Digital Drug "berdengung sampai koma"



Kuala Terengganu: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh membantu membendung penularan dadah digital di negara ini dengan menyekat akses ke laman web yang menawarkan perkhidmatan itu di Internet.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, gejala penggunaan dadah digital boleh mendatangkan masalah kepada negara dan ia satu isu bersama untuk ditangani kerajaan serta perlu diberi perhatian serius.


“Sehubungan itu, saya meminta mana-mana pihak mempunyai maklumat mengenai dadah digital supaya melaporkan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau SKMM untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi SMS kepada Harian Metro, semalam. Semalam, muka depan Harian Metro mendedahkan kewujudan dadah digital yang boleh membuatkan penggunanya khayal dengan cara mudah iaitu mendengar sejenis bunyian dipanggil rentak binaural dan tona isokronik melalui fon kepala yang disambung kepada komputer atau peranti mudah alih.

Satu syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat dikenali I-Doser bukan saja menjual dadah digital secara dalam talian, malah mendakwa produk mereka sudah dimuat turun lebih sejuta pengguna seluruh dunia sejak 2007.


Penggunaan dadah digital dikesan menular ke negara ini apabila didedahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjadi pengguna tegar produk terbabit.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) Datuk Yunus Pathi berkata, tidak kira apa saja gelarannya, penggunaan dadah digital secara berterusan mampu mengakibatkan ketagihan, sekali gus dibimbangi akan mewujudkan satu kaedah penagihan baru selain dadah sedia ada.

“Orang ramai perlu hindari apa saja bentuk hiburan atau teknologi yang boleh mendatangkan kealpaan, mudarat atau mengkhayalkan. Dadah digital dikhuatiri mampu membuatkan pengguna ketagih atau lebih serius, boleh menjadi ‘pintu masuk’ untuk mencuba dadah sintetik lebih berbahaya. “Saya sendiri terkejut mendapat tahu kewujudan dadah bentuk baru ini di Harian Metro dan mengucapkan tahniah kerana membongkar perkara ini, sekali gus membolehkan kami lebih berhati-hati,” katanya sambil menambah beliau berhasrat memberi informasi kewujudan dadah digital dalam ceramah dan seminar disertainya pada masa depan.

sumber

0 comments: