KUALA LUMPUR: Insiden membabitkan seorang wanita bertengkar dengan seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil mengacukan 'steering lock' akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan intimidasi jenayah.
Memetik laporan portal The New Straits Times, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias mengesahkan perkara ini.
Menurut beliau, bahagian ini membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Wanita itu naik berang apabila mendapati keretanya hampir ditunda. Dia kemudian bertengkar dengan pegawai itu sambil mengacukan steering lock," kata Megat.
Insiden tersebut dilapor berlaku di Bandar Puteri Puchong pada jam 1 petang apabila MPSJ menunda kereta wanita itu yang diletakkan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).
Video berdurasi satu minit dan 37 saat itu mula tular di media sosial sejak semalam.
“Salah ke saya beli makanan?” wanita itu dilihat menjerit.
Pegawai itu menjawab: "Tidak, tidak salah untuk membeli makanan. Tetapi anda parkir kereta anda di tempat yang salah (di tempat untuk orang kurang upaya).
Wanita itu kemudian dilihat meninggikan suara dan menjawab bahawa dia tidak mempunyai tempat lain untuk meletakkan kenderaannya.
Tambahnya, dia membeli makanan untuk suaminya yang kurang upaya.
Pegawai yang tenang sepanjang bertengkaran itu kemudian meminta bukti, tetapi wanita itu gagal untuk menunjukkan kad OKU suaminya.
Megat berkata polis menerima laporan daripada pegawai MPSJ kira-kira jam 7 malam.
sumber
0 comments:
Post a Comment