Inno Bio fokus bioekonomi


BIOTEKNOLOGI merupakan enjin pertumbuhan baru ekonomi untuk pembangunan mampan menjelang 2020.
Pada 2020, kerajaan menganggarkan sektor tersebut memberi peluang pekerjaan kepada 160,000 orang dan menyumbang kepada lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menjana pulangan RM248 bilion.
Menerusi Dasar Bioteknologi Kebangsaan (NBP) yang dilancarkan pada 2005, farmaseutikal dan nutraseutikal merupakan satu daripada tiga bidang bioteknologi yang menjadi fokus selain agrobioteknologi dan bioteknologi industri.
Biofarmaseutikal merupakan antara bidang yang sedang berkembang. Ia wajar diberi penekanan sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai antara 17 negara di dunia yang memiliki kekayaan kepelbagaian biologi.

Paling penting, apabila kerajaan melancarkan Inisiatif Bioekonomi Malaysia (BIM) pada tahun lepas yang mana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) menjadi penerajunya.
BIM merupakan hasil daripada inisiatif di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), hasil syor Majlis Pelaksanaan Bioteknologi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah dilancarkan pada BioMalaysia 2011.
Ia memberi pertimbangan kepada beberapa projek utama iaitu bioteknologi industri, biomakanan, ekstrak, genomik, biobaja, biokawalan dan biosimilar.
Peta kerangka (road map) yang menggariskan hasrat Malaysia dalam bidang bioteknologi itu ialah menjadikan sains dan penyelidikan kepada bioekonomi di dalam kepakaran dan pelaburan yang diterokai.
BIM merupakan kesinambungan daripada langkah awal kerajaan sebelum ini selepas pewujudan NBP untuk meneroka potensi menjadikan sains dan bioteknologi kepada ekonomi.
Ketika pelancaran NBP, kerajaan juga mengumumkan penubuhan Perbadanan Pembangunan Bioteknologi (BiotechCorp) dan pada masa sama memperkasa Syarikat Inno Bio Ventures Sdn. Bhd. yang telah ditubuhkan pada 2002.
Ia dilihat tepat pada masanya dalam usaha Malaysia terlibat dalam industri biofarmaseutikal.
Anak syarikat Inno Bio Ventures, Inno Biologics (Inno Bio) selama ini bergerak sebagai entiti penyelidikan yang memberi tumpuan kepada biofarmaseutikal dan antibodi monoklonal berasaskan kultur sel mamalia menerusi kerjasama organisasi pembuatan kontrak (CMO).
CMO merujuk kepada organisasi yang bekerjasama dengan organisasi pembuatan asal menggunakan kepakaran dan fasilitinya bagi menghasilkan produk.
Produk tersebut akan dilabelkan dan dipasarkan oleh organisasi pembuatan asal itu sendiri.
Ketika ini, pasaran pembuatan kontrak farmaseutikal antarabangsa berada dalam lingkungan sekitar RM100 bilion pada tahun lalu dan ini menjadi pendorong kuat kepada Inno Bio untuk terbabit dalam industri berkenaan.
Apatah lagi, penjagaan kesihatan merupakan teras kedua dalam NBP dan sewajarnya agensi seperti Inno Bio memainkan peranan penting ke arah itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Inno Bio, Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie, dalam tempoh sedekad yang lalu, pencapaian Inno Bio boleh dibanggakan.
''Kejayaan tersebut merupakan hasil gabungan kepakaran dengan kemudahan di Inno Bio yang dimanfaatkan terutama di kalangan syarikat kecil baru muncul dan penyelidik tempatan yang memerlukan penyelidikan lanjut,'' ujarnya pada satu pertemuan di pejabatnya di Nilai baru-baru ini
Inno Bio telah menerima akreditasi daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, Inno Bio juga telah berjaya dalam proses validasi bioreaktor 1,000 liter berikutan kejayaan menghasilkan produk biologiks untuk sebuah syarikat dari Korea Selatan.
Pencapaian lain ialah kejayaan menghasilkan kelompok bahan biofarmaseutikal gred klinikal buatan tempatan pertama untuk sebuah syarikat yang beribupejabat di India, Avesthagen Limited.
Sebelum itu, Inno Bio juga telah berjaya menginsankan antibodi menggunakan teknologi yang dilesenkan oleh Centre of Molecular Immunology, Cuba (CIM), yang melibatkan dua antikanser kolon.
Inno Bio juga telah membina kerjasama strategik bersama syarikat global seperti Boehringer Ingelheim, GE Healthcare Bioscience, CIM dan CEVEC GmbH.
Dengan kemudahan Amalan Pengilangan baik semasa (cGMP), syarikat terbabit berada pada landasan betul bagi membangunkan industri penjagaan kesihatan berasaskan biologiks di negara ini.
Kerjasama lain ialah tapak ujian Beta untuk GE Healthcare dan projek penghasilan antibodi monoklonal kepada Malaysian Bio-Diagnostics Research Sdn. Bhd. (MBDr) untuk menghasilkan kit biodiagnostik bagi mengesan jenis dadah berbahaya.

0 comments: