Telan Dadah merupakan teknik POPULAR

SEPANG 1 Mac - Kegiatan penyeludupan dadah di pintu-pintu masuk utama negara oleh sindiket pengedaran antarabangsa dikesan masih menggunakan taktik menelan dadah, meskipun ia berisiko tinggi dan mampu mengundang maut.
Jika sebelum ini, mereka lebih gemar menyeludup masuk bekalan dadah menggunakan bagasi tarik, taktik menelan dadah dilihat tetap menjadi trend yang popular meskipun ia sudah dikesan sejak sekian lama dalam aktiviti penyeludupan oleh pihak berkuasa.
Ini berdasarkan kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan tiga kes penyeludupan dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak awal tahun ini yang menggunakan taktik menelan bahan larangan itu.
Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, tiga kes itu dikesan dalam tempoh dua minggu iaitu dari 16 Februari sehingga semalam melibatkan dadah seberat 2.56 kilogram bernilai RM626,500.
"Kes pertama melibatkan seorang lelaki warga Nigeria berusia 31 tahun yang menelan 66 ketulan syabu seberat 1,056 gram dibalut dengan kondom dan plastik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Zainul Abidin, kes kedua dikesan pada 25 Februari lalu melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun juga dari Nigeria yang menelan 50 ketulan syabu seberat 1,000 gram bernilai RM250,000.
Kata beliau, kes ketiga pula dikesan pada 26 Februari lalu melibatkan lelaki Iran berusia 27 tahun yang menelan 75 ketul syabu seberat 450 gram bernilai RM112,500.
Beliau berkata, pada 25 Februari lalu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga India berumur 32 tahun di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
"Lelaki itu disyaki membawa dadah jenis ketamin seberat 4 kilogram yang disorok dalam bagasi tarik," katanya.
Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.
Menurut Zainul Abidin, sepanjang Februari lalu, lapan kes penyeludupan berjaya dikesan melibatkan rampasan sebanyak 24.8 kilogram dadah bernilai RM3.45 juta.

0 comments: