KUALA LUMPUR: Sejak pesawat MH370 milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi liar ditimbulkan oleh pelbagai pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Pelbagai andaian ditebak sama ada daripada mereka yang berlatar-belakangkan bidang penerbangan dan keselamatan, malah tidak kurang juga daripada mereka yang hanya duduk di depan komputer atau peranti telapak tangan tetapi turut sama mahu menjadi pakar penganalisis segera.
Di laman sosial misalnya, pelbagai spekulasi dan khabar angin dengan mudah bertebaran apabila tanpa sebarang rasa bersalah, masing-masing berlumba untuk menjadi yang pertama menekan butang 'share' tanpa mempedulikan kesahihan khabar yang dihantar.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak sensitif apabila tergamak menaip status negatif di akaun laman sosial. Antaranya mengejek dan menjadikan insiden itu sebagai bahan jenaka, merendah-rendahkan usaha mencari dan menyelamat, malah ada yang melemparkan pelbagai tohmahan termasuk kononnya terdapat konspirasi terancang.
Lagi pedih apabila ada yang sanggup mempermainkan-mainkan insiden itu dengan cerita rekaan seperti memuatnaik gambar palsu pesawat terhempas, menyebarkan mesej berantai dan ada yang membuat cerita sedih kononnya ahli keluarga turut berada dalam pesawat berkenaan, sedangkan tidak.
MEMPERMAINKAN INSIDEN
Pada Isnin, di Twitter, @JasmineJohari misalnya, menjadi 'trending' apabila menulis status meruntun jiwa dan merayu agar ibunya yang kononnya berada di dalam pesawat itu kembali dengan selamat dan rintihan itu turut disiarkan di dalam media tempatan.
Pada mulanya, warga laman sosial itu turut bersedih dan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat sebaik membaca status itu dan melihat gambar 'ibu' Jasmine, namun bertukar berang keesokan harinya apabila mengetahui pemilik akaun itu hanya menipu dan menggunakan gambar palsu.
Persoalannya, mengapa manusia gemar benar membuat spekulasi dan lebih buruk lagi mencipta imaginasi setiap kali wujudnya isu panas atau berlakunya sebarang tragedi yang tidak diduga? Di mana hilangnya sensitiviti dan peka rakyat Malaysia?
Pakar Perunding Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata umumnya segala spekulasi terjadi kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak di dalam diri, tanpa memikirkan kesan dan risiko atas tindakan melulu itu.
"Insiden (kehilangan pesawat) yang berlaku amat jarang dilalui di dalam negara atau luar.. masyarakat tidak tahu apa yang berlaku dan tertanya-tanya. Apabila pesawat itu masih tidak dijumpai, wujud 'gap' yang boleh menyebabkan spekulasi yang lebih ligat dibuat.
"Memang ia boleh menggambarkan orang ramai dalam kerisauan tetapi spekulasi tidak membantu. Mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan di kala mata dunia tertumpu pada negara dengan sengaja mewujudkan spekulasi dan mengganggu emosi keluarga mangsa," katanya kepada Bernama.
GURIS PERASAAN KELUARGA
Muhammad Muhsin berkata orang ramai sepatutnya bersikap lebih sensitif dan menghormati perasaan keluarga penumpang serta krew terlibat dengan mengelak daripada menyebarkan spekulasi yang boleh mengguris perasaan mereka.
Beliau berkata perbuatan menghebah berita yang tidak sahih hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan menambah tekanan, kesengsaraan dan kegelisahan yang sedang dihadapi oleh keluarga tersebut.
"Sekiranya niat masyarakat untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat, mereka perlu tunjuk dengan cara yang baik dan bertanggungjawab seperti memberi sokongan dan semangat buat keluarga mangsa, bukannya dengan menunjuk keprihatinan melalui mencipta atau menyebar spekulasi palsu.
"Kalau terlalu banyak tekaan dan andaian, ditambah ramai yang bertindak 'share', ia seolah-olah memberi gambaran bahawa spekulasi itu benar sedangkan tidak dan ini dikhuatiri akan menimbulkan kegelisahan dan tekanan berpanjangan yang boleh menyebabkan trauma seperti takut untuk menaiki kapal terbang," katanya.
Orang ramai juga tidak sepatutnya mudah terpedaya dan terpesong dengan spekulasi yang didengar sama ada dari mulut ke mulut atau di alam maya serta seharusnya mengelak daripada menjadi penyampai berita tidak sahih kepada individu lain.
BUDAYA NEGATIF
Beliau berkata seakan telah menjadi budaya bagi pengguna laman sosial di Malaysia menghadam bulat-bulat dan berkongsi dengan pengguna lain apa sahaja yang dibaca mereka di Internet meskipun tidak tahu hujung pangkal dan kebenaran spekulasi itu.
"Itu budaya kebanyakan rakyat Malaysia...mudah sangat 'share' walau tiada kepastian. Mereka suka kepada perkara yang sensasi dan teruja untuk berkongsi dengan orang lain meskipun hakikatnya berita itu hanya rekaan orang yang tidak bertanggungjawab.
"Kali ini (kehilangan MH370) juga perkara sama berlaku, apa sahaja yang dibaca terus dipercayai tanpa usul periksa.. ia sudah jadi budaya yang amat dibimbangi dan semakin parah," katanya.
Muhammad Muhsin berkata sikap gemar mencipta spekulasi melampau atau sengaja menyebarkan sesuatu cerita yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman fikiran orang lain juga menandakan kepincangan keperibadian individu itu yang dicemari elemen negatif.
"Ini adalah satu penyakit yang perlu dielakkan. Cara dan niat individu itu menyebarkan berita palsu menunjukkan personalitinya yang tidak baik dan tidak sensitif.. menyerlahkan siapa sebenar dirinya.
"Sikap tidak prihatin dengan suka menyebarkan gambar tragis contohnya seperti gambar kemalangan juga perlu dielakkan kerana tidak semua orang mahu melihat gambar sebegitu rupa. Lagi-lagi jika keluarga mangsa sendiri yang melihat, ia akan mendatangkan trauma dan kesedihan," katanya.
BOLEH DIDAKWA
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari baru-baru ini mengingatkan mereka yang berterus-terusan membuat spekulasi atau menyebar maklumat salah mengenai insiden berkenaan supaya berhenti daripada berbuat demikian.
Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga mengganggu ketenteraman awam adalah satu kesalahan dan boleh disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
"Orang ramai yang menyebar, memuat naik atau berkongsi status berbaur spekulasi berhubung kehilangan pesawat itu boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Pesawat Boeing 777-200ER MAS itu dilapor hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu ketika dalam penerbangan di ruang angkasa antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing, China.
Pesawat itu membawa 239 orang, termasuk 12 anak kapal dan penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama tetapi gagal dikesan hingga kini. Usaha mencari dan menyelamat masuk hari kelapan pada hari ini.
sumber
0 comments:
Post a Comment