MH370: Pesawat misteri bukan MH370 dan belum sahih - ATM
SEPANG: Pesawat yang berpatah balik yang dikesan radar tentera Malaysia awal pagi Sabtu tidak dapat disahkan sebagai MH370 kata pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefly Mohd Zin berkata, untuk tidak mengambil sebarang risiko, pihaknya menghantar pesawat C130 untuk meninjau tetapi tidak menemui apa-apa di kawasan terakhir pesawat misteri itu dikesan.
"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Sabtu mengarahkan supaya kawasan mencari dan menyelamat diperluaskan, kami (ATM) melihat kawasan yang akan diperluaskan.
"Kita kaji semula rakaman daripada radar dan kami mendapati ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik dan tak pasti sama ada ia adalah pesawat yang sama tapi dalam radar ada nampak patah balik," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan, pihak ATM tidak boleh mengambil risiko mengenepikan sebarang kemungkinan dan terpaksa mengerakkan aset untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Selat Melaka.
Sementara itu dalam sidang media yang sama, Panglima Tentera Udara (PTU), Tan Sri Rodzali Daud mendedahkan satu pesawat tidak dikenali dikesan pada kedudukan barat laut Pulau Pinang, awal pagi Sabtu.
Rodzali berkata pesawat yang masih belum dikenalpasti itu mungkin pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadualkan ke Beijing.
“Saya tidak kata bahawa ini adalah MH370. Kami sedang mengesahkannya. Kami masih bekerjasama dengan pakar," katanya.
Beliau menjelaskan, pesawat misteri itu dikesan pada 2.15 pagi waktu tempatan pada Sabtu, kira-kira 45 minit selepas pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari skrin kawalan trafik udara antara pantai timur Malaysia dan Vietnam.
Katanya, radar tentera mengesan pesawat tidak dikenali itu berada pada kedudukan kira-kira 320 kilometer di barat laut Pulau Pinang.
sumber
0 comments:
Post a Comment