M.C VS Kedai Gambar

JOHOR BAHRU 23 Feb. - Sebuah kedai gambar di Taman Ungku Tun Aminah di sini bukan sahaja sering dikunjungi oleh pelanggan yang ingin memproses gambar dan membeli peralatan kamera malah ia turut menjadi tumpuan pekerja yang sering 'sakit'.
Ini kerana premis berkenaan dikesan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu dan kegiatan haram itu dipercayai mula aktif sejak setahun lalu.
Hasil maklumat orang ramai dan siasatan polis, seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik kedai gambar itu ditahan pukul 1.26 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, turut dijumpai semasa serbuan itu adalah 172 keping sijil cuti sakit disyaki palsu dengan 10 keping ditemui di dalam poket seluar suspek, manakala bakinya ditemui dalam pejabat kedai tersebut.
"Polis turut menemui 13 unit cop getah atas nama 13 doktor yang bekerja di hospital kerajaan, tiga unit komputer, sebuah komputer riba, dua pencetak, dua 'pendrive', dua keping disket yang kesemuanya dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu.
"Siasatan awal mendapati, pemilik kedai itu menjual sijil cuti sakit palsu kepada rakyat tempatan yang bekerja di Singapura dan sekitar bandar raya ini dengan harga RM25 sekeping," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Menurutnya, butiran maklumat pesakit serta tarikh cuti perlu diisi sendiri oleh pelanggan kerana mereka hanya menyediakan sijil dan cop doktor sahaja.
Mohd. Mokhtar berkata, berdasarkan semakan 13 cop doktor berkenaan, seramai enam doktor masih berkhidmat di hospital kerajaan di Johor Bahru, manakala selebihnya telah bertukar ke hospital lain.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam satu lagi kes, beliau memberitahu, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan merampas sepucuk pistol bersama kelopak peluru kosong serta dadah dipercayai jenis syabu di Taman Ungku Tun Aminah pada Khamis lalu.
Beliau berkata, lelaki yang ditahan pukul 6.30 petang itu memiliki satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Berbahaya 1952, katanya.
Post a Comment