Revolusi Sukan Baru ( Ultimate Frisbee )

Satu sukan yang sebenarnya sudah lama bertapak di tapak negara kita ini. tapi pernahkah anda dengar sukan di atas ?. jika pernah tak mengapa jika belum teruskan membaca ya.hehe. Sebenarnya sukan ini adalah permainan melempar cakera yang sudah lama bertapak di negara kita, dan ia seakan-akan UFO  akan tetapi kurang popular dan kini kebanyakan institusi awam dan swasta sudah mengetengahkannya di dalam tempat belajar mereka. Untuk keterangan lanjut, meh baca kat sini.... 


SUASANA padang Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam sama seperti waktu-waktu petang lain. Ia penuh dengan para penuntut yang beriadah. Ada yang bermain hoki, bola jaring mahupun bola sepak, malah tidak kurang juga yang hanya menjadi penonton setia di tepi-tepi padang sambil berbual dan mencuci mata.

Kehadiran beberapa objek piring persis objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di udara tidak diendahkan.

Objek seperti piring berterbangan pada setiap petang itu adalah fenomena yang lazim dilihat. Ia bukan UFO yang sinonim dikaitkan dengan makhluk asing tetapi ia adalah frisbee. Permainan itu dikenali sebagai Ultimate Frisbee.

Hakikatnya, sukan itu agak asing di Malaysia kerana tidak ramai yang mengetahuinya.

Namun, sukan yang agak popular di Lembah Klang itu semakin berkembang di Malaysia pada momentum yang sederhana.

Ia dimainkan dengan cakera frisbee seberat 175 gram, berdiameter antara 20 hingga 25 sentimeter iaitu saiz yang mengikut piawaian antarabangsa. Bahannya pula diperbuat daripada plastik.

Penentuan mata sukan ini berdasarkan penyerahan cakera frisbee kepada pemain sehingga sampai ke zon hujung (end zone) pihak lawan sama seperti American Football atau ragbi.



Musim panas


Sukan Ultimate Frisbee bermula pada tahun 1968 apabila seorang pelajar, Joel Silver yang menuntut di Columbia High School, Maplewood, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) mencadangkan pada majlis pelajar sekolahnya supaya mewujudkan pasukan frisbee sekolah.

Kemudian ia mula dimainkan oleh sekumpulan pelajar pada musim panas. Silver belajar mengenai sukan ini apabila mengikuti kem musim panas di Northfield Mount Hermon, Massachusetts daripada seorang guru di situ iaitu Jared Kass.

Sukan ini menggunakan objek umpama piring yang dinamakan mydisc atau discraft. Ia lebih dikenali dengan nama frisbee dalam kalangan masyarakat umum.

"Sukan Ultimate Frisbee ini memerlukan tujuh orang pemain dalam satu pasukan. Ia mempunyai dua kategori iaitu single gender seperti terbuka lelaki dan terbuka wanita dan kategori terbuka campuran," kata Donny Man, 25, yang merupakan jurulatih pasukan Ultimate Frisbee UiTM, Shah Alam, All Ultimate Reject (AUR).

Di Malaysia, penglibatan wanita dalam sukan Ultimate Frisbee masih kurang.

Donny yang merupakan bekas pelajar UiTM Shah Alam yang juga mantan kapten pasukan AUR memberitahu, bagi kategori campuran, nisbah pemain lelaki dan wanita adalah empat lelaki dan tiga wanita.

Sukan yang mengambil masa satu jam ini dimainkan selama 30 minit dan tempoh rehat lima minit sebelum baki 30 minit permainan bermula semula. Namun, ia tertakluk pada peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur kerana adakalanya tiada waktu rehat.

Pasukan Ultimate Frisbee di Lembah Klang kebanyakannya adalah daripada pasukan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Gelanggang atau padangnya berbentuk segi empat tepat sama seperti sukan American Football. Ia terdiri daripada kawasan jaringan gol di penghujung padang iaitu zon hujung (end zone).

Garisan gol adalah garis yang memisahkan kawasan permainan dari kawasan end zone yang merupakan kawasan untuk mendapatkan mata. Setiap end zone perlu ditandakan dengan kon.

"Cara permainannya juga lebih kurang sama, cuma dalam sukan ini seseorang pemain itu perlu menangkap cakera frisbee daripada rakan sepasukannya dan berada di dalam end zone bagi mendapatkan mata berbanding American Football yang memerlukan seseorang pemain itu membawa bola sambil berlari sebelum melakukan touch down," ujarnya.

Frisbee merupakan sukan unik kerana ia adalah gabungan American Football, ragbi dan bola jaring. Selepas seseorang itu menangkap cakera frisbee, dia tidak dibenarkan berganjak atau berlari dan hanya boleh melakukan gerakan seperti permainan bola jaring.

"Seseorang pemain itu perlu melemparkan cakera frisbee pada rakan sepasukannya dalam kiraan sepuluh yang dibilang oleh pihak lawan yang berada dekat dengannya, jika gagal cakera frisbee akan berpindah kepada pihak lawan.

"Berbanding sukan lain, sukan ini tiada pengadil kerana ia dimainkan dengan semangat Spirit Of The Game (SOTG)," jelas pemuda yang berasal dari Sarawak ini.

Setiap pemain yang berjaya menyambut frisbee di end zone akan mendapat satu mata. Pasukan yang menang akan ditentukan dengan jumlah markah tertinggi selepas masa permainan tamat.

Dibantu Kapten

Setiap pemain tahu peranan masing-masing dan menghormati pihak lawan tanpa perlu berlaku pergaduhan.

Walaupun timbul salah faham, dua pemain yang terlibat akan menyelesaikan secara baik tanpa campur tangan pemain-pemain lain.

Andai kata masalah tersebut tidak diselesaikan, kapten kedua-dua pasukan akan membantu tetapi keputusan tetap di tangan pemain yang terlibat.

"Jika gagal juga, khidmat pemerhati diperlukan untuk membantu menyelesaikan masalah, namun keputusan bukan di tangannya.

"Sukan ini adalah sukan tanpa sentuhan (non contact). Jika ada pemain melakukan sentuhan pada masa yang sama mahu merampas frisbee daripada tangan pemain pasukan lawan, ia dikira fault dan pemain yang ditepis itu yang akan menjerit fault untuk memberitahu dirinya disentuh," kata Donny sambil menunjukkan demonstrasi mengenai situasi tersebut sambil dibantu kapten pasukan AUR, Ramlan Muhammad Rashid, 21.

Tidak seperti sukan bola sepak, bola jaring, American Football mahupun ragbi yang permainannya dimulakan di bahagian tengah, sukan ini bermula pada hujung padang yang dinamakan end zone dengan melakukan lemparan pemula (pull) ke end zone pasukan lawan untuk disambut oleh lawan sebelum pasukan pihak lawan naik ke end zone pasukan bertahan untuk mendapatkan mata.

Pasukan yang berjaya mendapatkan mata akan memulakan permainan dengan membuat pull.

"Sama seperti permainan lain, Ultimate Frisbee juga mempunyai posisi tertentu. Terdapat tiga posisi dalam permainan ini iaitu handler, mid dan deep.

"Biasanya posisi handler dimainkan oleh pemain yang merupakan pembaling terbaik, mid pula merupakan pemain tengah yang mengacah pihak lawan untuk mendapatkan frisbee manakala deep pula bertindak sebagai penerima cakera frisbee. Biasanya posisi deep diberi kepada pemain yang cekap menangkap dan bijak membaca pergerakan cakera frisbee," kata Ramlan.

Cakera frisbee akan bertukar tangan pada pihak lawan (turn over) dengan beberapa cara. Pertama, apabila berlakunya interset iaitu apabila pihak lawan berjaya menangkap dan menjatuhkan cakera frisbee yang berada di udara.

Kedua, apabila seseorang pemain itu tersalah baling cakera frisbee kepada pihak lawan dan ketiga, ketika seseorang pemain yang cuba untuk menangkap cakera frisbee tetapi cakera tersebut terjatuh ke tanah (biasanya berlaku kepada pemain amatur).

"Terdapat tiga teknik lemparan cakera frisbee iaitu pukulan kilas (backhand), pukulan depan (forehand) dan hantaran atas kepala dengan kedudukan cakera frisbee menegak (hammer).

"Sentuhan badan tidak dibenarkan," ujar Ramlan yang merupakan penuntut semester ketiga, Ijazah Sains Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.

Kepantasan dan kecergasan diperlukan oleh seseorang pemain kerana sukan ini memerlukan seseorang itu berlari pantas selain mempunyai kecekapan menerima dan melempar cakera frisbee selain bergantung kepada strategi permainan.

Berjinak-jinak

"Cabaran permainan ini ialah apabila terpaksa bermain dalam keadaan angin kuat, hujan dan panas.

"Sesuatu perlawanan hanya akan dihentikan apabila berlaku kilat dan petir kerana khuatir keadaan tidak diingini berlaku," katanya sambil memberitahu fizikal yang tinggi merupakan satu kelebihan kepada seseorang pemain.

Seorang pemain AUR wanita, Norkadijah Md. Isa, 25, memberitahu, dia mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut sejak tahun 2007 atas ajakan rakan-rakannya.

Sebelum berkecimpung dalam Ultimate Frisbee, Norkadijah yang sebelum ini menuntut di UiTM Arau, Perlis aktif dalam sukan bola jaring dan olahraga.

"Peluang untuk bermain bola jaring dan olahraga di sini sukar kerana banyak saingan, jadi saya mengambil keputusan mencuba sukan ini kerana ia membolehkan saya mengaplikasikan sukan olahraga dan bola jaring dalam masa yang sama.

"Sehingga kini saya pernah bermain posisi deep dan mid. Namun, selepas mengalami kecederaan pada lutut, larian saya agak terbatas. Sehubungan itu, saya giat berlatih untuk menggalas posisi sebagai handler pula," katanya yang kini bermain pada posisi mid dalam AUR.

Dalam pada itu, salah seorang pemain AUR, Dickson Sittie, 23, mula serius dalam sukan tersebut pada tahun lalu walaupun mula bermain Ultimate Frisbee pada tahun 2006.

Dia yang sebelum ini aktif bermain bola, sepak takraw dan olahraga tertarik dengan sukan ini kerana ia menggabungkan beberapa jenis sukan dan tiada pengadil berbanding sukan-sukan lain.


"Saya sudah bermain untuk semua posisi. Bagi saya semua posisi sama pentingnya kerana semuanya perlu bergandingan untuk bermain dengan baik bagi memenangi sesuatu perlawanan," ujarnya.

0 comments: