G.E.R.D. bahayakah ? ( refluks gastroesofagus )


"DULU setiap kali selepas makan mesti tidak selesa, loya dan mulut pula terasa masam. Dada macam terasa ngilu sangat hingga kadangkala tidak boleh tidur. Kalau makan makanan berminyak, keadaan jadi lebih teruk.
"Ketika bersenam pun saya boleh alami masalah ini terutama apabila saya melakukan pergerakan tekan tubi atau bangun tubi. Malah apabila tunduk pun saya boleh rasa dada pedih," kata Terry Tan, 37, yang sudah 10 tahun mengalami masalah ini.
Mulanya dia cuba bertahan tetapi gejala berkenaan menjejaskan hidupnya yang aktif. Doktor memberitahu dia mengalami masalah gejala penyakit refluks gastroesofagus (GERD). Ini adalah keadaan apabila kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus (saluran makanan yang menyambungkan tekak dan perut). Aliran songsang atau refluks asid gastrik inilah yang membuatkan seseorang mengalami pedih ulu hati, mulut terasa masam, loya dan tidak selesa.








Pada awalnya dia mengambil ubat antasid tetapi kesan ubat ini tidak lama sehinggalah dia diberikan ubat dipanggil perencat pam proton (PPI) yang membolehkan Tan menjalani hidup dengan lebih baik.
GERD adalah antara gangguan masalah gastrousus (berkaitan perut dan usus).
GERD boleh berlaku pada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak tetapi biasanya membabitkan golongan muda iaitu pada peringkat hidup paling produktif.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus penduduk dewasa mengalami sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus; namun ramai yang tidak mendapatkan rawatan sewajarnya kerana ia sering disalah anggap sebagai gejala akibat ketidakhadaman.

Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Goh Khean Lee, ada orang berpendapat GERD berlaku kerana terlalu banyak asid gastrik dalam perut. Pakar menolak pendapat ini kerana ia sebenarnya berkaitan aktiviti otot pencerut pada bahagian bawah esofagus yang berehat pada waktu yang salah, contohnya ketika seseorang tidak menelan makanan dan terbuka terlalu lama.

Menelan makanan atau minuman adalah proses yang kompleks dan membabitkan keseragaman banyak otot. Apabila makanan masuk ke dalam saluran esofagus, otot pencerut di bahagian atas perlu dalam keadaan rehat (supaya saluran terbuka) dan membolehkan makanan melaluinya. Apabila otot ini bekerja (mencerut), ia secara automatik akan menolak makanan ke bawah. Kemudian otot pencerut di bahagian bawah esofagus pula perlu berehat supaya makanan boleh melaluinya dan masuk ke perut. Maknanya apabila ada makanan, otot ini perlu berehat.

Namun apabila otot ini berehat ketika tiada makanan (tidak menelan) dan terbuka terlalu lama, maka asid gastrik di dalam perut boleh tertolak ke atas memasuki salur esofagus (menyebabkan aliran songsang atau refluks).

"Asid gastrik penting untuk membunuh kuman dan sangat diperlukan dalam proses penghadaman makanan. Namun asid ini boleh tertolak ke atas apabila kita sendawa atau menelan makanan. Apabila terlalu banyak asid yang tertolak ke atas, ia boleh menyebabkan beberapa masalah.

"Kecekapan otot pencerut ini boleh berkurang dengan peningkatan umur dan penambahan berat badan terutama di kalangan lelaki. Pun begitu, ramai juga wanita yang alami GERD. Apa yang dikhuatiri ialah apabila asid ini masuk ke tempat yang tidak sepatutnya seperti paru-paru, ia boleh menyebabkan pneumonia.

"Selain itu kehadiran asid gastrik di luar perut boleh membuatkan jarak antara sel yang sepatutnya rapat antara satu sama lain menjadi besar, membolehkan lebih banyak asid akan memasuki bahagian berkenaan dan menyebabkan banyak masalah susulan. Kerosakan tisu pada bahagian bawah saluran esofagus menyebabkan rasa pedih ulu hati," katanya pada bengkel kefahaman GERD anjuran AstraZeneca Sdn Bhd.


Salah faham

Meskipun pengetahuan mengenai GERD sudah lama ada tetapi masih ramai yang mempunyai salah anggapan terhadap penyakit ini, menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya. Antara salah faham itu ialah:


Kepercayaan 1: GERD hanya membabitkan orang dewasa

Hakikat: Ia boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira peringkat umur. Malah bagi individu yang ada sejarah keluarga mengalami GERD, peluang untuk mereka mendapat masalah yang sama adalah lebih tinggi.

