FIBRILASI ATRIUM ( AF )

IALAH degupan jantung yang pantas dan ia berlaku sepanjang masa .AF ialah gangguan rentak jantung berterusan yang paling lazim dan menjejaskan lebih lima juta penduduk Amerika Syarikat dan enam juta orang di Eropah. Dianggarkan 0.4 peratus penduduk negara kita turut mengalami masalah inirentak degupan jantung yang tidak normal, tidak sekata dan sangat cepat iaitu antara 350 hingga 700 degupan seminit sedangkan kadar degupan jantung yang normal ialah antara 60 hingga 100 degupan seminit.

Keaadan ini berlaku apabila..........
Jantung kita mempunyai 4 bilik
- 2 bilik di bahagian atas (kiri dan kanan)
- 2 di bawah. Untuk membolehkan jantung berdegup (dan mengepam darah), ia memerlukan sistem elektrik yang dihasilkan oleh sel dalam bilik kiri atas yang bergerak ke bilik kanan atas.



Apabila menerima isyarat elektrik, bilik atas akan mengecut dan menolak (mengepam) darah memasuki bilik bawah. Selepas semua darah memasuki bilik bawah dan mendapat isyarat elektrik, baru bilik bawah jantung mengecut dan mengepam darah yang beroksigen keluar dari jantung untuk dihantar ke seluruh badan.

“Fibrilasi atrium berlaku apabila isyarat elektrik dikeluarkan terlalu cepat, menyebabkan bilik atas mengecut terlalu cepat antara 350 hingga 700 degupan seminit berbanding kadar degupan biasa iaitu 60 hingga 100 degupan seminit dan tidak sekata dengan pengecutan bilik bawah. Dalam erti kata lebih mudah, bilik bawah jantung tidak dapat mengikut rentak kepantasan pengecutan bilik atas.

“Oleh kerana bilik atas atau atria ini mengecut terlalu pantas, adakalanya darah di dalamnya tidak dipam keluar sepenuhnya, menyebabkan darah tidak mengalir dengan baik. Darah perlu mengalir sepanjang masa. Jika bertakung, sel darah akan melekat sesama sendiri dan membentuk darah beku.

“Apa yang membimbangkan apabila ketulan darah beku masuk ke dalam salur darah dan membuatkan salur darah berkenaan tersumbat. Penyumbatan biasanya berlaku pada salur darah yang sangat halus dan jika ia membabitkan salur darah ke otak, ia akan menyebabkan serangan otak atau strok. Jika ketulan darah beku ini menyumbatkan salur darah ke jantung, maka seseorang itu akan mendapat serangan jantung,” katanya.

AF adalah gangguan rentak jantung yang paling lazim. Kajian menunjukkan AF meningkatkan risiko lima kali ganda untuk mendapat strok dan dianggarkan ia bertanggungjawab ke atas 15 hingga 20 peratus daripada 15 juta kes strok di seluruh dunia setiap tahun.

Mengapa AF menjadi perkara sangat serius oleh pakar jantung?
pesakit AF sangat terdedah dan berisiko tinggi mendapat serangan strok. Strok atau serangan otak adalah penyebab utama kepada kehilangan fungsi otak dalam masa yang sangat singkat.

Strok boleh dibahagikan kepada dua iaitu iskemia dan pendarahan. Strok iskemia yang mewakili 85 peratus daripada keseluruhan kes berlaku apabila aliran darah tersekat disebabkan kehadiran ketulan darah beku. Kira-kira 15 hingga 20 peratus strok iskemia disebabkan oleh AF manakala strok pendarahan pula terjadi apabila salur darah di otak pecah dan menyebabkan darah terkumpul di otak.

Di negara kita sebanyak 10,000 kes baru dicatat setiap tahun dan secara purata 40,000 rakyat negara kita meninggal dunia akibat strok saban tahun. Lebih membimbangkan, risiko strok meningkat sejajar pertambahan umur, dikukuhkan dengan tabiat pemakanan tidak sihat, merokok, kurang kawalan penyakit (terutama kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah kolesterol tinggi) serta kurang bersenam.

Strok berkaitan AF lebih serius dan menyebabkan lebih banyak kematian serta kehilangan keupayaan. Malah pesakit strok akibat AF dikatakan mempunyai kebarangkalian sebanyak 50 peratus meninggal dunia dalam masa setahun selepas serangan. Setiap tahun di seluruh dunia dianggarkan tiga juta orang mengalami strok berkaitan fibrilasi atrium atau satu kes bagi setiap 12 saat.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2004, strok meragut 5.7 juta nyawa di seluruh dunia, menjadi antara punca utama kematian dan kehilangan upaya di negara maju. Kini dianggarkan lebih 50 juta orang dalam proses pemulihan daripada serangan strok. Beban kewangan akibat strok di seluruh dunia dianggarkan melebihi 38 bilion euro atau RM151 bilion.

Bagi yang masih kurang jelas, strok biasanya membuatkan pesakitnya lumpuh (separuh atau seluruh badan), terlantar, hilang keupayaan fizikal dan intelektual. Ia adalah penyakit yang dikategorikan sangat membebankan dan menjejaskan kualiti hidup bukan saja kepada pesakit malah seisi keluarga.

“Mengapa kita perlu bimbang? Satu pertiga daripada pesakit AF dijangka mengalami strok jika tidak mendapatkan rawatan sewajarnya sepanjang hayat. Serangan strok yang berkaitan dengan AF biasanya lebih teruk berbanding strok yang tidak disebabkan oleh AF. Maksudnya, pesakit AF mempunyai risiko mengalami serangan stork yang teruk dan boleh membawa maut.

“Insiden AF bertambah banyak memandangkan usia penduduk yang semakin meningkat dan kurang usaha untuk menyekat faktor risiko AF,” katanya pada pelancaran ubat Xarelto atau nama generiknya, rivaroxaban anjuran Bayer HealthCare. Rivaroxaban adalah ubat antigumpalan darah oral (ubat makan) untuk melindungi pesakit AF daripada mengalami serangan strok akibat kehadiran darah beku.

Faktor risiko AF ialah
AF biasanya disebabkan masalah kesihatan lain sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak. Antara masalah jantung yang boleh menyebabkan AF ialah masalah injap dan otot jantung, jantung berlubang atau apabila sistem elektrik jantung mula terjejas.

Antara punca AF yang tiada kaitan dengan jantung ialah mendapat jangkitan akut contohnya jangkitan paru-paru (pneumonia), kekurangan elektrolit dalam badan, kanser paru-paru, masalah dada yang lain atau embolisme pulmonari (salur darah utama ke paru-paru tersumbat dan paru-paru).

faktor risiko AF iaitu:

  • Peningkatan umur (kadar kelaziman AF meningkat dengan pertambahan umur)
  • Lelaki (lebih banyak kes berlaku pada lelaki berbanding wanita)
  • Ada masalah injap jantung
  • Pernah mengalami serangan jantung
  • Wanita yang mengalami masalah kelenjar tiroid
  • Mengalami masalah jantung kongestif (jantung tidak mampu membekalkan darah ke seluruh badan)
  • Menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
  • Pengambilan alkohol dan rokok yang keterlaluan juga dikaitkan dengan AF

Gejala AF
  • Berdebar-debar
  • Lesu
  • Sakit dada
  • Pening
  • Pitam
  • Sesak nafas atau nafas menjadi pendek
AF boleh dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu:

Paroksismal - Masalah AF datang dan pergi secara spontan. Ia biasanya tiada kaitan dengan ketidaknormalan struktur jantung, tetapi lebih disebabkan oleh punca yang tiada kaitan dengan jantung seperti yang disenarai di atas. Gejala yang dialami bersifat ringan tetapi ia juga boleh menjadi teruk. Masalah ini berhenti dalam masa seminggu atau tetapi biasanya mengambil masa kurang daripada 24 jam.

Tegar atau berterusan - Keadaan di mana AF berlarutan melebihi seminggu. Ia mungkin boleh berhenti sendiri atau dihentikan dengan rawatan.

Kekal - Degupan jantung yang pantas berlaku sepanjang masa dan tidak boleh dihilangkan dengan rawatan. Peringkat paroksismal dan tegar boleh berubah kepada kekal jika dibiarkan tanpa rawatan. Tempoh perubahan ini berbeza antara individu, bergantung kepada peringkat yang dialami. Jadi, sasaran rawatan ialah untuk mengawal kadar degupan jantung. 
Pengesanan dan rawatan 

AF dikesan melalui beberapa cara iaitu:

  • Sejarah perubahan 

  • Pemeriksaan klinikal - dalam pemeriksaan ini doktor akan mendengar kadar dan rentak degupan jantung, mendengar bunyi paru-paru bagi mencari tanda kegagalan jantung dan memeriksa tekanan darah serta kadar nadi.

  • Ujian diagnostik seperti ECG, Monitor Holter. Kaedah ECG mudah dan tidak menyakitkan. Ia mengukur aktiviti elektrik jantung dalam tempoh singkat dan sangat berguna untuk mengesan AF. Kaedah Monitor Holter pula merekodkan aktiviti elektrik jantung selama 24 jam atau 48 jam. Dalam kaedah ini, doktor akan melekatkan elektrod yang disambungkan kepada alat perakam mudah alih di dada pesakit. 
Apa yang penting ialah perlu mendapatkan rawatan segera selepas masalah jantung anda diketahui. Rawatan AF kini tertumpu kepada kawalan kadar dan rentak degupan jantung serta pencegahan penggumpalan darah. 

Menurut Dr Jeyaindran, pengawalan kadar dan rentak degupan jantung boleh diurus dengan pengambilan ubat atau penggunaan stimulasi elektrik. Namun kaedah rawatan AF yang paling penting ialah pencegahan penggumpalan darah khususnya bagi pesakit yang mengalami masalah jantung kongestif, pesakit tua, menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi serta pernah mendapat serangan strok. Ini kerana ia dapat melindungi pesakit daripada mendapat serangan strok.

Kaedah yang digunakan sekarang ialah memberikan ubat warfarin kepada pesakit AF. Warfarin adalah ubat pencair darah. Walaupun ia berkesan tetapi warfarin yang sudah digunakan sejak lebih 50 tahun lalu ada banyak kelemahan. 

Pesakit perlu sentiasa dipantau untuk memastikan dos warfarin yang diterima cukup untuk mencairkan darah mereka. Tetapi ia ada kelemahan kerana warfarin bertindak balas dengan ubat lain dan makanan. Justeru, pesakit perlu mengamalkan diet yang ketat supaya warfarin berkesan.

“Pesakit yang mengambil warfarin perlu mengamalkan diet yang ketat dan sangat berhati-hati dengan apa yang mereka makan kerana ia bertindak balas dengan makanan dan ubat lain. Selain itu pesakit perlu datang ke hospital supaya doktor boleh mengawasi dan memantau keadaan mereka. Warfarin mengambil tempoh lima hari untuk mencapai kesan antitrombotik atau antipenggumpalan darah. 

“Ini berbeza dengan ubat baru, rivaroxaban yang hanya dimakan sekali sehari untuk mendapatkan kesan yang sama tanpa perlukan pengawasan kerap. Percubaan klinikal global yang dipanggil ROCKET AF membabitkan 14,200 pesakit menunjukkan perubahan ketara di kalangan mereka yang mengambil rivaroxaban berbanding warfarin selain mengurangkan risiko strok dan embolisme sistemik sebanyak 21 peratus,” katanya.

Kehadiran ubat baru ini akan meringankan kaedah pengurusan dan rawatan AF, walaupun harganya agak mahal. Jika mampu, anda boleh minta doktor menukar ubat yang diambil sekarang kepada rivaroxaban tetapi bagi yang kurang mampu boleh terus bersahabat dengan warfarin selagi ia memberi manfaat seperti diharapkan.

0 comments: