Dah pasang jaring keselamatan, jadi tong sampah pulak !



KUALA LUMPUR: Walaupun jaring keselamatan hampir siap dipasang di Projek Perumahan Rakyat PPR Sri Pantai, namun ada segelintir penduduk yang 'menggunakannya' sebagai tempat pembuangan sampah.

Paket-paket plastik dan tisu kelihatan di celah-celah jaring yang mula dipasang sejak hampir dua minggu lepas.

Tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata penduduk berpuas hati dengan pemasangan jaring tersebut tetapi kecewa dengan sebilangan penduduk yang masih membuang sampah dari tingkat atas.

Salah seorang penduduk, Isa Yatim merasakan jaring tersebut memenuhi keperluan penduduk di sana dari aspek keselamatan namun berpendapat ia kurang sesuai dari aspek kebersihan.

"Memang bagus jaring ini dipasang. Lebih selamat, tetapi ada lagi orang yang buang sampah.

"Jadi, barang-barang seperti tisu bila tersekat di jaring, nampak tidak elok," katanya.

Tambah Isa, penyelesaian lain yang boleh dipertimbangkan adalah dengan membina lapisan konkrit.

"Namun, ini cuma pendapat saya. Terpulanglah kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai Tusiah Sino berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memasang jaring keselamatan tersebut.

"Ini merupakan fasa pertama. Ada lagi yang tidak siap. Namun, kami berterima kasih dengan pemasangan jaring ini.

"Saya berharap agar penduduk selepas ini tidak lagi membuang sampah dari atas dan janganlah gunakan jaring ini sebagai tempat untuk membuang sampah," katanya.

Jaring keselamatan ini dipasang sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempertingkatkan keselamatan penghuni PPR.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, langkah itu adalah bagi memastikan kejadian remaja lelaki maut ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas PPR Sri Pantai pada 15 Januari tidak berulang.

0 comments: