Pada peringkat awal, mungkin komunikasi kanak-kanak tidak dipengaruhi dengan unsur negatif seterusnya mendedahkan mereka kepada mencarut. Namun, setelah mereka meningkat usia, perkara ini sukar dibendung.
Kanak-kanak akan lebih terdedah kepada mencarut jika mereka kerap kali mendengar perkataan, perbuatan atau gambar negatif atau mencarut. Lama-kelamaan, besar kemungkinan mereka akan membesar dengan bahasa yang tidak baik. Bagi menangani masalah ini agar tidak berleluasa, anda boleh mengambil kira beberapa langkah di bawah:
1 - IBU BAPA CONTOH TERBAIK
Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dalam mendidik mereka berkomunikasi. Sebagai ibu bapa, gunakan bahasa yang baik dalam berkomunikasi. Elakkan diri daripada menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘bodoh’. Teori ‘social learning’ atau ‘modelling’ ada mengatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian.
2 - PANTAU RANCANGAN TV
Cuba peruntukkan sedikit waktu bersama anak-anak. Anda dapat memantau rancangan televisyen(tv) yang mereka tonton. Perhatikan kata-kata (dialog) yang digunakan oleh watak dalam rancangan tersebut. Kadang kala penggunaan perkataan yang tidak sesuai sangat jelas dan kerap kali digunakan dalam setiap rancangan kartun sama ada alih bahasa atau rancangan kartun terbitan tempatan seperti perkataan ‘tak guna’. Sebagai orang yang lebih dewasa, cuba anda terangkan bahawa perkataan itu tidak sesuai digunakan dalam percakapan harian. Cuba jelaskan secara terperinci berserta contoh agar mereka memahaminya.
3 - PIHAK BERWAJIB MAINKAN PERANAN
Oleh kerana terlalu banyak rancangan kartun dialih suara dan kerap kali menggunakan perkataan yang tidak manis di sebut anak-anak, oleh itu pihak berwajib harus tampil ke hadapan untuk membendung masalah ini. Sekatan atau tapisan harus dibuat agar perkara ini tidak berleluasa seterusnya menyebabkan kanak-kanak terpengaruh dengan perkara-perkara tidak elok.
4 - TERAPKAN NILAI KEAGAMAAN DALAM PERTUTURAN
Kanak-kanak yang baru dilahirkan itu adalah fitrah, ibu bapalah yang mencorakkan. Jadi mulakanlah setiap hari dengan perkataan yang baik-baik. Dalam Islam sendiri, segala perbuatan yang dilakukan perlu dimulakan dengan ucapan ‘bismillah’. Anak-anak akan belajar dan mengikut perbuatan ibu bapanya. Sekiranya, ibu bapanya mencarut maka anak juga akan mencarut.
5 -
KAWAL PERGAULAN KANAK-KANAK
Paling penting yang harus ibu bapa lakukan adalah mengawal pergaulan anak-anak. Setiap saat, anda harus pastikan anak-anak anda bersama dengan siapa, apa yang dibuat dan kata-kata yang dia gunakan. Jika dibiarkan tanpa pemantauan, anak-anak akan rasa bebas, seterusnya membuat apa sahaja yang mereka mahukan. Kalau ibu bapa lambat menyedari akan pengaruh yang tidak baik ini kepada anak-anak mereka sedangkan anak-anak mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu, maka ini akan menyebabkan anak memberontak dan berfikir ibu bapanya tidak menyayangi mereka lagi. Jadi, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
sumber
0 comments:
Post a Comment