Bahaya !! Sakit Sendi Bawa MAUT


Berbanding penyakit lain, sakit sendi sering dianggap remeh kerana dirasakan tidak berbahaya hingga menyebabkan kematian.

Tanpa menyedari penyakit dideritai ialah Artritis Reumatoid (RA), pesakit lambat mendapatkan rawatan, menyebabkan usaha mengubatnya sukar. Ini kerana RA mengambil masa lama untuk menunjukkan gejala ketara.

Sekitar lima daripada 1,000 individu di Malaysia dan 23.7 juta individu di seluruh dunia menghidap RA. Ia penyakit serius dan progresif yang boleh menyebabkan kerosakan sendi yang tidak boleh dipulihkan.

Presiden Yayasan Artritis Malaysia, Dr Amir Zain berkata, RA ialah penyakit auto imun sistemik kronik yang menyakit dan melumpuhkan.

"Individu dengan artritis akan mengalami kesakitan, bengkak dan kejang pada sendi, terutama di tangan, kaki dan lutut. Kajian menunjukkan individu dengan RA adalah 40 peratus lebih berkemungkinan untuk mengalami kesihatan am yang sederhana atau teruk berbanding individu tanpa RA.

"Sebagai tambahan kepada simptom yang menyakitkan dan kesan seterusnya ke atas kualiti hidup, RA adalah penyakit jangka masa panjang yang boleh membebankan penyakit dari segi ekonomi," katanya.







Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Xeljanz (tofacitinib sitrat) pilihan rawatan oral untuk pesakit RA aktif tahap sederhana hingga teruk yang tidak dapat diubati atau tidak toleran terhadap methotrexate (MTX) di ibu negara, baru-baru ini.

Meskipun RA boleh menyerang semua peringkat umur, ia biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun serta menyerang dua hingga tiga kali lebih ramai wanita berbanding lelaki.

Pesakit RA mempunyai taraf fungsi lebih teruk daripada mereka yang mempunyai osteoartitis dan kira-kira enam kali lebih berkemungkinan untuk menanggung caj perubatan berbanding mereka yang tidak mempunyai artritis.

Sendi diserang mengalami kerosakan dalaman dan sekitar tulang. Tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan penyakit ini. Pesakit memerlukan rawatan yang bukan hanya untuk menangani kesakitan dan keradangan, juga mengekang proses perkembangan penyakit.

Lebih teruk lagi, RA juga dikaitkan dengan penyakit lain termasuk penyakit kardiovaskular, jangkitan kuman dan masalah kesihatan mental.

Dalam kalangan masyarakat kita, kesedaran dan pengetahuan mengenai RA masih pada tahap rendah. Lazimnya pesakit tidak menghiraukan gejala penyakit itu kerana menyangka ia sakit sendi biasa. Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila sakit semakin teruk.

Pakar reumatologi yang berkhidmat dengan Arizona Arthritis & Rheumatology Associates, Dr John Tesser pula menjelaskan, Xeljanz adalah terapi baru yang penting. Ia berfungsi menerusi mekanisme berbeza dan menambah kepada pilihan terapeutik, seterusnya meningkatkan keupayaan pakar reumatologi untuk merawat penyakit autoimun yang serius ini.

"Memandangkan tahap keterukan dan kesan penyakit ini, ketersediaan Xeljanz memberi pilihan rawatan tambahan kepada pesakit yang mempunyai RA aktif tahap sederhana hingga teruk yang tidak toleran kepada terapi lain yang sedia ada.

"Tidak seperti terapi biologi lain yang mensasarkan sitokin di luar sel, Xeljanz bekerja (jauh) di dalam sel untuk laluan merencat laluan Janus kinase (JAK), lalu menghentikan isyarat dan pengeluaran sitokin yang terbabit dalam keradangan RA. Satu lagi manfaat tambahan bagi Xeljanz adalah ia tidak memerlukan suntikan atau infusi," katanya.

Turut hadir, Ketua Farmaseutikal Inovasi Global Pfizer Malaysia/Singapura, Lee Jin Jack. Keberkesanan dan keselamatan Xeljanz dibuktikan dalam program pembangunan klinikal sedunia yang komprehensif membabitkan hampir 4,800 pesakit yang dirawat dengan tofacitinib yang menghasilkan kira-kira 7,000 tahun pengalaman pesakit dengan tofacitinib.

Dalam kajian klinikal, Xeljanz 5 miligram dua kali sehari menunjukkan keberkesanan klinikal sama ada ia diambil secara monoterapi atau digabungkan dengan DMARD bukan biologi seperti methotrexate (MTX) dalam pelbagai populasi pesakit, termasuk pesakit yang tidak menunjukkan tindak balas kepada DMARD bukan biologi atau DMARD biologi, seperti ajen perencat faktor nekrosis tumor (TNF).

Program fasa 3 oral (Percubaan Fasa 3 Artritis Reumatoid) meliputi lebih 550 lokasi di lebih 40 negara seluruh dunia. Program itu merangkumi enam percubaan klinikal yang lengkap, sebagai tambahan kepada satu kajian lanjutan jangka masa panjang yang masih berjalan.

0 comments: