Helah Pengusaha Scam - Tips Azizi Ali
Sebenarnya tidak susah untuk sesiapa memberikan pulangan bulanan 10% kepada ‘pelabur’. Malah anda sendiri pun boleh melakukannya! Ya, anda juga boleh memberikan pulangan bulanan 10% kepada ‘pelabur’ walaupun anda tak tahu menahu tentang pelaburan.
Bagaimana?
Sebagai contoh, siMat telah melabur RM1,000 dengan anda kerana anda menjanjikan pulangan 10% sebulan.
Apa yang anda lakukan ialah untuk memulangkan RM100 setiap bulan untuk 10 bulan berikutnya kepada Mat. Ya, anda menggunakan duit Mat sendiri untuk memberikan pulangan 10% sebulan tersebut kepadanya.
Dan untuk mengaburi mata Mat, anda ceritakan kepadanya yang anda membuat pelaburan atau buat bisnes yang terer-terer. (Kadangkala anda mungkin ada bisnes sebenar tetapi untungnya cukup makan saja. Jadi, anda gunakan bisnes ini sebagai ‘front’ saja; pulangan yang diberikan masih daripada wang Mat sendiri.)
Kalau dia tanya banyak-banyak, anda gunakan terminologi high finance seperti offshore, tax arbitrage, derivatives atau forex. Mat pasti akan senyap sebab dia tak tahu menahu apa semua ini.
Lepas tu anda tunjukkan juga senarai nama ‘pelabur’ dalam skim anda, termasuklah doktor, peguam, engineer, lecturer dan malah Dato’-Dato’. Dan untuk mengaburi mata Mat lagi, anda (menyalah) gunakan ayat-ayat Islam dan menceritakan yang anda melakukan semua ini untuk menolong orang Melayu.
Uploadkan juga gambar anda memberi derma kepada anak-anak yatim dan mereka yang dalam kesusahan. (Anda tak kisah dan murah hati sebab wang yang diderma itu bukan wang anda!)
Kalau ada orang luar yang mengexposekan operasi anda, anda tepis dengan mengatakan mereka
(1) busuk hati dengan usaha anda cuba memajukan orang Melayu;
(2) tak berhak untuk komen sebab mereka tak menyertai pelaburan anda dan oleh itu tak faham konsepnya;
(3) nak promote diri mereka sendiri dengan menjatuhkan anda.
Apa yang anda TIDAK akan lakukan ialah untuk menceritakan kepada Mat yang anda recycle wangnya sendiri.
Jadi Mat akan mendapat ‘pulangan’ (wangnya sendiri) 10% setiap bulan untuk bulan-bulan berikutnya. Ini bukan saja membuatkan dia gembira tetapi lebih utamanya ‘membuktikan’ kepadanya yang skim anda bukan sahaja betul tetapi merupakan pelaburan impian!
Apa yang akan berlaku kemudian:
(1) Mat akan menjadi pengikut setia anda sehingga sanggup maki hamun sesesiapa yang mengexposekan anda;
(2) Mat akan tidak puas hati dengan RM100 sebulan. Selepas 4 atau 5 bulan, dia akan menambah ‘pelaburannya’ untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi. (Mat dapat duit untuk menambah pelaburannya kerana dia menjual tanah bapanya atau buat personal loan atau gadai barang kemas isterinya.)
(3) Dan kerana anda memberikan insentif komisen kepadanya, Mat akan merekrut orang lain untuk turut join ‘pelaburan hikmat’ anda. Mat akan mencanangkan peluang indah ini di seluruh Malaya!
Jadi tuan-tuan dan puan-puan, itulah dia ‘helah’ yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha scam untuk menarik orang untuk ‘melabur’ dengan mereka.
ADUHH!!!
Perkongsian tips oleh Saudara Azizi Ali Mentor Wang.
0 comments:
Post a Comment