Rajesh Maru mati 'disedut' mesin MRI



MUMBAI: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas ditarik masuk ke dalam mesin Pengimejan Resonans Magent (MRI) di Hospital BYL Nair Chairatable, di sini pada Sabtu.

Mangsa, Rajesh Maru, 32 tahun, ketika itu sedang menemani seorang saudara lelakinya untuk menjalankan prosedur berkenaan dengan membantu membawa silinder oksigen ke bilik MRI, menurut laporan The Statesman.

Abang ipar mangsa, Harish Solanki berkata sebelum kejadian, seorang petugas wad di situ memaklumkan silinder oksigen itu boleh dibawa masuk.

Walau bagaimanapun, mesin MRI pada hakikatnya menggunakan kuasa magnet yang sangat tinggi bagi menghasilkan imej organ manusia.


Maka, sebarang objek logam akan mudah ditarik ke arah mesin dan ia sebenarnya tidak boleh dibawa masuk bilik tersebut.

“Apabila kami memaklumkan petugas wad itu bahawa bahan logam tidak dibenarkan bawa masuk ke dalam bilik MRI dan dia sebaliknya menjawab tidak mengapa, sebab mereka lakukan setiap hari. Malah lelaki itu memaklumkan suis mesin MRI itu sudah ditutup. Doktor dan  juruteknik pula  tidak berkata apa-apa,” jelas Harish.

Saksi yang berada di tempat kejadian menceritakan mangsa telah ditarik masuk ke dalam mesin itu dengan kuasa tenaga yang sangat kuat.

“Sebaik sahaja Rajesh masuk bilik MRI dengan silinder itu, ternyata suis mesin itu terbuka. Rajesh tersangkut dan tangannya turut tersangkut. Badannya turut ditarik dan dia tidak boleh bercakap. Kematian Rajesh berpunca dari kecuaian kami,” jelas Harish seperti dilaporkan dalam NDTV.

Sewaktu tubuh Rajesh dikeluarkan dari mesin itu, berlaku pendarahan yang sangat banyak.

Mangsa dikejarkan ke wad kecemasan sebelum kira-kira 10 minit sebelum menghembuskan nafas akhir.

Pihak polis berkata, laporan awal menunjukkan mangsa mati akibat menghirup oksigen cecair yang bocor dari silinder itu.

Silinder tersebut turut bocor selepas terhentak dengan mesin itu.

Susulan insiden itu, kerajaan negeri Maharashtra mengumumkan pampasan sebanyak 500,000 rupees (RM39,845.80) kepada keluarga mangsa.



Manakala, pihak polis Mumbai turut menfailkan kes terhadap hospital milik Doktor Siddhant Shah, dua petugas wad, Vitthal Chavan dan Sunita Surve kerana mengakibatkan kematian akibat kecuaian.

“Kami sudah menahan seorang doktor dan beberapa staf junior dibawah seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian atas kecuaian,” kata jurucakap polis Mumbai, Deepak Deoraj kepada AFP pada Isnin.

Pengarah hospital, Ramesh Bharmal memberitahu AFP, bahawa siasatan akan dilanjutkan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian dan rakaman CCTV kejadian sudah diserahkan kepada pihak polis.


0 comments: