KUALA NERUS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tindakan pihaknya menahan setiausaha politik, kerani dan pembantu peribadi seorang anggota Parlimen pembangkang di Selangor semalam bermotifkan politik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata penahanan tiga individu itu dijalankan secara profesional.
"Kita tegaskan di sini penahanan dijalankan secara profesional dan bukan berdasarkan politik kerana SPRM tidak ada masa untuk berpolitik," katanya mengulas kenyataan Anggota Parlimen Subang daripada Parti Keadilan Rakyat R. Sivarasa yang mendakwa penahanan tiga kakitangannya itu oleh SPRM semalam bersifat politik.
Dzulkifli ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kemah Keming Tolok Rasuah bersempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar 2017) di Pantai Teluk Ketapang, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
SPRM semalam menahan tiga individu tersebut selepas dikatakan terlibat dalam jenayah rasuah.
Dzulkifli dalam pada itu menarik perhatian agar semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap pihak yang ditahan sebelum mereka membuat pembelaan di media massa.
"Tolong bagi peluang kita jalankan siasatan dan setelah selesai siasatan dan dibuktikan tidak bersalah, kita tidak ambil tindakan. Kalau sudah cukup bukti baru kita akan ambil tindakan.
"Yang penting isu rasuah ini perlu dibanteras. SPRM juga sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap anggota parti pemerintah iaitu Exco Kerajaan Johor dan baru-baru ini terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad," katanya.
Beliau berkata SPRM tidak memilih sama ada seseorang itu anggota parti pemerintah atau pembangkang dalam menjalankan tugasnya untuk membebaskan negara daripada rasuah.
0 comments:
Post a Comment