisasi yang menghindar dari sebarang bentuk sebaran penyakit. Ia amat baik khususnya untuk kanak-kanak agar kekal cergas.
  • Kiwi turut mengandungi beta karoten yang baik untuk kesihatan mata anak-anak anda.
  • Kanak-kanak juga disarankan memakan buah kiwi kerana ia turut membantu mengawal kadar kolesterol dan kadar gula dalam darah kerana kandungan glisemiknya yang rendah.
  • Sesuai dijadikan diet harian sejak kanak-kanak lagi memandangkan mereka kini terdedah dengan masalah obesiti.
Kebanyakan ibu bapa mengelak untuk meminta bantuan orang tua dalam mengasuh bayi kerana bimbang akan membebankan mereka, selain berpendapat datuk dan nenek ini akan terlalu manjakan cucu.

Konflik pola asuhan sering kali terjadi antara ibu bapa muda ini dengan datuk nenek.
Mengapa ini terjadi?



Namun konflik boleh dicegah dalam suasana komunikasi yang efektif, seperti berikut : -
  • Membicarakan secara terbuka mengenai harapan anda terhadap datuk nenek dalam menerapkan pola asuhan. Jelaskan anda dan pasangan sudah sepakat tentang cara pengasuhan anak. 
  • Hargai pendapat datuk nenek  apabila mereka mempunyai cara pandang yang berbeza dengan anda. Namun tegaskan bahawa anda mempunyai tujuan mulia daripada cara anda mengasuh anak. 
  • Ajak datuk nenek untuk menambah pengetahuan tentang cara mengasuh anak, misalnya dengan mengajaknya mengikuti seminar pengasuhan anak atau membaca majalah dan buku bekaitan. 
  • Ajak datuk nenek berbahagi peranan dalam mengasuh anak. Misalnya anda yang membuat aturan dalam mendisplinkan anak, manakala datuk nenek ikut menerapkannya. 
  • Jelaskan pada oang tua bahawa perbezaan pola asuhan akan menimbulkan kekeliruan pada anak. Penerapan disiplin akan sukar berjalan seperti yang diharapkan. 
  • Jalin keakraban dengan datuk nenek agar tidak terjadi perselisihan faham. Misalnya dengan mengajaknya makan di luar atau rekreasi. 
  • Hindari perselisihan secara terbuka di depan anak. 
sumber
Sebagai seorang wanita yang bekerjaya, amat penting untuk anda memastikan penampilan sentiasa nampak rapi dan terurus.


Jangan biarkan wajah polos dan pucat tanpa sebarang solekan pada kulit wajah. Tidak perlu solekan tebal. Cukup sekadar solekan tipis untuk menaikkan seri pada wajah anda. Paling penting anda tidak memerlukan masa yang lama untuk berbuat demikian.


Selepas memakai penyegar dan krim pelembap, sapukan sunblock yang mengandungi kandungan SPF bagi melindungi kulit wajah. Sapukan bedak debu atau pun bedak dwi cara pada kulit wajah.


Bentukkan kening dengan pensil kening agar nampak lebih rapi. Kemudian layangkan pemerah pipi pada wajah diikuti gincu dan juga pengilat bibir.
sumber

Meski pun wanita sangat sinonim melakukan diet bagi mendapatkan berat badan ideal, golongan lelaki juga turut tidak terkecuali.  Sesekali lihat bentuk badan pada cermin. Adakah perut makin ke depan? Lemak makin tertonjol di sana sini? Jika ya, buat persediaan awal dengan melakukan diet sihat seperti di bawah:


1 - Makanan gantian
Gantikan makanan kegemaran anda dengan juadah yang kurang lemak, gula atau garam. Jika selama ini anda gemar susu penuh krim, mungkin anda boleh gantikan dengan susu rendah lemak.

2 - Minum banyak air suam
Banyakkan minum air suam menggantikan air bergas atau jus kordial. Adakah anda tahu, air bergas boleh menambahkan kalori anda sebanyak 360 kJ sehari?

3 - Banyakkan pergerakan 
Melakukan pergerakan seperti bersenam akan membakar kalori. Anda bebas berjoging, main futsal atau melakukan kegiatan fizikal mengikut kemampuan anda.

4 - Usah terlebih makan 
Pernah anda mendengar sunnah Rasulullah s.a.w. yang mengunyah perlahan-lahan dan berhenti makan sebelum kenyang. Boleh juga amalkan petua makan sedikit tetapi kerap.

5 - Pilih makanan berkhasiat
Usah terlalu mengejar untuk mendapatkan angka berat badan yang diidamkan. Tetapi tetapkan pemikiran anda dengan memilih makanan yang boleh memberikan nutrien dan khasiat yang optimum kepada badan anda.

6 - Atasi tekanan emosi 

Emosi yang bercelaru boleh menyebabkan anda teruja untuk menjamu selera. Cari kaedah lain untuk mengatasinya.
sumber