Pelaburan Putera Alwaleed RM954.3j untuk Twitter

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu (UAE) - Bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal dan syarikat pelaburannya menyatakan semalam bahawa mereka akan melabur sebanyak AS$300 juta (RM954.3 juta) ke atas laman web perkongsian sosial Twitter.

Pelaburan bersama dengan Syarikat Kingdom Holding (KHC) milik Putera Alwaleed dibuat selepas rundingan selama beberapa bulan dengan ia mewakili kepentingan strategik dalam Twitter.

Putera Alwaleed yang telah lama membuat pelaburan dalam sektor media dan tekonologi berkata, urus niaga berkenaan mencerminkan minat pelaburan dalam perniagaan yang berdaya maju dan memberikan impak global.

Twitter membenarkan penggunanya menghantar mesej pendek hingga 140 huruf.

Ia menjadi alat penting yang menghubungkan penunjuk perasaan dan untuk menyampaikan maklumat semasa kebangkitan rakyat di rantau Arab pada awal tahun ini.

"Kami percaya bahawa media sosial akan membawa perubahan besar dalam lanskap industri media dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Twitter akan menguasai dan menjana keuntungan daripada trend positif ini," kata Pengarah Eksekutif KHC, Ahmed Halawani dalam satu kenyataan.

Putera Alwaleed merupakan anak saudara pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.

Twitter memiliki lebih 100 juta pengguna aktif yang menghantar sekitar 250 juta mesej yang dikenali sebagai tweets pada setiap hari.

Putera Alwaleed disenarai sebagai orang ke-26 terkaya di dunia oleh majalah Forbes.

Pada September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Dick Costolo menyatakan pelaburan tunai akan membolehkan syarikat itu menentukan hala tuju laman itu.
Post a Comment