SETELAH dua minggu berturut-turut tiada sebarang penyingkiran dilakukan, program realilti Maharaja Lawak Mega (MLM) telah mengumumkan seramai lima kumpulan sekali gus yang terkeluar pada awal rancangan pada minggu ketiga.
Namun, seperti kebiasaan, pihak Astro Warna telah membuat kejutan dengan menyingkirkan satu lagi kumpulan yang gagal mengumpul mata di akhir program. Keenam-enam kumpulan yang tersingkir adalah Gebu, Comel, Lanun, Rap, Caer dan Anje.
Pada minggu ketiga ini, kumpulan 3G yang dianggotai oleh Yassin, Didie Alias dan Enot antara yang menjadi kegemaran ketiga-tiga pengkritik tetap iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan bekas pemain bola sepak Zainal Abidin Hassan serta seorang pengkritik jemputan dari Singapura, pemuzik Art Fazil.
Menurut chef selebriti terkenal, Chef Wan, ada peserta yang mempersembahkan lawak yang berulang namun ada juga peningkatan dari beberapa kumpulan contohnya 3G dan PiMai.
“Ada juga sesetengah kumpulan yang gagal membuat lawak, mereka tidak punya pengisian di dalam lawak mereka. Apabila momentum dan mood itu hilang jadi, bahaya bagi pelawak apabila tidak dapat memberikan saat lawak itu sendiri kepada penonton.
“Ia seperti tidak dapat menepati standard dalam pertandingan ini kerana saya harapkan yang lebih lagi kerana mereka ini semua merupakan pelawak profesional dan yang terbaik di antara yang terbaik,” jelasnya sewaktu sidang akhbar yang diadakan selepas program itu berakhir di Royal Theater Selangor, Shah Alam, Selangor.
Sementara itu, komen penyanyi tersohor negara, Siti pula, kehadiran dirinya sebagai pengkritik tetap adalah di atas nama penonton, maka ia untuk berhibur dan ketawa.
“Maka, apa yang saya komen adalah mengikut apa yang saya rasa dan mengikut cara saya sendiri. Setiap minggu saya sentiasa ingin menonton persembahan lawak dari semua peserta. Kadangkala, minggu pertama dan kedua mereka antara yang terbaik, namun mungkin minggu seterusnya mereka kekal baik,” ucap Siti.
Namun, penyingkiran sebanyak enam kumpulan sekali gus dilihat terlalu banyak dan pihak Astro ada jawapan tersendiri bagi persoalan tersebut yang mana Pengurus Saluran Astro Warna, Azrai Kamaruddin ketika diminta mengulas tentang hal tersebut berkata, ia sebenarnya telah pun dirancang dari awal.
“Jika kita mahu bandingkan perbezaan dengan rancangan realiti yang lain, kita boleh lihat bahawa rancangan lain tidak pernah ada sebanyak 17 kumpulan yang terpilih untuk masuk bertanding.
“Jadi untuk format MLM ini, kita mahu beritahu rakyat yang mana ini semua adalah cita rasa komedi yang ada di rantau ini iaitu di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Maknanya kesemua peserta harus berikan yang terbaik, dan seperti yang dikatakan Chef Wan, ini merupakan pertandingan mega, jadi mereka perlu tonjolkan diri setiap minggu untuk kekal di dalam program ini,” tegas Azrai.
MLM disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132) pada setiap Jumaat, pukul 10 malam
0 comments:
Post a Comment