AMPLANG khas dari TAWAU .....bhaaaa.....hehe


LELAKI yang juga salah seorang peniaga amplang di Pasar Ikan Masin di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, Sabah dengan penuh teruja memberitahu, keropok amplang yang terbaik sebenarnya terdapat di Tawau.

Katanya, dia sendiri harus merempuh perjalanan dengan memandu sejauh lebih 600 kilometer (km) yang memakan masa lebih kurang 12 jam untuk mendapatkan bekalan dari sana.

“Para pelanggan saya terutama dari Semenanjung seolah-olah dapat mengagak amplang yang saya jual itu datang dari Tawau atau sebaliknya. Sememangnya, majoriti mereka mahukan amplang dari Tawau kerana rasanya sangat sedap.

“Kalau awak mahu beli amplang dalam jumlah yang banyak untuk dibawa jual ke Kuala Lumpur, saya cadang awak pergi ke sana saja. Lagipun untuk sekilo amplang di Tawau cuma berharga RM16 berbanding di sini yang berharga RM30,” kata lelaki yang bertubuh sederhana tinggi itu.







Kebetulan, dalam satu tugasan di Tawau, penulis bersama jurufoto, Noradzrene Mohd. Noor berjaya bertemu dengan seorang pengusaha amplang yang terkenal di daerah itu iaitu Jeminah Abdullah, 43.

Tatkala kelibat kami muncul di muka pintu bengkelnya, senyuman Jeminah sampai ke matanya yang bercahaya. Namun, bahasa tubuhnya umpama memberi mesej kepada kami bahawa dia janggal menerima tetamu yang bergelar media.

Dia seolah-olah sedang menyusun konsonan ketika hendak membutirkan kata-kata. “Saya hanyalah pengusaha kecil-kecilan saja, buat amplang pun di sebuah bengkel kecil dan tiada apa-apa yang istimewa,” katanya sedaya upaya menyogok bahawa dia tidak selayaknya untuk diwawancara.

Namun, kami dan pihak Seranta melihat Perusahaan Keropok D’Umas yang ditubuhkannya pada tahun 2003 yakin dia punya ruang untuk menjadi perniagaan yang berskala besar.

Asal usul

Usia bengkel Jeminah nampak lebih tua daripada usianya. Di dinding bengkel itu penuh dengan sijil-sijil penghargaan dan kursus yang digantungnya secara tersusun.
“Sebenarnya, bengkel ini adalah bekas sebuah balai raya. Kira-kira sembilan tahun lepas selepas saya ikuti kursus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Sabah, saya mulakan bisnes buat amplang,” katanya yang tidak menyangka posisinya sebagai seorang suri rumah tangga bertukar menjadi seorang usahawan.

Kepada penduduk Sabah, keropok amplang tidak perlu diperkenalkan lagi. Namun, tidak semua orang mengetahuinya. Ujar Jeminah, sebelum ini ramai yang menyangka bahawa keropok amplang itu adalah makanan untuk ikan.

“Sebagai orang Tawau, saya terkejut juga dengan pandangan itu, tapi lama-kelamaan, orang sudah tahu bahawa amplang merupakan adalah makanan ringan,” ujarnya.

Amplang pada asalnya sebenarnya adalah kudapan bagi masyarakat Melayu Indonesia. Namun mereka tidak menyebutnya sebagai amplang. Sebaliknya dipanggil sebagai plang sahaja.

Apabila komuniti itu berdikit-dikit berhijrah ke pantai timur Sabah khususnya pesisir pantai Tawau suatu ketika dahulu, makanan itu kemudian diuar-uarkan kepada masyarakat setempat.

Hasilnya, amplang menjadi kegemaran masyarakat Melayu berketurunan Bugis di Tawau. Lebih menariknya, amplang yang berbentuk segi empat tepat atau silinder dan berwarna coklat keemasan itu dijadikan sebagai sajian minum petang utama masyarakat Sabah sehingga kini.

Seperti kata Jeminah, amplang yang sudah menjadi santapan tradisi di negeri Di Bawah Bayu lebih enak dimakan bersama kopi panas. Populariti makanan ringan itu juga berjaya menjadikan amplang sebagai signatur makanan di negeri itu.

Lebih daripada itu, keropok dalam bentuk bebola itu kemudiannya dikomersialkan oleh pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Tawau untuk menjengah pasaran luar.

“Alhamdulillah, makanan tersebut yang pada mulanya hanya dijual di sini pada awal tahun 1990-an, berjaya menambat hati orang luar. Dari situ, timbullah idea untuk masyarakat setempat seperti saya mengusahakan dan memperluaskan industri amplang,” kata Jeminah.

Pada masa ini, Tawau adalah pengeluar keropok amplang utama di Sabah dengan mengeluarkan kira-kira 120 tan metrik yang bernilai RM2.2 juta.

Rumit

Usahawan berketurunan Bugis Melayu itu sudah menemui rentak perbualan. Dia semakin bersemangat menitipkan segalanya tentang perusahaannya. Dia kemudian lantas mempelawa kami melihat proses penyediaan amplang di bilik menggoreng di bengkelnya itu.

Bahang kepanasan di situ sedikit tidak menghalang dirinya memberi penjelasan kepada kami yang ingin tahu. Tidak banyak peralatan moden. Rata-ratanya menggunakan kudrat manusia.
Ketika mengambil alih posisi seorang pekerjanya yang sedang memotong kepingan adunan, Jeminah memberitahu, amplang diperbuat daripada bahan ikan tenggiri yang berharga RM8 hingga RM12 sekilo di sana.

Mengapa ikan tenggiri? Jawapannya, ikan itu rasanya lebih enak dan warnanya menarik setelah digoreng.

Selari dengan peredaran masa, bukan sahaja isi ikan malah, pengusaha IKS kini mempelbagaikan produk itu kepada perisa sotong dan udang.

“Ramuannya agak mudah, selain isi ikan, sotong atau udang yang menjadi bahan utama, kita turut gunakan tepung kanji, garam, gula, telur ayam dan bahan penambah perisa lain,” katanya yang kadangkala turut serta membantu lapan orang pekerja yang lain memasak.

Bagaimanapun ujar Jeminah, proses penyediaannya tidak semudah seperti yang disangka. Ia sedikit rumit, katanya.

“Proses mengasingkan tulang ikan tenggiri saya kira agak mencabar. Isi ikan yang telah diasingkan akan diadun bersama tepung kanji, garam, gula dan kita akan membentuk doh. Ia (proses) mengambil masa kira-kira empat jam.

“Doh tadi yang seberat kira-kira 500 gram itu berbentuk silinder atau segi empat tepat kemudian akan dipotong kecil secara melintang. Setiap potongan kecil tadi, perlu dipotong halus lagi,” jelasnya.

Proses menggoreng juga perlu diberi perhatian khusus. Jelas Jeminah, amplang perlu digoreng dengan minyak yang banyak selama lebih kurang 15 minit dan perlu dikacau selalu agar tidak hangit.

Biasanya, dalam sehari, Jeminah akan mengadun 40 hingga 50 kilogram amplang.

Potensi

Sepanjang hampir 10 tahun menjalankan bisnes itu sambil dibantu oleh suaminya, Platui Ambuk, 49, dan anaknya, Mohd. Azlie, 25, yang bertindak sebagai pegawai pemasaran, Jeminah memberitahu, dia puas.

“Pihak Felda banyak menyalurkan bantuan kewangan kepada produk ini. Saya hanya memulakan industri dengan bajet RM3,000 saja.
“Tidak mungkin dengan wang sebanyak itu saya berupaya memperkembangkan bisnes saya tapi dengan adanya bantuan Felda, impian saya menjadi kenyataan,” katanya sambil memberitahu dia meraih antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan melalui perniagaan ini.

Produk Perusahaan Keropok D’Umas bukan sahaja terdapat di Tawau tetapi melewati ke seluruh Sabah terutama bandar-bandar utamanya. Kini, usahawan wanita itu sedang mengintai pasaran Semenanjung Malaysia.

Untuk itu, sebagai langkah awal, dia kerap menyertai karnival-karnival yang dianjurkan. Beberapa tahun lalu dia pernah melibatkan diri pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

“Bukan saya saja tapi pengusaha IKS keropok amplang di Tawau mempunyai iktikad untuk mempopularkan makanan tradisi kami,” ujar Jeminah yang tampak yakin di akhir bicara.

Barangkali tidak sukar untuk usahawan amplang merealisasikan hasrat mereka. Memetik kenyataan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, pihak mereka sedia membantu mencari pasaran baharu untuk bisnes ini.

Pembantu Menterinya, Datuk Michael Asang berkata, pihaknya akan memberi perhatian sewajarnya kepada pengusaha kecil yang serius dan berpotensi di seluruh negeri untuk diberi perhatian.

Katanya, makanan ringan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai makanan orang kampung kerana amplang semakin digemari dan turut popular di luar Sabah.

“Amplang berpotensi untuk dikomersialkan kerana ketika ini sudah menjadi salah satu buah tangan yang perlu dibawa pulang oleh para pelancong,” katanya.

2 comments:

kim said...

amplang tu cam keropok ke??sebab kata ada dr isi ikan la..sotong la..udang la...hehe

Mama Aishah said...

amplang niE ada 2 warna kan..

lagi satu mcm coklat sikit

itu ari g sabah beli laa 2kg bwk balik semenanjung di KK...