- berat badan,
- kemurungan,
- keletihan,
- cepat marah,
- sakit otot,
- sakit sendi,
- masalah tidur
- stres.
masalah ini juga berlaku kepada wanita dan lelaki yang dalam lingkungan umur 20-30an bukan. berlaku perubahan NEGATIF kepada kehidupan seharian dan juga sikap malas yang membuak-buak. Sebenarnya ramai lagi yang masih tidak tahu yang mana mereka mengalami masalah hormon, iaitu ketidakseimbangan hormon.
Hormon memberikan pengaruh yang besar pada tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Badan manusia bergantung pada hormon untuk tidur, bangun pagi setiap hari, berfikir dengan jelas, membantu pertumbuhan, mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa.
Ia juga mempengaruhi mood, kemampuan seksualiti, keinginan seksualiti, kesuburan, kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan. Pendek kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda.
Namun, bermula umur 25 tahun, manusia mengalami kemerosotan perlahan dalam pengeluaran hormon lalu menyebabkan penurunan fungsi normal tubuh dan penuaan.
“Banyak penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan hormon. Antaranya ialah letih, murung, darah tinggi, kegemukan, masalah tidak boleh tidur, obesiti dan malas.
“Tidak terkecuali adalah masalah tidak subur, lesu, mudah keguguran, haid tidak betul, migrain dan senggugut,” ujar Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik, Dr. Wan Julia Sham Ariffin.
Peningkatan usia
Jelas Wan Julia, ketidakseimbangan hormon terjadi kerana beberapa faktor penyebab iaitu peningkatan usia, pemakanan tidak sihat, kurang senaman, pencemaran alam sekitar, kebisingan dan juga radiasi.
Akibatnya, berlaku gangguan yang menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon menjadi kurang efektif lalu menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemerosotan tahap imunisasi.
Wan Julia menambah, ramai doktor kini tidak mengaitkan sesuatu penyakit itu dengan hormon. Sebaliknya, mereka hanya merawat pesakit tanpa melihat penyebabnya.
“Dalam badan kita mempunyai pelbagai hormon iaitu hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid. Setiap daripadanya mempunyai fungsi unik.
“Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan stres,” ujarnya.
Wan Julia memberi senario contoh; merawat seseorang yang tidak boleh tidur dengan ubat tidur hanya akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan stres kerana masalah tersebut akan sentiasa berulang.
Mereka seharusnya memastikan paras melatonin, kortisol, progesteron dan serotonin berada pada paras optimum terutamanya bagi wanita yang berada dalam lingkungan usia pramenopaus atau menopaus.
“Kekurangan hormon akan menyebabkan seseorang itu tua sebelum masanya. Individu itu juga bakal berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit seperti sakit sendi, sakit pinggang, kuku pecah, stres, lingkaran hitam bawah mata dan muka cengkung,” katanya sambil memberitahu kekurangan atau berlebihan hormon tidak baik untuk kesihatan seseorang.
Faktor penyumbang
Banyak perkara yang boleh menyumbang kepada masalah ketidakseimbangan hormon iaitu tekanan daripada persekitaran, toksik, makanan, dadah, alkohol, bahan kimia dan makanan segera.
“Makanan segera boleh menyebabkan obesiti kerana ia mengandungi banyak gula yang akan menyerang insulin sekali gus mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron.
“Ia berakhir dengan sindrom metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi,” ujarnya.
Menurut Wan Julia, hormon-hormon di dalam badan memerlukan mineral yang seimbang, vitamin dan antioksidan untuk berfungsi.
Senaman juga merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pengeluaran hormon. Malangnya, kebanyakan orang pada hari ini tidak mempunyai masa untuk bersenam tetapi ada masa pula untuk berjumpa doktor dan ambil ubat-ubatan.
Wan Julia sempat mengulas mengenai masalah gemuk tanpa sebab dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang sibuk diperkatakan kini.
“Ramai yang terlepas pandang bahawa ia adalah masalah ketidakseimbangan hormon. Mereka sebaliknya menuding jari kepada pesakit, dan kemudian hanya merawat simptom penyakit tetapi tidak mempedulikan puncanya.
Golongan berisiko
Mereka yang terlalu sibuk dan tiada masa untuk menjaga kesihatan serta tiada masa untuk beriadah mempunyai kecenderungan untuk berdepan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.
“Selain itu, orang yang tidak cukup tidur, orang gemuk, orang yang makan makanan segera, juga berisiko.
“Antara lelaki dan wanita, wanita lebih berisiko mengalami masalah ketidakseimbangan hormon kerana sistem tubuh wanita adalah lebih kompleks,” katanya.
Wanita yang tidak beranak turut dalam senarai golongan berisiko kerana setiap kali mengandung, hormon akan meningkat 200 peratus iaitu 10 hingga 20 kali ganda tinggi daripada biasa. Jadi, wanita-wanita yang tidak beranak berisiko berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.
Masalah ketidakseimbangan hormon boleh diperbaiki atau dirawat dengan menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian hormon semula jadi (bioidentical hormone replacement therapy) dan bukannya hormon sintetik.
Fungsi hormon sintetik adalah sama seperti hormon semula jadi tetapi ia mempunyai struktur molekul yang berbeza. Tubuh manusia lazimnya menerimanya sebagai benda asing namun reaksi dan tindak balasnya boleh menyebabkan kanser.
Hindari simptom
“Begitupun, kita seboleh-bolehnya mahu mengelakkan orang daripada pengambilan ubat-ubatan (dadah), maka mereka boleh berikan penumpuan kepada senaman, nutrisi pemakanan seimbang dan hormon semula jadi bagi memperbetulkan ketidakseimbangan hormon,” ujarnya.
Wan Julia memberitahu, sains membuktikan manusia boleh lari daripada simptom-simptom penuaan dengan tiga cara iaitu senaman, pemakanan sihat (suplemen) dan menyeimbangkan hormon (seimbangkan dengan hormon dan bukannya dengan ubat).
“Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu mengalami masalah ketidakseimbangan hormon atau tidak? Seseorang itu akan nampak tua berbanding usia, keletihan, kemurungan, tidak bersemangat, kurang ceria, penampilan kurang menarik dan tidak bertenaga.
“Rawatannya mudah sahaja. Pertama sekali, seseorang itu perlu membuat ujian darah yang komprehensif untuk lihat paras hormon-hormon yang bermasalah. Bukan buat ujian darah biasa,” jelasnya.
Selepas doktor mengenal pasti hormon apa yang kurang, seseorang pesakit itu akan diberikan hormon sama ada dalam bentuk kapsul, pil, suntikan, krim ataupun patch selain diberi nasihat mengenai aspek pemakanan, suplemen antioksidan serta jenis senaman yang perlu dilakukan.
Pesakit kanser dan mereka yang berisiko kanser perlu lebih berhati-hati apabila mengambil rawatan hormon.
Menurutnya, rawatan hormon bukan dilakukan untuk jangka masa pendek kerana ada segelintir hormon perlu diambil sepanjang hayat.
“Hormon yang digunakan dalam rawatan pula bukannya hormon sintetik tetapi hormon semula jadi.
“Segala permasalahan ada penyelesaiannya. Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti yang diperkatakan, berjumpalah dengan pakar antipenuaan untuk lihat sama ada paras hormon anda normal atau tidak,” pesannya.
0 comments:
Post a Comment