Wanita Thailand ditahan seludup masuk ganja


ALOR SETAR 24 Okt. - Seorang wanita warga Thailand dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup masuk ganja dengan menaiki sebuah bas ekspres dicekup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhampiran Plaza Tol Jitra dekat sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah itu ditahan pada pukul 9.10 malam oleh sepasukan pegawai JKDM yang diketuai oleh Donian Othman, hasil maklumat awam.
Ganja tersebut ditemui disorok dalam sebuah beg pakaian dalam ruang bagasi bas yang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke Johor Bharu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Saidi Ismail memberitahu, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 20 ketul mampat daun kering ganja seberat 18.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44,700.
Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.
"Pihak kami menahan bas ekspres itu dan meminta kesemua 12 penumpangnya turun. Setelah suspek membuka begnya yang berkunci, kami menemui ketulan mampat ganja dan tiga helai baju," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita yang mempunyai dua anak itu dipercayai menaiki teksi dari Changlun ke Bukit Kayu Hitam setelah membuat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sebelum menaiki bas untuk ke ibu negara.
Menurut Saidi, suspek dipercayai sering keluar masuk membawa dadah itu melalui negara ini, disebabkan kebiasaan itu, suspek tidak cuba melarikan diri ketika diperiksa.
Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan

sumber : utusan malaysia

0 comments: