Lolipop pendafluor BAHAYA


PEGAWAI CAP, NV Subbarow menunjukkan lolipop pendafluor yang ada bahan kimia berbahaya pada pemegangnya, baru-baru ini.
Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.
Beliau berkata, Kementerian sudah meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor.
“Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6, iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 'Jom Sihat' di Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju di sini, semalam.
Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa kementerian berdasarkan alamat pada pembungkus gula-gula itu, didapati alamat yang digunakan palsu.
Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.
Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya dan menjadi kegilaan kanak-kanak.
Katanya, berdasarkan ujian oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam, batang plastik lolipop itu mengandungi bahan seperti ftalat dan Poly Aromatic Carbon (PAH).
“PAH adalah sejenis bahan kimia yang bertoksik dan hanya digunakan untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Liow berkata gejala obesiti di kalangan penduduk Malaysia meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 4.4 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada tahun lalu.
Sehubungan itu, penyakit kencing manis di kalangan penduduk negara ini juga menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lalu -KUALA LUMPUR-
Post a Comment