Sengsara Akibat Penangan Kopi Durian 3 Minit


GEORGE TOWN: Letih, lemah, serta panas badan.

Itu simptom yang dialami dua pengawal keselamatan warga Nepal yang dimasukkan ke hospital selepas mendakwa minum kopi pra-campuran berperisa durian ketika sedang bertugas.

Sapkota Mangai Prasea, 45 tahun, berkata, dia dan rakannya Bishnu Shrestna, 41 tahun, berkongsi sebungkus minuman itu ketika sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan di sebuah bangunan komersial di Pulau Tikus.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi Selasa itu, mereka mula rasa pening dan keletihan selepas menghabiskan minuman tersebut sehingga salah seorang daripada mereka pengsan.

“Pada mulanya saya mengalami mabuk-mabuk dan pening kepala. Kemudian, selepas tiga minit, semuanya menjadi gelap,” jelas Sapkota.

Sapkota yang bekerja di Pulau Pinang sejak empat tahun lepas dan fasih berbahasa Malaysia berkata mereka bernasib baik kerana gejala yang dialami itu tidak mengancam nyawa dan mereka semakin pulih sekarang ini.

Bishnu berkata, semasa kejadian, terdapat empat pegawal keselamatan sedang bertugas namun hanya dia dan Sapkota sahaja yang minum air kopi itu  sebelum mengalami gejala berkenaan.

"Saya rasa mahu muntah tapi tidak muntah, dan memang terus rasa letih serta macam hendak pengsan lepas minum air kopi itu. Waktu itu hanya ingat keluarga di Nepal dan mati saja," katanya.

Dia mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja yang terus membawa mereka ke HPP sejurus kejadian itu kerana jika lambat, mungkin keadaan mereka akan lebih teruk.

Mereka ditemui selepas menerima kunjungan daripada Konsul Kehormat Nepal Pulau Pinang, Datuk Huan Cheng Guan di Hospital Pulau Pinang, pada Khamis.

Sementara itu, Huan memaklumkan keadaan kesihatan mereka berdua semakin baik dan dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh terdekat.

0 comments: