Edar dadah, pencuci kontrak dihukum gantung


ALOR SETAR 4 Jan. - Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pencuci kontrak selepas disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Zulkifli Md. Ridzuan, 36, selepas mendapati keterangan saksi pembelaan untuk menyangkal keterangan lapan saksi pendakwaan tidak berasas dan pihak pembelaan tidak menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes.

"Selepas mendengar dan meneliti semua keterangan, mahkamah tiada budi bicara dan tiada hukuman lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” katanya.

Mohd. Zulkifli, berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang, dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 2,532 gram di hadapan gerai Rumah Makan Intan Penjaja, Taman Cengkok, Lunas, di Kulim pada 9.30 malam 19 Ogos 2010.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam J.M Martin. — BERNAMA



Utusan Malaysia Online - Terkini
Post a Comment