Penyelidik menganggarkan dua hingga lapan peratus kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun mengalami gejala GERD. Selain itu didapati pertambahan umur juga membuatkan risiko GERD meningkat mendadak terutama selepas mencecah 40 tahun.


Kepercayaan 2: GERD dan pedih ulu hati adalah masalah yang sama

Hakikat: Pedih ulu hati adalah antara gejala GERD. Pedih ulu hati adalah salah satu kesan masalah ketidakhadaman yang disebabkan refluks asid gastrik ke dalam esofagus. Ia membuatkan dada pesakit (di bahagian belakang tulang dada) terasa panas.

Gejala pedih ulu hati yang kerap (lebih dua kali seminggu) atau sehingga boleh menjejaskan kegiatan harian boleh dijadikan petanda seseorang itu mengalami GERD. Bagi pesakit GERD, gejala pedih ulu hati dan refluks berlaku lebih lama dan kerap daripada masalah pedih ulu hati biasa.


Kepercayaan 3: GERD adalah masalah biasa dan tidak perlu dibimbangkan

Hakikat: GERD kronik yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi serius.
Keradangan esofagus akibat refluks asid gastrik perut boleh merosakkan tisu lapisan dalam esofagus, menyebabkan pendarahan atau ulser (dipanggil esofagitis). Parut pada tisu ini akan membuatkan saluran esofagus menjadi sempit dan menyukarkan seseorang untuk menelan.

Sesetengah pesakit mengalami keadaan yang dipanggil esofagus Barret, di mana bentuk dan warna sel dalam esofagus menjadi tidak normal. Lama kelamaan sel ini boleh berubah menjadi sel kanser - yang biasanya membawa maut.

Kajian mendapati keadaan GERD boleh bertambah buruk jika pesakit turut mengalami masalah asma, batuk teruk atau fibrosis pulmonari. Malah, GERD yang teruk juga akan membuatkan gigi cepat reput kerana asid gastrik boleh melarutkan lapisan enamel gigi.


Kepercayaan 4: GERD disebabkan pertambahan jumlah asid gastrik dalam perut.

Hakikat: Seperti yang diterangkan di atas, GERD bukannya disebabkan pertambahan asid gastrik. GERD selalunya berlaku apabila otot pencerut bawah esofagus tidak berfungsi dengan cekap. Biasanya apabila kita menelan, otot ini berehat beberapa saat. Namun ada sesetengah makanan boleh membuatkan otot ini berehat lebih lama dan tidak mencerut dengan ketat. Antaranya ialah alkohol, nikotin (dalam tembakau) dan sesetengah jenis ubat.

Pun begitu, perubahan hormon ketika hamil juga boleh mempengaruhi fungsi otot pencerut ini. Selain perubahan hormon, peningkatan tekanan dalam ruang abdomen juga boleh menjejaskan fungsi otot pencerut berkenaan pada wanita hamil. Maka tidak hairanlah jika ramai wanita mengalami masalah pedih ulu hati ketika mengandung.

Masalah otot pencerut yang lemah juga boleh menyebabkan GERD. Kajian mendapati pada 25 peratus pesakit yang alami GERD teruk.

Pencernaan yang perlahan dikatakan turut menyumbang kepada masalah GERD. Ini
kerana jika makanan berada terlalu lama dalam perut sebelum ia dipindahkan ke usus kecil, maka kecenderungan untuk makanan tertolak ke atas (ke arah esofagus) adalah lebih tinggi.

Penyelidik juga mendapati perut yang terlalu penuh boleh meningkatkan kebarangkalian untuk otot pencerut berehat lebih lama dan ia secara tidak langsung memberi laluan kepada asid gastrik mengalir ke dalam esofagus.


Kepercayaan 5: GERD adalah keadaan yang kronik dan tidak boleh dicegah

Hakikat: GERD boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan betul, pemakanan seimbang dan kerap bersenam. Antara perkara yang disarankan ialah:

a. Kekalkan berat badan ideal. Penurunan 10 peratus berat badan boleh menjauhkan GERD. Lemak yang terkumpul pada perut akan meningkatkan tekanan dalam abdomen dan ia boleh menolak asid gastrik memasuki esofagus.

b. Makan dalam kuantiti kecil. Makan terlalu banyak akan membuatkan perut anda boleh memberi lebih tekanan pada otot pencerut bawah esofagus dan meningkatkan kebarangkalian mendapat GERD.

c. Tinggikan bahagian kepala katil. Meninggikan kedudukan kepala (15 hingga 20 sentimeter atau enam hingga lapan inci) adalah antara cara memastikan asid gastrik sentiasa berada dalam perut. Gunakan pelapik baji di mana ia meninggikan keseluruhan bahagian atas badan. Menggunakan bantal tambahan tidak membantu kerana ia hanya meninggikan kedudukan kepala, bukan badan atas.

d. Duduk selepas makan. Tunggu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum anda baring. Tarikan graviti akan membantu mencegah aliran songsang asid gastrik. Berbaring selepas makan hanya akan memudahkan kemasukan asid gastrik ke dalam esofagus.


Elakkan:

a. Mengambil makanan yang boleh mencetuskan gejala pedih ulu hati seperti makanan berlemak, pedas, berempah atau berasid termasuk tomato, buah-buahan sitrus, pudina, coklat, bawang, kopi dan minuman berkarbonat.

b. Merokok. Sesetengah kajian mendapati nikotin akan membuatkan otot pencerut esofagus berehat lama dan menjejaskan kebolehan air liur untuk membersihkan asid gastrik dalam esofagus.

c. Minum terlalu banyak minuman beralkohol. Alkohol yang disertakan dengan rokok akan membuatkan otot pencerut bawah esofagus menjadi lebih rehat. Malah alkohol juga boleh menyebabkan pencerutan otot menjadi tidak sekata.

d. Memakai pakaian yang terlalu ketat terutama di bahagian pinggang kerana ia boleh memberi tekanan pada otot pencerut.


GERD = gangguan

Walaupun ramai pesakit percaya boleh bertahan dengan gejala asid refluks, namun hakikatnya penyakit itu menjejaskan banyak rutin harian mereka. Ini kerana kebanyakan pesakit mengalami sekurang-kurangnya satu daripada empat gejala umum GERD iaitu:

Regurgitasi atau rasa masam dalam mulut akibat kehadiran asid gastrik
Perut atas terasa panas dan sakit
Dada atau bahagian belakang tulang dada terasa panas
Pedih pada ulu hati


Banyak kajian menunjukkan lebih 50 peratus pesakit GERD mengalami masalah sukar tidur dan cepat letih keesokannya. Kekurangan tidur dianggap punca utama yang menjejaskan produktiviti kerja dan kualiti kehidupan pesakit.

Pesakit juga selalu berasa tidak sihat, cuba mengelak makanan atau minuman tertentu, kerap letih dan resah. Malah ia juga mengganggu sesetengah aktiviti harian mereka.

Malangnya lebih separuh pesakit GERD di Asia tidak menyedari mereka mengalami penyakit ini kerana ia dianggap berkaitan dengan masalah penghadaman.

Bahkan ada yang tidak memandangnya sebagai perkara penting apatah lagi jika gejala hanya datang sekali-sekala, sekali gus membuatkan ramai pesakit gagal mematuhi jadual rawatan.

"GERD tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti kesukaran bernafas (apabila berlaku pneumonia), pendarahan dan kecederaan pada esofagus serta barah esofagus jika tidak dirawat," kata Perunding Gastroenterlogi dan Hepatologi, Dr Tan Huck Joo.

Rawatan ini bukan sekadar perubahan gaya hidup dan pemakanan, tetapi ia juga perlu disertakan pengambilan ubat seperti antasid dan antasidalginat.
Bagaimanapun bagi sesetengah orang, ubat ini tidak cukup untuk mengurangkan keasidan, terutama jika lapisan esofagus mengalami kerosakan.

Namun ubat yang lebih berkesan ialah perencat pam proton (PPI). PPI seperti esomeprazole digunakan untuk mengurangkan penghasilan asid gastrik dalam perut.
Ia menghalang pam asid (dalam lapisan sel dinding perut) menghasilkan asid gastrik.

3 comments:

OMR (Rose) said...

thanks utk info....sy mungkin salah seorang yg mengalami masalah ni. tengah susun jadual utk jumpa dr pakar....again, thanks...info sgt membantu!

nangit86 said...

Owh..orait2. saya harap,OMR (Rose) sihat semula nanti. insyaallah

Unknown said...

Saya juga menghadapi masalah ni,nk tanya adakah masalah gerd ni blh hilang klu blh hilang ubat apa yg patut sy makan,doktor pakar cuma bg ubat Ganjaran n controloc