Apakah Kaunseling Pada Anda

Kaunseling berasal daripada perkataan Inggeris iaitu ”counselling”. Melihat kepada makna perkataan ”counseling” iaitu “professional advice and help given to people with problems” (New Oxford Dictionary: 2005) yang difahami sebagai nasihat dan bantuan yang diberi secara professional kepada orang-orang yang bermasalah. Kamus “Steadman's Medical” menakrifkan kaunseling sebagai "a professional relationship and activity in which one person endeavors to help another to understand and to solve his or her adjustment problems; the giving of advice, opinion, and instruction to direct the judgment or conduct of another" (Stedman's Electronic Medical Dictionary, 1994). Iaitu aktiviti dan perhubungan professional di mana seseorang membantu orang lain memahami dan menyelesaikan atau memberi nasihat, pendapat dan tunjuk ajar dalam memandunya memperimbangkan penyelesian masalah.


Kaunseling menurut Krumboltz (1965) adalah apa sahaja aktiviti yang beretika yang dilakukan oleh kaunselor dalam usaha untuk membantu klien yang menunjukkan tingkah laku yang mendorong kepada penyelesaian masalah klien. Menurut Burks dan Stefflre (1979), kaunseling merujuk kepada perhubungan professional antara seorang kaunselor terlatih dan klien. Perhubungan ini biasanya bersifat person-to-person, walaupun kadangkala melibatkan lebih dari dua orang. Perhubungan ini dibentuk untuk membantu klien memahami dan menyatakan pandangan mereka tentang ruang hidupnya, dan mempelajari mencapai matlamat pilihan kendiri melalui pilihan yang bermakna dan bermaklumat setelah menyelesaikan masalah yang bersifat emosional dan interpersonal.

Boy dan Pine (1968) menjelaskan bahawa kaunseling merupakan satu hubungan bersemuka di mana seorang klien mendapatkan bantuan dari seorang kaunselor. Perhubungan ini mempunyai ciri seperti komunikasi yang efektif, saling hormat menghormati, penerimaan klien secara tulin oleh kaunselor dan penumpuan diberikan kepada keperluan-keperluan, masalah serta perasaan klien.
Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. . James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu. Akhirnya Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulakan masalah pada dirinya.
Sementara itu dari perspektif Islam pula, Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai masalah psikologikal dengan seorang
kaunselor terlatih untuk membantu klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Kaunseling Islam mempunyai liputan skop masalah yang lebih
besar iaitu yang berkaitan dengan keimanan seseorang seperti aspek ketuhanan, alam akhirat, dosa, pahala, neraka, hari kiamat dan sebagainya.
Takrif kaunseling menurut Jabatan Perkhidmatan Awam ialah proses perhubungan menolong sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlandaskan etika kaunseling.
Merumus definisi yang telah dinyatakan, kesemua takrifan kaunseling menyentuh berkenaan proses membantu menyelesaikan masalah secara sistematik dan beretika. Ianya juga dibuat secara perhubungan profesional dan ini dirangkumkan dalam definisi oleh Zainal Abidin ( 2005) iaitu satu perbincangan antara seorang kaunselor terlatih dengan seorang individu atau kelompok kecil yang mengalami kekeliruan dan memerlukan bantuan, bersama-sama memikirkan dan meneliti beberapa alternatif untuk mengatasi sesuatu kecelaruan dan seterusnya melaksanakan alternatif yang dipilih

Post a Comment