'Solat First' ???


MELAKA 11 Okt. - Program 'Solat First' anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) mencapai objektif apabila berjaya menimbulkan kesedaran kepentingan solat di kalangan peserta.
Program yang berlangsung selama dua hari di Masjid Al-Ilmi, KUIM, di sini, baru-baru ini disertai 47 murid dari SK Jeram dan dibimbing oleh 17 fasilitator berpengalaman dari KUIM.
Penyelaras Program, Shahidah Zakariah yang juga merupakan guru SK Jeram berkata, program berkenaan bukan sahaja memberikan tumpuan dalam aspek kesempurnaan solat malah turut memberikan pendedahan kepada murid mengenai kehidupan di institusi pengajian tinggi.
Selain itu katanya, objektif program berkenaan juga bagi mengeratkan hubungan di antara siswi dan siswa bersama para pelajar tahun enam.
''Ia juga bertujuan mengubah corak pemikiran murid ke arah yang positif dan mampu berfikir secara rasional dalam membuat keputusan.
"Program ini diharap menyuntik semangat dan motivasi kepada murid-murid terhadap keistimewaan bersolat serta mewujudkan jalinan ukhuwah tarbiyah Islamiah di antara siswi dan siswa bersama para pelajar tahun enam," katanya di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Akademi Pengajian Islam KUIM, Mohd. Azam Yahya berkata, program seumpama itu perlu diperbanyakkan bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkualiti solatnya malah mempunyai daya pemikiran yang matang dan dinamik.
Ini kerana katanya, melalui program sedemikian, murid bukan sahaja diajar mengenai solat malah turut didedahkan dengan aktiviti kumpulan, semangat berpasukan dan setia kawan serta aktiviti riadah yang menyeronokkan.
Post a Comment