Sebab pelbagai penyakit popular




Tidur perkataan yang mudah disebut dan dilakukan bagi sesetengah orang. Ia adalah terapi paling mujarab untuk merehatkan minda dan badan selepas seharian memerah keringat.

Keperluan asas ini adalah tuntutan biologi untuk terus hidup dengan sempurna. Seseorang yang kekurangan waktu tidur cenderung mengalami kesan mengantuk. Tanpa disedari, mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi, malah disebabkan gangguan ketika tidur.



Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) dan Penyakit Berdengkur dan Sleep Apnea, Pusat Pakar Perubatan Antarabangsa Hospital Beacon dan Bendahari Persatuan Penyakit Permasalahan Tidur Malaysia, Dr Raymond Tan Suan Kuo berkata mengantuk dan tidak cukup tidur menjadi wabak global yang mengancam kesihatan serta kualiti hidup masyarakat ketika ini.

“Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak sedar waktu tidur tidak berkualiti boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti angin ahmar, kegagalan jantung, diabetes dan buah pinggang. Gangguan lain termasuk kegagalan jantung, asma dan apnea tidur atau gangguan pernafasan sewaktu tidur. Sebenarnya ia boleh diatasi dan dicegah.

“Gangguan tidur adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dan dirawat di setiap negara di dunia bermula dengan kesedaran orang awam terhadap kepentingan waktu tidur yang cukup,” katanya sempena Hari Tidur Sedunia baru-baru ini.

Menurut Raymond, tidur nyenyak adalah satu daripada tiga ‘rukun’ kesihatan yang baik bersama diet seimbang dan senaman yang kerap.

“Ada hampir 100 jenis gangguan tidur tetapi ia sebenarnya boleh diatasi dengan bantuan pakar. Individu yang mendapat tidur sepanjang malam tanpa sebarang gangguan mengalami kadar yang lebih rendah mendapat tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti dan penyakit kronik lain.

“Meskipun ia boleh dirawat, kurang satu pertiga daripada pesakit yang berjumpa pakar bagi mendapatkan rawatan. Ia menjadi ‘wabak’ yang mengancam kesihatan serta kualiti hidup kira-kira 45 peratus penduduk dunia. Kajian menunjukkan bahawa kita menghabiskan sehingga satu pertiga daripada kehidupan untuk tidur.

“Tidur adalah keperluan asas manusia, sama seperti makan dan minum, dan adalah penting untuk kesihatan secara keseluruhan,” katanya.

Tidur juga seperti senaman dan pemakanan yang penting untuk mengawal metabolisme pada kanak-kanak. Ada bukti yang menunjukkan kaitan antara tempoh tidur dan obesiti kanak-kanak. Hasil kajian ini lebih ketara kepada perempuan. Pernafasan kerap sewaktu tidur adalah penting untuk mengekalkan kesihatan.

Gangguan berterusan fungsi pernafasan dipanggil apnea tidur. Ini adalah gangguan meluas dan biasa yang memberi kesan empat peratus terhadap lelaki dan dua peratus wanita.

Raymond menambah, apnea tidur akan menyebabkan rasa mengantuk waktu siang dan keletihan serta boleh membawa kepada keadaan seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung iskemia, strok dan kencing manis.

“Kurang tidur atau tidur yang tidak berkualiti mempunyai kesan negatif yang besar ke atas kesihatan kita dalam jangka masa panjang dan pendek. Antara kesan tidak cukup tidur ialah kesan negatif terhadap tumpuan, ingatan dan pembelajaran. Kesan jangka panjang pula seperti masalah kesihatan yang ketara misalnya obesiti, kencing manis, sistem imun yang lemah juga kanser,” katanya.

Kurang tidur turut berkaitan dengan banyak keadaan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan serta psikosis. Tidur yang berkualiti memberi impak yang besar dalam kehidupan.

Manakala tidur yang berkualiti terhadap kanak-kanak pula meningkatkan kesihatan serta tumbesaran mereka. Kira-kira 35 peratus mereka yang tidak cukup tidur memberi kesan kepada fizikal dan mental.

“Obstructive Sleep Apnea (OSA) adalah gangguan paling biasa dialami. Ia adalah gangguan pernafasan menyebabkan seseorang itu berhenti bernafas secara berkala ketika tidur dengan kadar kekerapan tidak menentu, malah berulang ratusan kali dalam satu malam.

“Ia menjejaskan kira-kira empat peratus penduduk dewasa jika tidak diuruskan dengan baik. Gangguan pernafasan ketika tidur ini lebih kerap dialami golongan lelaki, namun wanita juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah kesihatan sama,” katanya.

Ada beberapa simptom OSA, Gangguan Pernafasan atau Apnea iaitu saluran separa pernafasan tersumbat ketika tidur disebabkan otot tekak berada dalam keadaan rehat menyebabkan lidah atau tisu lemak dari tekak menghalang saluran udara.

“Sewaktu Apnea berlaku, kemasukan udara daripada luar yang terhalang menyebabkan darah tidak sampai ke otak yang kemudian menghantar isyarat menyedarkan individu mengalaminya supaya kembali bernafas. Apabila individu mengalaminya tersedar daripada tidur, dia akan tercungap-cungap, berasa seakan-akan tercekik atau kedengaran seperti orang lain berdengkur selain bergelut untuk mendapatkan oksigen,” katanya.


0 comments: