Bau badan KO TENGIK !!!

CUACA panas dan terik bukan hanya membuatkan kulit terasa seperti ‘dibakar’ tetapi juga badan berpeluh dan lebih merumitkan apabila timbul bau kurang menyenangkan.
Peluh dan bau badan dianggap saling berkaitan walaupun hakikatnya peluh bukan penyebab utama timbulnya bau badan yang membuatkan kita tidak selesa. 
Sama ada kita sedar atau tidak, bau badan sebenarnya berpunca daripada badan kurang bersih. Peluh tidak mempunyai bau, sebaliknya bau timbul apabila ia kering dan dipengaruhi tindakan bakteria yang wujud secara semula jadi pada kulit.

Bakteria ini menguraikan peluh dan bau badan hanya menjadi medium untuk pengeluaran bau, jadi walaupun hanya sedikit peluh, ia mampu mendedahkan kita kepada risiko bau badan.

Hasil kaji selidik dilakukan No Sweat menunjukkan, 65 peratus rakyat Malaysia sering menjadikan faktor bau badan rakan mereka sebagai bahan berseloroh.

Lebih mengejutkan, 60 peratus rakyat negara ini sanggup menahan nafas daripada menegur secara berterus terang mengenai bau badan orang lain.

Badan manusia menghasilkan dua jenis peluh iaitu apocrine dan eccrine. Peluh jenis eccrine menurunkan suhu badan, terutama ketika bersenam, manakala apocrine ialah pengaliran keluar peluh di ketiak, tangan, kaki dan pangkal paha.

Bukan hanya kepanasan, banyak faktor lain mempengaruhi pengeluaran peluh, antaranya aspek pemakanan, gaya hidup, emosi, tekanan, pergerakan ringan dan kelembapan.

Mengambil makanan atau minuman mengandungi kafein merangsang sistem saraf pusat dan mengaktifkan sistem kelenjar peluh. Semakin banyak kandungan kafein diambil, semakin banyak peluh anda keluar.

Makanan pedas turut menjadi faktor kerana ia mengeluarkan haba yang boleh mempengaruhi tubuh untuk berasa panas, sekali gus menyebabkan anda mengeluarkan peluh secara berlebihan.

Pemilihan bahan pakaian juga mempengaruhi kerana fabrik sintetik memangkinkan pengeluaran peluh secara berlebihan. Fabrik itu menghalang peluh mengewap dan menyebabkan tubuh bekerja sendiri untuk menyejukkannya.



Ada lima mitos berkaitan peluh dan bau badan:


1. Mitos: Kita hanya berpeluh pada hari panas

Hakikat: Kita mungkin berpeluh walaupun dalam bilik berhawa dingin. Peluh berpunca daripada emosi, suhu dan pergerakan fizikal.


2. Mitos: Berpeluh sedikit tidak menyebabkan bau badan

Hakikat: Peluh tidak berbau tetapi bakteria bertindak dengan peluh dan menyebabkan bau badan. Jadi, hanya sedikit peluh mampu menyebabkan bau badan.


3. Mitos: Wangian dapat melindungi daripada bau badan

Hakikat: Tidak. Hanya deodoran anti-peluh berupaya membasmi bakteria pada permukaan kulit, justeru melindungi bau badan.


4. Mitos: Saya tidak mempunyai bau badan

Hakikat: Kajian menunjukkan kita tidak berupaya mengesan bau badan sendiri. Malah, rakan kita juga segan untuk memberitahu kita mengenainya.


5. Mitos: Deodoran tidak selamat digunakan kerana menyumbat liang roma

Hakikat: Penggunaan deodoran selamat kerana membantu menghalakan peluh ke bahagian badan lain di mana peluh dapat menyejat dengan cepat.

Bagi yang berdepan masalah bau badan, cara terbaik ialah menjaga kebersihan diri dengan mandi sekerap mungkin iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Bakteria tidak akan singgah di tempat bersih.

Gunakan deodoran yang mampu menghalang aktiviti pembiakan bakteria daripada bertindak balas atas permukaan kulit.

Kebanyakan produk deodoran di pasaran hanya bertindak menghalang bahagian ketiak berbau, jadi bagi yang mempunyai masalah ini, guna produk mengandungi bahan anti-bakteria.

Berdasarkan kajian, enam daripada 10 individu tidak menggunakan deodoran kerana beranggapan mereka tidak berpeluh hanya kerana bekerja di tempat berhawa dingin serta tidak banyak bergerak.

Hakikatnya, anggapan itu tidak benar kerana pengeluaran peluh juga dipengaruhi perubahan emosi, suhu dan pergerakan fizikal.

Aspek pemakanan juga perlu diberi perhatian. Sebaik-baiknya kurangkan pengambilan kafein, coklat serta makanan mengandungi unsur zink kerana ia mampu bertindak balas dan menghasilkan peluh apocrine.

Produk berasaskan asid borik juga boleh mengawal bau badan kerana ia berupaya menghalang pertumbuhan bakteria pada badan.

Bagaimanapun, dinasihatkan supaya menggunakannya dalam kadar diperlukan kerana penggunaan berlebihan mampu mengakibatkan kegatalan pada kulit.

Amalkan minum air kosong sekurang-kurangnya satu liter sehari untuk menyingkir bahan toksik daripada badan. Sebaik-baiknya mulakan hari dengan minum dua gelas air yang dicampurkan sedikit perahan limau.


sumber daripada : harian metro/ahad

0 comments: