Sam Weston, pemilik Weston Technologies berang di atas pencerobohan di makmal penyelidikannya. Prototaip system senjata terbarunya ‘Mantera’ atau MAN-Transformable Exo- Robotic Armour telah disabotaj dan dimusnahkan.Ketua Saintis, yang mengetuai pasukan penyelidik telah hilang. Pembeli teknologi terbarunya berkeras supaya Sam segera menghantar prototaip tersebut atau uruniaga mereka akan dibatalkan. Lebih memburukkan keadaan apabila komponen serta bahagian-bahagian ‘Mantera’ yang telah dimusnahkan telah secara tidak sengaja dihantar ke bahagian lain dunia..kepada seorang remaja bernama Azman, di Malaysia.
Azman, atau lebih dikenali dan digeruni di alam siber sebagai Dark Robe, adalah seorang pelajar kolej yang mengambil jurusan IT dengan pengkhususan dalam bidang Interaksi Komputer-Insan.Dia, yang merupakan seorang genius dalam bidangnya mendapati dirinya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan realiti. Azman seorang yang pendiam dan hanya mempunyai segelintir rakan di kolejnya. Teman baiknya, Kelvin,adalah seorang yang suka berjenaka, dan mempunyai personaliti yang sangat berbeza berbanding sikap Azman. Mereka berasal dari daerah yang sama dan pernah bersekolah di sekolah menengah yang sama. Dalam semester akhirnya, sesuatu yang indah akan berlaku dan bakal merubah kehidupan Azman buat selama-lamanya. Sesuatu yang istimewa tersebut adalah seorang gadis, bernama Deena. Buat pertama kalinya di dalam hidup Azman, dia merasakan dirinya tercabar oleh seorang perempuan.Deena adalah pelajar tahun akhir dalam bidang Robotics, dan menghadiri kelas Interaksi Komputer-Insan yang sama dengan Azman bagi melengkapkan jadual kursusnya.
2 minggu yang lalu, Azman memesan satu set model kit ‘Gundam V’ melalui internet dan dia tidak sabar untuk memasang model kit tersebut untuk menambahkan koleksi Gundamnya. Azman terperanjat apabila menerima sebuah bungkusan kayu yang besar dan berat melalui pesanannya. Di dalam kotak tersebut terdapat logam dan besi yang tidak diketahuinya. Hatinya terdorong untuk memasang komponen-komponen logam tersebut yang kelihatan hampir menyamai boomerang. Komponen logam tersebut secara tiba-tiba berubah bentuk menjadi sebuah topi keledar. Dengan bantuan topi keledar tersebut,Azman berjaya melihat imbasan penuh skima pemasangan komponen-komponen logam tersebut yang pada akhirnya membentuk sebuah motorsikal. Azman meminta bantuan rakan baiknya,Kelvin untuk membantunya memasang semula komponen motorsikal tersebut. Motorsikal tersebut sebenarnya adalah merupakan satu sistem senjata teknologi maju yang diberi nama ‘Mantera’. Sistem senjata tersebut, sebagai sebuah motorsikal, akan memberikan pergerakan tambahan kepada penunggangnya, namun pada mode pejuang, motorsikal tersebut akan bertukar dan bergabung dengan penunggangnya untuk membentuk pelindung badan ‘exo-robotic’ dan memberikan penunggangnya perlindungan maksimum dan juga kuasa luar biasa.
Azman secara tidak sengaja telah mengaktifkan system Perlindungan ‘Mantera’ dan secara tidak langsung menyebabkan pegawai-pegawai di Weston Technologies menerima amaran pengaktifan system tersebut. Tanpa pengetahuan Azman, tindakannya menghidupkan Mantera telah mencetuskan rentetan peristiwa pada 3 benua yang berbeza dan mencetuskan pertelingkahan antara 2 pertubuhan rahsia: Alliance of Light dan Dark Legion of the Apocalypse untuk memiliki teknologi terbaru ini. Alliance of Light telah berjaya mendapatkan Mantera dan telah menghantar pulang Mantera ke pangkalan rahsia mereka di Dubai bagi tujuan keselamatan. Setelah mengetahui bahawa mereka telah dikalahkan musuh mereka,Dark Legion melepaskan 2 robot pemusnah iaitu Robot Vega ke Bandar Dubai.Maka di sana, bermulalah pertempuran bagi meraih kuasa tertinggi untuk menentukan masa depan umat manusia.
0 comments:
Post a Comment