Boy dan Pine (1968) menjelaskan bahawa kaunseling merupakan satu hubungan bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan dari seorang kaunselor. Perhubungan ini mempunyai ciri seperti komunikasi yang efektif, saling hormat menghormati, penerimaan klien secara tulin oleh kaunselor dan penumpuan diberikan kepada keperluan-keperluan, masalah serta perasaan klien.
Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. . James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu. Akhirnya Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulakan masalah pada dirinya.
Sementara itu dari perspektif Islam pula, Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai masalah psikologikal dengan seorang
kaunselor terlatih untuk membantu klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Kaunseling Islam mempunyai liputan skop masalah yang lebih
besar iaitu yang berkaitan dengan keimanan seseorang seperti aspek ketuhanan, alam akhirat, dosa, pahala, neraka, hari kiamat dan sebagainya.
Takrif kaunseling menurut Jabatan Perkhidmatan Awam ialah proses perhubungan menolong sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlandaskan etika kaunseling.
Merumus definisi yang telah dinyatakan, kesemua takrifan kaunseling menyentuh berkenaan proses membantu menyelesaikan masalah secara sistematik dan beretika. Ianya juga dibuat secara perhubungan profesional dan ini dirangkumkan dalam definisi oleh Zainal Abidin ( 2005) iaitu satu perbincangan antara seorang kaunselor terlatih dengan seorang individu atau kelompok kecil yang mengalami kekeliruan dan memerlukan bantuan, bersama-sama memikirkan dan meneliti beberapa alternatif untuk mengatasi sesuatu kecelaruan dan seterusnya melaksanakan alternatif yang dipilih
0 comments:
Post a Comment