Maraton lelaki 100 tahun

FAUJA SINGH mengejutkan dunia dengan menyertai larian maraton ketika usianya mencecah 100 tahun. Pelari Britain itu menamatkan maraton Toronto Waterfront di Kanada sejauh 41.9 kilometer dalam masa lapan jam, 25 minit dan 16 saat baru-baru ini.
Bagaimanakah pencapaian melangkaui usia itu dapat dilakukan? Padahal kebanyakan daripada kita akan bersyukur sekali gus terkejut kerana masih terus bernafas pada usia satu abad. Menyertai larian maraton pada usia sebegini ibarat nukilan novel sains fiksyen.
Namun, realitinya, Singh masih dapat mengatasi lima peserta lain yang lebih muda untuk menamatkan larian di tempat ke-3,850.
Dia meletakkan kejayaannya kepada amalan tidak merokok atau minum arak, berfikiran positif dan makan kari halia.
Namun, jika hanya semua itu yang diperlukan, jalan-jalan raya akan dipenuhi pelari berusia seabad manakala setiap rumah orang tua memiliki pasukan atletnya sendiri.
Pakar perubatan geriatrik menyatakan, rekod yang dicatatkan oleh Singh akan bertahan lama dan sukar untuk diatasi.
Larian jarak jauh membebankan tubuh manusia dengan semakin tua seseorang, semakin sukar baginya melakukan aktiviti lasak.
Jantung warga tua kurang efisien dalam menyalurkan kitaran oksigen ke seluruh badan. Darah beroksigen yang dipam oleh jantung individu berusia 60 tahun kurang 20 peratus kandungan oksigen berbanding darah pemuda berusia 20 tahun.
Selain itu, kekuatan otot merosot dengan ketara apabila seseorang melepasi had usia 70 tahun pada kadar 30 peratus untuk setiap satu dekad.
Ligamen dan tendon pula semakin rapuh, menyebabkan warga emas lebih cenderung ditimpa kecederaan manakala paru-parunya menjadi keras dan kurang efisien.
Namun, jika keadaan kesihatan warga emas berkenaan baik dan dia kerap melakukan latihan fizikal, kesan penuaan ini dapat diperlahankan.
Penjagaan kesihatan yang baik juga membolehkan semakin ramai warga emas terus berlari walaupun usia mereka memasuki lingkungan 80 atau 90 tahun.
Bagi golongan ini, Singh ialah seorang wira.
"Apa yang cuba disampaikan oleh Singh ialah saya tidak akan membiarkan diri saya dikongkong oleh norma-norma kehidupan," kata pengarah program kebangsaan Pusat Latihan Galloway di Atlanta, Chris Twigg

Sumber : www.kosmo.com.my/kesihatan

0 comments: