Mayat lelaki Pakistan terbakar DIJUMPAI TERBAKAR di Shah Alam

Proses pengecaman dilakukan oleh seorang lelaki warganegara Pakistan bernama Salman Khan yang mendakwa mangsa adalah abangnya yang dilaporkan hilang sejak 8 Sept lepas


SHAH ALAM: Mayat warganegara Pakistan dengan kesan terbakar pada seluruh tubuhnya ditemui di tepi semak berhadapan rumah pam air Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Nek Zaidi Zakaria berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki itu pada 1.25 petang.

Beliau berkata mangsa dipercayai mati kira-kira tiga atau empat hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang hampir reput dan pemeriksaan lanjut mendapati kesan tikaman pada bahagian perut lelaki berkenaan.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa atau di lokasi mayatnya ditemui namun polis menjumpai satu bekas berwarna putih disyaki untuk mengisi petrol," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan penemuan mayat itu, beliau berkata proses pengecaman dilakukan oleh seorang lelaki warganegara Pakistan bernama Salman Khan yang mendakwa mangsa adalah abangnya yang dilaporkan hilang sejak 8 Sept lepas.

Nek Zaidi berkata lelaki itu mengenal pasti mangsa, yang bekerja sebagai penjual permaidani, berdasarkan besi yang terdapat pada lutut kirinya akibat kemalangan sebelum ini.

Mangsa dipercayai bernama Ali Amjad, 25, dan sampel DNA kedua-duanya diambil bagi mengesahkan maklumat berkenaan.

"Salman Khan mendakwa abangnya menjalinkan hubungan dengan seorang wanita Indonesia yang juga isteri orang dikenali sebagai Verlina dan hubungan berkenaan telah diketahui suami wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

0 comments: