Kerala: Seorang wanita dipuji kerana keberaniannya memotong kemaluan seorang lelaki yang didakwa mahu memperkosanya.
Pegawai berkata, seorang sami mencabul wanita berusia 23 tahun itu sejak beberapa tahun lalu sebelum mangsa bertindak memotong kemaluannya dengan pisau yang disembunyikan di bawah bantalnya.
Wanita itu memberitahu polis, dia bertindak demikian selepas tidak tahan diperkosa sepanjang lima tahun lalu.
Bagaimanapun, sami terbabit kemudian mendakwa, dia sendiri yang memotong kemaluannya, lapor akhbar Hindustan Times.
Pinarayi Vijayan, Ketua Menteri Kerala, negeri di selatan India, tempat kejadian itu berlaku berkata: “Wanita itu bertindak berani.”
Dalam wawancara menerusi telefon, ketua polis daerah G Sparjan Kumar mengesahkan kejadian itu dengan berkata, mangsa menggunakan pisau untuk mempertahankan dirinya dan memotong kemaluan sami terbabit.
“Lelaki itu, Hari Swami yang dalam keadaan serius selepas kejadian itu dihantar ke hospital kerajaan berhampiran,” katanya.
Media tempatan melaporkan, Swami kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan kecemasan.
Menurut Kumar, wanita itu mendakwa dia menjadi mangsa pencabulan sami itu selama beberapa tahun dan lelaki terbabit akan berdepan tuduhan melakukan serangan seksual.
Polis berkata, ibu bapa wanita itu yang tinggal di rumah yang sama tidak menyedari tindakan sami berkenaan.
“Wanita itu memberitahu kami, ibu bapanya terlalu mempercayai sami berkenaan dan dia sering dijemput melakukan upacara khas dan bermalam di rumah keluarga itu,” kata Kumar.
Mangsa kini diletakkan di bawah perlindungan polis.
Serangan seksual membabitkan ‘orang agama’ sering berlaku di negeri di selatan India itu.
Bulan lalu, dua rahib wanita dan seorang paderi yang dituduh menyembunyikan kelahiran seorang bayi oleh seorang remaja belasan tahun yang diperkosa oleh seorang paderi lain, ditangkap.
Tahun lalu, seorang rahib dipenjara 40 tahun oleh mahkamah Kerala kerana memperkosa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 2014.
0 comments:
Post a Comment