khianat punca pusat tahfiz terbakar CCTV beri petunjuk !!

Sumber itu berkata, CCTV pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di sebelah sekolah merakamkan kemungkinan pencerobohan ke sekolah tersebut kira-kira 2 jam sebelum kebakaran.


PETALING JAYA: Pihak berkuasa menemui petunjuk baharu dalam siasatan mereka yang membawa kepada kemungkinan wujud unsur khianat di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyebabkan 23 orang terkorban kelmarin.

Menurut laporan New Straits Times (NST), sumber yang dekat dengan polis dan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari bangunan berdekatan pusat tersebut, mereka percaya ia berpunca daripada perbuatan membakar.
“Dari siasatan awal, kami mengesyaki kebakaran melibatkan unsur-unsur khianat. Teori ini disokong oleh petunjuk baharu selepas pihak berkuasa menyemak semula rakaman CCTV,” kata NST memetik sumber atasan yang rapat dengan siasatan.

Sumber itu berkata, CCTV pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di sebelah sekolah merakamkan kemungkinan pencerobohan ke sekolah tersebut kira-kira 2 jam sebelum kebakaran.
“Rakaman itu menunjukkan seseorang, yang kelihatan seperti remaja, menyelinap ke sekolah tahfiz pada pukul 3 pagi.”

Sumber lain berkata penyiasat ada menemui bekas petrol di hadapan pintu ke asrama, di mana mangsa ditemui terperangkap.

Kelmarin, pasukan penyiasat menemui 2 silinder, yang bukan milik sekolah, berhampiran kawasan pintu.
Seorang warden sekolah yang selamat dari kebakaran mengatakan semasa pemeriksaan rutin sebelum tidur pada pukul 11 malam hari Rabu, dia tidak melihat silinder gas dekat pintu.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata litar pintas bukan penyebab tragedi.

“Penemuan forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan litar elektrik dan suis utama bangunan sekolah berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada mangsa yang diselamatkan, api bermula dari luar pintu asrama.

Khirudin berkata jabatan itu percaya terdapat unsur “lain” dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.
Sumber itu berkata polis juga menyiasat maklumat mengenai pergaduhan antara pelajar sebagai kemungkinan motif kejadian.

Semasa ditanya mengenai perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Roy Suhaimi Sarif berkata polis sedang menyiasat semua sudut dan akan merakamkan kenyataan daripada semua pelajar dan guru sebelum membuat kesimpulan.

Difahamkan seorang pelajar sekolah ditahan untuk memudahkan siasatan.
Sementara itu, The Star hari ini melaporkan polis telah memanggil individu terbabit untuk memudahkan siasatan.

“Ya, saya mengesahkan kami meminta seorang lelaki untuk membantu siasatan kami,” kata The Star memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata setakat ini hanya seorang individu yang telah dipanggil tetapi menolak untuk mengatakan sama ada orang itu merupakan pelajar sekolah terbabit.

“Ini hanya untuk membolehkan penyiasatan. Setakat ini, kami masih tidak pasti (sekiranya terdapat unsur jenayah),” kata beliau.

Beliau berkata pihak polis akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

sumber

0 comments: