Bahaya Dadah !!!


KOTA TINGGI 15 Okt. - Lebih 300 penduduk Sedeli Besar dekat sini menghadiri Forum Perbincangan Berkaitan Dadah anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Tinggi, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Parlimen Kota Tinggi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sedeli Besar di Dataran Sedeli itu turut dihadiri 38 pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar.
Forum bertajuk Tabiat Tak Pa, Masyarakat Binasa itu dikendalikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Kiyai Samsudin dan tiga ahli panel iaitu Pengarah AADK negeri, Sidek Jaafar; Ketua Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Sharifah Hayati Syed Ismail Al-Qudsi serta Pengarah Cure & Care Service (CCSC) Chow Kit Kuala Lumpur, Raja Azizan Raja Suhaimi.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar yang merasmikan forum itu berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk pencegahan, program pemulihan, hukuman berat kepada pengedar dan melancarkan program kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
"Menerusi pendidikan dan komunikasi, kita hendaklah menjelaskannya kepada semua lapisan masyarakat tentang tanggungjawab dan peranan mereka memberi pengetahuan tentang bahaya dadah dan kesannya," kata beliau.
Pada majlis itu, Syed Hamid turut menyumbangkan wang tunai RM3,000 kepada AADK untuk melaksanakan program tersebut.
Seorang penduduk, Mohamad @ Kamaruddin Embong, 63, menyifatkan program itu sebagai langkah yang tepat dan sesuai bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya dan ancaman dadah.
"Selain memupuk semangat dan kepercayaan antara ibu bapa dan anak-anak tentang konsep keluarga tanpa dadah, hadirin juga dapat bertukar-tukar pengalaman dan idea mengenai pendidikan anak-anak supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan najis dadah," katanya.
Sementara itu, seorang pelatih IKBN Bandar Penawar, Abd. Halim Mohd. Aznan, 18, pula berkata, dia dan rakan-rakan mendapat banyak maklumat berguna mengenai bahaya dadah dan kesannya kepada diri, masyarakat dan negara daripada forum tersebut.

0 comments: