F1 in Schools antarabangsa "Malaysia menyerlah"


DUA buah sekolah menengah dari negara kita berjaya mencipta nama di persada antarabangsa apabila diumumkan juara kategori pada pertandingan Formula One (F1) in Schools Dunia Peringkat Akhir 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor, Selangor masing-masing menjuarai kategori Team Identity Award dan Team Portfolio Award pada pertandingan kali ketujuh itu.
Pada pertandingan tersebut, kategori utama iaitu Juara Dunia F1 in Schools dimenangi oleh Brooks High School dari Tasmania, Australia yang menewaskan 22 pasukan lain dari 16 negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia.
Kemenangan itu melayakkan Brooks High School membawa pulang Trofi Juara Dunia Bernie Ecclestone dalam pertandingan yang menguji kemahiran para pelajar mereka bentuk, membangun dan menghasilkan kereta F1 untuk masa depan.
Menggunakan perisian Solid Edge ST3 dari Siemens, F1 in Schools Dunia Peringkat Akhir ini memerlukan pelajar menggunakan kreativiti dan kemahiran kejuruteraan untuk menjana kereta lumba yang rumit dengan rekaan inovatif yang kemudiannya akan dipersembahkan kepada panel hakim pakar.
Tempat kedua bagi kategori utama itu dimenangi oleh Grootmoor Gymnasium, Hamburg, Jerman manakala tempat ketiga menjadi milik South East High School, Florida yang berkongsi tempat dengan James Madison Middle School, Virginia, Amerika Syarikat.
F1 in Schools merupakan satu-satunya cabaran multi disiplin global untuk pelajar-pelajar sekolah berumur antara sembilan hingga 19 tahun.
Berpusat di London, United Kingdom dan disokong oleh Institut Kejuruteraan dan Teknologi, dana pertandingan ini dikumpulkan melalui penajaan dan pelaburan dalam mentadbir, membangun dan memperluaskan cabaran.
Pertandingan ini memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk menggunakan teknologi maklumat (IT) bagi mempelajari ilmu fizik, aerodinamik, reka bentuk, pembuatan, penjenamaan, grafik, tajaan, pemasaran, kepimpinan, kerja berpasukan, kemahiran media dan strategi kewangan dan mengaplikasikannya dalam satu cara menarik, praktikal dan imaginatif.
Ia juga memberi cabaran kepada para pelajar untuk menggunakan perisian mereka bentuk, membina dan menguji kelajuan miniatur kereta F1 yang dibuat daripada kayu balsa dengan kuasa udara mampat silinder tunggal.
Semua pasukan yang terlibat menerima satu kit permulaan yang mempunyai semua bahan asas termasuklah sat u blok kayu balsa untuk mencipta miniatur kereta lumba F1 itu.
Pelajar harus menyediakan pelan perniagaan, peruntukan dan mencari penaja melalui kerjasama dengan komuniti perniagaan.
Kereta F1 tersebut kemudiannya akan disertakan dengan perisian Computer Aided Manufacture (CAM) sebelum diuji dalam terowong angin dan asap. Kemudian kereta F1 itu diuji dalam perlumbaan bagi menghabiskan jarak laluan lurus sejauh 20 meter.

0 comments: