Hot : Lebih " bahaya " daripada kanser
Kegagalan jantung adalah serius apabila organ penting ini tidak dapat mengepam darah yang membawa oksigen dan nutrien penting yang cukup ke seluruh badan disebabkan otot jantung lemah. Masalah jantung ini bukan bermaksud organ ini berhenti berfungsi, sebaliknya ia tidak dapat bekerja dengan baik bagi memenuhi keperluan badan terutama ketika aktiviti fizikal.
Masalah jantung ini dialami individu dalam semua peringkat umur, namun risiko ia kerap berlaku seiring dengan pertambahan usia. Dianggarkan satu peratus berlaku dalam kalangan mereka berusia bawah 65 tahun, peningkatan kepada tujuh hingga lapan peratus pada usia 75 hingga 84 tahun dan 15 peratus dalam kalangan usia lebih 85 tahun.
Buat masa ini, kegagalan jantung tiada penyembuh, oleh itu terdapat keperluan yang amat ketara untuk meningkatkan kefahaman mengenai penyakit ini dan cara untuk mengenal pasti tanda-tandanya bagi memastikan penghidap boleh hidup lebih lama serta lebih aktif.
Semua orang tahu jantung adalah satu daripada organ paling penting, tetapi ramai tidak menghiraukan tanda-tanda menunjukkan jantung mereka bermasalah. Salah tanggapan mengenai kegagalan jantung di negara ini sudah menjadi lumrah dan rakyat Malaysia digesa untuk membantu mengubah persepsi terhadap penyakit ini menerusi kesedaran serta pendidikan untuk membantu melindungi jantung mereka.
Naib Pengarah Jabatan Kardiologi Universiti Perubatan Charite (Berlin, Jerman), Profesor Dr Carsten Tschope berkata, wujud salah tanggapan serius dan kurang ilmu pengetahuan berkaitan kegagalan jantung yang mengakibatkan sejumlah besar kematian awal masih berlaku.
Malah, kegagalan jantung menjejaskan kehidupan pesakit dengan ketara kerana lazimnya penghidap tiada pengetahuan mengenai penyakit ini dan cara menguruskannya dengan wajar.
“Terdapat beberapa punca kemungkinan kegagalan jantung disebabkan oleh penyakit lain. Jika pesakit mempunyai penyakit yang mendorong kepada kelemahan jantung dikenal pasti lebih cepat dan dirawat sewajarnya, pada peringkat akhir penyakit terbabit mungkin tidak mengakibatkan bermulanya kegagalan jantung.
“Penyakit yang menyumbang kegagalan jantung adalah darah tinggi, jangkitan seperti demam reumatik dan Chagas, masalah paru-paru seperti kurang bekalan darah ke paru-paru, bronkitis, asma, saluran udara tersumbat dan gaya hidup tidak sihat seperti tidak mengambil ubat pencegahan, pengambilan garam berlebihan serta penyalahgunaan dadah serta alkohol.
“Malah, masalah jantung lain juga menyebabkan kegagalan organ ini seperti kecacatan injap, gangguan ritma, kecacatan otot jantung dan penyakit jantung koronari. Masalah kesihatan lain seperti anemia, sakit buah pinggang, diabetes, obesiti, gangguan pernafasan ketika tidur, gangguan tiroid dan kesan sampingan ubatan,” katanya pada bengkel media mengenai kegagalan jantung anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis, baru-baru ini.
Menurutnya, kegagalan jantung secara amnya berlaku disebabkan kecacatan fungsi atau struktur ventrikel kiri mengakibatkan peningkatan tekanan pengisian ventrikel dan mengurangkan keluaran kardiak.
“Pesakit biasanya tidak menunjukkan simptom atau hanya menunjukkan simptom selepas beberapa ketika. Antara simptom dialami seperti sesak nafas, serangan sesak nafas yang teruk ketika tidur, keletihan dan buku lali membengkak.
“Tanda-tanda bagi manifestasi klinikal pengurangan keluaran kardiak dan pengubahan hemodinamik seperti tekanan vena leher tinggi, vena leher membengkak akibat pergerakan tekanan kuat ke atas hati, bunyi jantung ketiga (S3), ventrikel kiri mengembang dan jantung berdengung.
“Simptom lain kegagalan jantung seperti keliru, gangguan mood, memori terjejas dan cemas akibat pengurangan aliran darah ke otak disertai corak tidur tidak normal. Jantung pesakit juga berdebar-debar dan sakit dada akibat kurang bekalan darah ke miokardium serta cachexia iaitu kemerosotan fizikal badan (hilang berat, lemah badan) akibat kegagalan jantung kronik yang teruk.
“Bagaimanapun, cachexia juga disebabkan kombinasi beberapa faktor termasuk masalah usus yang menjejaskan penyerapan nutrien, kelemahan tisu untuk memindahkan bekalan darah dan otot rangka tidak berfungsi kerana tidak digerakkan dalam tempoh lama,” katanya.
Dr Carsten berkata, pengetahuan dan kefahaman yang lebih baik mengenai tanda serta simptom kegagalan jantung akan mendorong pesakit mendapatkan rawatan di peringkat lebih awal membolehkan diagnosis lebih tepat dibuat lalu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
“Anggaran 21 juta orang dewasa di seluruh dunia mengalami kegagalan jantung dan bilangan ini dijangka meningkat akibat pertambahan populasi warga emas serta peningkatan kekerapan faktor risiko.
“Kegagalan jantung turut menyebabkan beban ekonomi yang ketara terhadap sistem penjagaan kesihatan. Kira-kira dua peratus daripada perbelanjaan keseluruhan penjagaan kesihatan di kebanyakan negara digunakan untuk rawatan penyakit ini. Ini membabitkan 70 peratus bagi kos kemasukan ke hospital dan 10 peratus lagi untuk kos rawatan farmakologikal.
“Dianggarkan juga, 30 hingga 50 peratus pesakit sama ada meninggal dunia atau dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh 60 hari selepas kemasukan pertama. Sebanyak 20 hingga 30 peratus lagi meninggal dunia selepas setahun, manakala 40 hingga 50 peratus lagi meninggal dunia selepas lima tahun,” katanya.
Berbanding negara Barat, kegagalan jantung bagi pesakit di Asia Tenggara berlaku pada usia lebih muda dan menimbulkan ciri klinikal lebih teruk dengan faktor risiko vaskular seperti darah tinggi, kegemukan dan diabetes. Kajian menunjukkan usia pesakit di Asia yang mengalami kegagalan jantung stabil juga sekurang-kurangnya satu dekad lebih muda daripada pesakit di Eropah. Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit di negara kita.
Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, ramai orang tidak tahu kegagalan jantung lebih berbahaya daripada sesetengah jenis kanser dan Malaysia mempunyai kadar penyakit kardiovaskular yang tinggi yang boleh membawa kepada kegagalan jantung.
“Rakyat kita menyangka ia hanya berlaku kepada generasi lebih tua, sedangkan pada hakikatnya usia purata individu Asia yang diserang kegagalan jantung adalah lebih muda. Kegagalan jantung adalah punca utama kemasukan hospital di negara ini iaitu kira-kira enam hingga 10 peratus daripada lebih tiga juta kemasukan hospital.
“Lebih membimbangkan, separuh daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung mungkin meninggal dunia dalam masa lima tahun. Dengan meningkatkan kesedaran terhadap kegagalan jantung, kami berharap untuk menambah kefahaman mengenai penyakit ini dan pengurusannya bagi memberi bimbingan serta sokongan kepada pesakit agar mereka boleh menjalani kehidupan yanglebih berkualiti,” katanya.
Katanya, kajian juga mendapati kualiti hidup pesakit mengalami kegagalan jantung lebih teruk daripada pesakit kronik lain. Ia menghalang pesakit daripada melakukan tugas mudah serta menyertai aktiviti harian bersama keluarga dan rakan, malah perangkaan menunjukkan 76 peratus daripada pesakit amat sukar untuk melakukan aktiviti harian selepas didiagnosis .
“Memahami kegagalan jantung adalah langkah penting untuk membantu menguruskan penyakit ini. Mengenal pasti tanda-tanda kegagalan jantung dan mengetahui apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko anda boleh membantu melindungi jantung anda dan orang lain yang rapat.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah pemeriksaan kesihatan berkala, mengawasi dan mengawal tekanan darah, periksa tahap kolesterol dan paras gula darah, jangan merokok dan elakkan asap rokok,
kerap bersenam dan mengambil makanan seimbang serta kekalkan berat yang sihat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment