Apa itu ASMA



Apa itu asma? 

Asma adalah penyakit alahan yang mengganggu saluran udara (bronkus). Ketika berlaku tindak balas alahan, bronkus menjadi sempit dan dipenuhi lendir. Ini menyebabkan kesesakan nafas. Serangan asma boleh menakutkan anak kerana perasaan lemas menyebabkan anak panik dan ini membuat pernafasan semakin sukar.

Punca awal menyebabkan alahan, iaitu alergen seperti debunga atau habuk rumah, yang biasanya dibawa oleh angin. Bagi anak menghidap asma, tekanan emosi dan senaman boleh menyebabkan serangan.

Asma biasanya menyerang kanak-kanak berumur dua tahun ke atas. Keadaan ini biasanya masalah keturunan dan disusuli penyakit alahan lain seperti ekzema. Namun, kebanyakan kanak-kanak pulih semakin umur meningkat.

Kebanyakan bayi berumur kurang satu tahun mempunyai bunyi nafas berdehit jika menghidap bronkitis. Ini berlaku apabila saluran udaranya yang kecil menjadi radang.





Adakah keadaan ini serius? 

Serangan asma mungkin menakutkan tetapi jika diberi ubat dan nasihat doktor diikuti, anak anda tidak akan menghadapi kerumitan.

Tanda-tanda 
1. Sesak nafas
2. Rasa lemas
3. Bunyi nafas yang berdehit
4. Batuk yang berterusan
5. Bibir kelihatan biru (sianosis) disebabkan kekurangan oksigen

Tindakan perlu dilalukan? 

Segera bawa anak berjumpa doktor apabila mengalami asma. Jika ia berlaku ketika anak tidur, dudukkan dan sokong belakangnya dengan bantal. Anda juga boleh tundukkan anak di atas kerusi dan lengannya diletakkan pada belakang kerusi supaya beban pada dadanya diringankan. Ini membolehkan otot dada mengeluarkan udara dengan lebih cekap.

Cuba bertenang kerana keresahan hanya membuat anak anda lebih takut. Ketika menunggu doktor, cuba alihkan perhatian anak kepada benda lain, misalnya nyanyikan lagu bagi membantu anak melupakan keadaan nafasnya yang berdehit.

Apakah tindakan doktor? 

Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan bronkodilator untuk membuka bronkus dengan mengendurkan otot. Dadah ini disedut terus dalam bronkus. Serangan yang teruk mungkin memerlukan rawatan hospital dan dos lebih tinggi diberikan secara sedutan atau titisan intravena.

Jika ada tanda jangkitan dada, antibiotik mungkin disyorkan. Doktor akan menerangkan cara menghalang serangan akan datang dan mungkin menentukan alergen sama ada melalui ujian bagi alergen tertentu seperti debunga dan habuk rumah.

Doktor akan memberi bekalan kecil dadah bronkodilator, sama ada dalam bentuk cecair atau kapsul untuk dimasukkan ke dalam penyedut. Ini harus diambil sebaik serangan bermula. Doktor akan menasihatkan anda supaya memberitahunya jika anak mengalami serangan teruk atau jika serangan tidak reda walaupun anak diberi dua dos bronkodilator.

Doktor mungkin mengesyorkan dadah steroid jika langkah lain tidak dapat menghalang serangan berikutnya. Dos steroid rendah mungkin perlu disedut tiga atau empat kali sehari atau jika tindakan ini tidak berkesan, dos lebih tinggi diberi dalam bentuk pil.

Bagaimana saya boleh membantu? 

Jika doktor gagal menentukan alergen, cuba tentukan sendiri dan catat bila serangan berlaku dan waktunya. Pastikan rumah bebas daripada alergen biasa seperti kekabu selain gunakan pembersih vakum untuk membersihkan habuk di rumah.

Kebanyakan pesakit asma alah terhadap haiwan. Jika anda memelihara haiwan kesayangan, minta bantuan rakan menjaganya selama beberapa minggu bagi menentukan sama ada kekerapan serangan asma anak anda berkurangan.

Pastikan anak membawa ubat setiap masa. Maklumkan kepada pihak berkuasa sekolah mengenai kemungkinan serangan ini berlaku dan rujuk kepada pakar fisioterapi supaya anak anda boleh mempelajari cara bernafas untuk membantunya menenangkan diri ketika berlaku serangan.

Galakkan anak duduk atau berdiri tegak supaya paru-parunya mempunyai lebih ruang. Jangan biarkan anak menjadi terlalu gemuk kerana ini membebankan paru-paru.

Senaman ringan membantu pernafasan anak tetapi latihan berat boleh membawa kepada serangan asma.

Selain latihan jasmani, syorkan anak anda memakai lencana ‘Medic Alert’.


Gejala dan faktor risiko
Gejala asma agak unik kerana ia:


Boleh bersifat ringan, sederhana atau teruk.

Berbeza dari semasa ke semasa dari satu episod ke episod serangan seterusnya sama ada dalam tempoh beberapa jam, hari, minggu dan bulan. Dalam masa beberapa jam, seseorang pesakit boleh menunjukkan gejala asma yang berbeza. Biasanya pesakit mengalami gejala lebih teruk pada waktu malam dan awal pagi.

Serangan asma boleh berulang pada bila-bila masa atau ‘hilang’ untuk satu jangka masa yang lama sebelum menyerang semula.

Gejala asma juga berbeza antara pesakit, walaupun kedua-duanya menghidap asma bagi tempoh sama.


Menurut Dr Azam, ada banyak faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang menghidap asma seperti:

Sejarah asma atau alahan dalam keluarga (ini termasuklah ekzema dan alahan rinitis)

Pendedahan terutama ketika bayi terhadap bahan-bahan alergen seperti habuk kutu rumah, asap rokok dan bahan kimia domestik.


Bagaimana anda boleh menentukan sama ada si kecil menghidap asma? 

Bukan semua pesakit akan menunjukkan gejala yang sama. Bagaimanapun antara gejala yang paling kerap dialami ialah batuk berterusan ketika bermain, ketawa atau menangis, dan lebih teruk pada waktu malam; nafas anak menjadi kasar, pendek dan cepat (tercungap-cungap); pernafasannya berbunyi kasar.



Kuiz saringan asma

l Adakah anak anda mengalami masalah pernafasan berbunyi kasar berulang kali?
Adakah anak anda kerap batuk sehingga mengganggu tidurnya pada waktu malam?

Adakah pernafasan anak anda menjadi kasar atau terbatuk-batuk selepas bersenam?

Adakah pernafasan anak anda menjadi kasar, sesak nafas atau batuk selepas terdedah pada alergen atau pencemaran udara?

Adakah selesema anak anda ‘sampai ke dada’ atau berlanjutan melebihi 10 hari?

Adakah gejala yang anak anda alami berkurang dengan rawatan anti asma tertentu?

Jika anda mempunyai satu atau lebih jawapan ‘Ya’ kepada soalan di atas, ia mungkin menandakan anak anda menghidap asma. Untuk kepastian bawalah si kecil berjumpa doktor supaya pemeriksaan lanjut dapat dijalankan.

Faktor pencetus serangan asma:

Selesema dan flu

Pencemaran udara

Kehadiran alergen (habuk kutu rumah, spora, debunga, bulu haiwan peliharaan, kulat)

Senaman atau aktiviti cergas

Sesetengah makanan (terutama makanan sejuk) dan bahan yang ditambah dalam makanan

Sesetengah ubat dan persediaan herba

Asap rokok

Cuaca sejuk



Petua hidup sihat

“Asma bukanlah penghalang untuk seseorang kanak-kanak menyertai aktiviti sukan jika penyakitnya terkawal. Rawatan asma boleh dibahagikan kepada dua iaitu rawatan penyelamat iaitu bronkodilator dan untuk mengelakkan keradangan seperti kortikosteroid (disedut) dan leukotrin antagonis.

“Kini ada juga ubat dalam bentuk pil yang membantu memudahkan kawalan asma. Selain itu ada juga ibu bapa yang mencuba perubatan alternatif seperti teknik pernafasan dan rehat, akupuntur, homeopati, persediaan herba dan makanan tambahan,” katanya.

Ada yang bertanya bagaimana hendak tahu sama ada asma anak anda terkawal? Asma terkawal apabila:

Anak anda memerlukan ubat pelega dua kali atau kurang dalam tempoh seminggu

Anak anda tidak lagi bangun tengah malam akibat asma

Anak anda tidak memerlukan atau hanya mengalami gejala asma dua kali atau kurang dalam masa seminggu

Anak anda boleh melakukan aktiviti fizikal tanpa masalah

Tiada tanda asma anak anda bertambah teruk

Fungsi paru-paru hampir normal


Kaedah yang boleh mencegah anak mendapat asma iaitu:

Memberikan susu badan (secara eksklusif atau sepenuhnya sekurang-kurangnya selama enam bulan) dan diteruskan sehingga anak berusia dua tahun

Hadkan pendedahan terhadap bahan atau persekitaran yang boleh merangsang asma

Jangan benarkan sesiapa termasuk bapa merokok berhampiran anak. Asap rokok adalah pencetus serangan asma yang paling lazim.

Galakkan anak menjadi aktif

Berjumpa doktor apabila perlu

Dari segi pemakanan, Dr Azam menyarankan supaya ibu bapa mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selain itu minyak ikan, penggunaan minyak zaitun, bawang merah dan putih serta pengurangan garam juga didapati boleh membantu mengurangkan gejala asma.

Ibu bapa pesakit asma biasanya memang lebih peka terhadap penjagaan makanan tetapi adakala mereka terlepas pandang terhadap beberapa jenis makanan yang boleh mencetuskan serangan asma seperti:

Susu dan produk tenusu

Makanan yang menghasilkan mukus (coklat, makanan daripada tepung berwarna putih, gula)

Makanan mengandungi banyak garam - ini termasuklah kerepek, keropok, jeruk dan makanan ringan

Semua jenis makanan segera (yang sangat digemari kanak-kanak).

Pada masa sama ibu bapa disaran melakukan beberapa perubahan pada gaya hidup dan kediaman iaitu menjadikan senaman atau aktiviti cergas sebagai rutin keluarga, memastikan anak mengambil rawatan setiap hari, udara dalam rumah tidak terlalu lembap, rumah sentiasa bersih dan tiada haiwan peliharaan di dalam rumah.

“Jika anda mempunyai anak asma, perkara paling penting ialah berhenti merokok. Pada sesetengah kanak-kanak, bau asap rokok yang melekat pada baju juga sudah boleh menyebabkan mereka sukar bernafas. Inilah sebabnya sesetengah pesakit kecil lebih kerap mendapat serangan walaupun ibu atau bapa tidak merokok di dalam rumah,” katanya.

0 comments: