kes pukul anak berakhir
STOCKHOLM - SWEDEN . Mahkamah Daerah Solna hari ini kembali menjadi tumpuan dengan kehadiran ramai pengunjung yang hadir bagi mengikuti hari terakhir perbicaraan kes pasangan Malaysia yang didakwa atas kesalahan melanggar integriti keempat-empat anak mereka secara kasar bermula tahun 2010 hingga 2013.
Pengarah Tourism Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji ditahan dikediaman mereka 18 Disember tahun lalu kerana dikatakan memukul anak lelakinya yang tidak bersolat.
Perbicaraan yang mendapat perhatian meluas masyarakat dunia khususnya mereka yang beragama Islam, hari ini menyaksikan pelbagai lapisan masyarakat hadir memberikan sokongan. Antaranya ialah kumpulan pelajar, golongan profesional, wakil kerajaan Malaysia, kenalan dan sanak saudara yang menetap ataupun hadir ke Sweden. Selain itu, terdapat juga warga tempatan, pelajar luar negara dan komuniti Muslim di Sweden yang turut datang mendengar perbicaraan.
Dalam perbicaraan yang bermula jam 9 pagi, pegawai pendakwa Anna Arnell memulakan hujah penutupnya dengan membacakan semula semua pertuduhan yang dikenakan ke atas Azizul dan Shalwati. Kertas pertuduhan setebal 11 muka surat itu dibacakan satu persatu bagi memberikan gambaran jelas mengenai dakwaan yang dikemukakan. Antara pertuduhan yang dibacakan termasuklah insiden di mana Azizul dikatakan memukul Ammar sewaktu berada di dalam kereta selain Shalwati yang didakwa memberikan sentuhan fizikal kepada anaknya, Aishah kerana mencuri coklat.
Di akhir penghujahannya, Anna menyatakan keinginannya untuk menambah butiran maklumat kes yang dibawakan namun dihalang Hakim Mattias Moller yang mengatakan proses siasatan telahpun selesai dan kini fokus hanya perlu diberikan kepada hujah penutupan.
Selain Anna Arnell, peguam yang dilantik oleh kerajaan Sweden untuk mewakili anak-anak pasangan terbabit, Johann Karluss dan Clara Hjort turut memberikan penghujahan penutup. Kedua-dua peguam ini bagaimanapun hanya mengulang kembali perjalanan kes dan seterusnya merumuskan keterlibatan Azizul dan Shalwati dalam kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Johann juga dilihat masih cuba mengaitkan rotan yang terpatah dua dengan tuduhan ia disebabkan pukulan-pukulan yang dilakukan pasangan tersebut.
Di akhir penghujahan mereka, Johann dan Clara turut mengemukakan tuntutan ganti rugi ke atas pasangan terbabit kerana telah berkelakuan buruk terhadap anak-anak tersebut.
Perbicaraan bersambung selepas rehat dengan pihak peguam bela diberikan peluang mengemukakan hujah penutupan pembelaan.
sumber
0 comments:
Post a Comment