SENAM dalam Air Pulihkan Anggota Badan


PERNAHKAH anda terfikir pesakit strok mahupun lumpuh mampu bersenam di dalam air? Ya, keadaan ini tidak mustahil dengan adanya program terapi akuatik yang dilengkapi peralatan khas.

Lebih istimewa, bukan hanya pesakit strok boleh menggunakan perkhidmatan itu tetapi ia boleh digunakan pelbagai golongan termasuk bayi, ibu mengandung dan wanita selepas bersalin yang mengalami masalah berat badan (obesiti).


Di Malaysia, penggunaan terapi akuatik masih belum meluas. Ramai yang tidak mengetahui kewujudan terapi ini sebagai rawatan tambahan dalam proses pemulihan yang boleh membantu mempercepatkan proses baik pulih anggota dan fungsi badan.

Terapi akuatik adalah pergerakan fizikal atau senaman yang dilakukan dalam air. Terapi ini menggunakan rintangan air bagi menggantikan alat bebanan yang lazimnya digunakan di gimnasium pemulihan.





Menurut Pakar Perubatan Pemulihan Pusat Perubatan Prince Court, Dr Rameezan Begam Abdul Rahim, sesebuah kolam terapi akuatik perlu memenuhi ciri khas sebelum dijadikan fasiliti pemulihan akua terapi.


“Kolam akuatik terapi bukan seperti kolam renang biasa. Reka bentuk, saiz dan kedalaman adalah khusus bagi memenuhi keperluan pemulihan penyakit tertentu.
“Di Pusat Perubatan Prince Court, kolam terapi akuatik yang digunakan berukuran 10 meter x 5 meter manakala kedalaman kolam adalah jenis berperingkat iaitu 1.5 meter. Suhu air pula dikekalkan antara 35 hingga 36 darjah Celsius di samping terdapat pautan khas pada setiap bahagian kolam yang memudahkan pesakit berpaut sewaktu melakukan senaman,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.


Terdapat juga ‘hoist chair’ iaitu ciri khas yang direka buat kolam ini bagi menurunkan pesakit yang belum boleh berdiri atau berjalan, ke dalam kolam atau digunakan mereka yang menggunakan kerusi roda.

Program ini dikendalikan oleh jurupulih anggota perubatan bertauliah. Mereka akan mengajar senaman yang sesuai dan memantau pergerakan keselamatan pesakit. Biasanya, tempoh rawatan ini antara 45 minit hingga sejam bagi setiap sesi. Faktor keapungan dan rintangan air digunakan untuk meningkatkan fleksibiliti badan, julat pergerakan sendi dan menguatkan otot badan.


Program terapi akuatik ini boleh memberi manfaat berguna untuk pesakit artritis (masalah radang sendi), penyembuhan selepas patah tulang, pesakit yang mengalami penyakit urat saraf (strok, kecederaan saraf tunjang), kesakitan belakang tubuh dan warga emas yang mengalami masalah keseimbangan badan.


Dr Rameezan Begam berkata, kanak kanak yang mengalami masalah lumpuh otak (cerebral palsy) juga disyorkan menggunakan terapi ini sebagai terapi tambahan dalam program pemulihan perubatan.


“Ia juga berfaedah untuk mengurangkan kesakitan sama ada kesakitan akut mahupun kronik. Ini disebabkan faktor suhu air yang suam digunakan untuk meningkatkan aliran darah dan mengurangkan bengkak pada bahagian yang terbabit.


“Sebelum rawatan ini disyorkan, penilaian klinikal terperinci akan dilakukan termasuk pemeriksaan kesihatan, sejarah ubatan yang diambil dan tahap fungsi atau kebolehan seseorang,” katanya.


Terdapat beberapa kontraindikasi yang perlu diambil kira sebelum pakar membenarkan rawatan ini. Contohnya, seseorang yang mempunyai masalah jangkitan kuman, luka parah pada badan atau sawan yang tidak terkawal.


Teknik rawatan ini juga tidak disyorkan bagi mereka yang fobia kepada air. Pesakit dikehendaki mengisi borang kebenaran sebelum bersetuju menjalani rawatan terapi berkenaan.


Di PCMC, program yang disediakan adalah secara perseorangan dan berkumpulan. Selain tunjuk ajar dan pemantauan yang diberi bagi setiap sesi, penilaian akan dilakukan pada akhir sesi rawatan oleh pakar.

sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Senamandalamairpulihkananggota/Article/artikelMA

0 comments: