JANTUNG Berlubang ( ASD vs VSD )


MASALAH jantung berlubang adalah satu penyakit jantung yang agak kerap kita dengar. Ia masalah jantung kongenital atau sejak kelahiran. Secara amnya masalah jantung berlubang terbahagi kepada dua:

1. Atrial septal defect (ASD)
Masalah ini terjadi sekiranya dinding yang memisahkan atrium kiri dan atrium kanan tidak bercantum ketika lahir. Akhirlnya, akan wujud satu lubang di mana darah boleh mengalir daripada bahagian kiri jantung yang lebih tinggi tekanannya ke bahagian kanan jantung.

Lubang yang lebih besar akan menyebabkan lebih banyak pengaliran darah dari bahagian kiri ke kanan. Akibatnya bahagian kanan jantung akan menjadi bengkak dan tekanan di dalam salur darah pulmonari atau paru-paru akan menjadi tinggi.







Komplikasi yang boleh berlaku termasuk: 
Kesukaran bernafas. 
Masalah irama jantung atau ‘arrythmia.’ 
Strok. 
Bengkak kaki atau abdomen. 

Simptom ini akan berlaku lebih awal jika saiz lubang ASD itu lebih besar. 
Jika saiznya kecil (kurang dari satu sentimeter (sm padu), masalah ini biasanya dikesan secara kebetulan ketika pemeriksaan kesihatan kerana seseorang itu tidak akan merasa gejala seperti sukar bernafas dan lain-lain yang disebut di atas. 


2. Ventricular septal defect (VSD) 

Masalah ini terjadi apabila dinding yang memisahkan ventrikel kanan dan kiri gagal bercantum. Masalah lubang ini jika berlaku ketika dilahirkan, kebanyakannya akan tertutup dengan sendirinya sebelum umur empat tahun. Masalah yang akan timbul jika lubang ini kekal sama juga bergantung kepada saiznya. 

Lubang yang kecil biasanya tidak mendatangkan sebarang masalah dan pesakit boleh menjalani kehidupan yang normal. 

Bagaimanapun, jika lubang itu besar, ia menyebabkan bahagian kanan jantung bengkak serta tekanan tinggi dalam salur darah di paru-paru sehingga mengakibatkan gejala seperti susah bernafas, bengkak kaki atau abdomen. 

Jantung berlubang ASD dan VSD biasanya dikesan secara kebetulan ketika pemeriksaan kesihatan atau berjumpa dengan doktor untuk masalah lain. 

Doktor yang memeriksa akan dapat mendengar bunyi jantung tidak normal. Ujian X-ray dada yang biasa dilakukan dalam pemeriksaan saringan kesihatan boleh menunjukkan tanda bahagian jantung kanan bengkak dan tekanan darah yang tinggi di dalam salur darah pulmonari. 

Ujian yang penting untuk mengesan masalah ini ialah ekokardiogram. Ini ialah ujian ultra bunyi jantung yang dapat melihat jantung dan secara langsung dapat menilai struktur dan fungsi jantung dengan lebih teliti. 

Ujian imbasan MRI juga boleh mengesan masalah jantung berlubang ini dengan tepat.

Post a Comment