Pemilik diploma terpaksa toreh getah



JITRA - Walaupun memiliki Diploma Seni Kraf dari Institut Kraf Negara (IKN), namun Mohd. Taufid Ahmad, 25, terpaksa mengambil upah menoreh getah dan mengerjakan sawah bagi membantu keluarganya.
Dia terpaksa melakukan kerja-kerja ini selepas bapanya Ahmad Shahdan, 47, tidak mampu lagi bekerja kerana menghidap batuk kering.
Ibunya Mariam Maarof, 49, juga menghidap penyakit yang sama.
"Saya terkilan disebabkan penyakit saya, anak saya tak dapat kejar cita-citanya kerana mahu jaga saya dan enaknya yang sakit.
"Dia yang selalu bawa kami ke hospital untuk rawatan. Pendapatan anak saya antara RM500 hingga RM700 sebulan yang menyara kami sekeluarga,” kata Ahmad di rumahnya di Kampung Baru Wang Tepus dekat sini.
Beliau juga bimbang dengan masa depan persekolahan anak bongsunya Mohamad Azrul Azizi, 14.
"Setiap hari duit belanja untuk Azrul RM10, buat dia tambang bas dan makan.
Saya bimbang kalau saya terus dalam keadaan begini menyebabkan anak saya tidak dapat meneruskan pelajaran tahun depan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Ahmad di talian 019-5250384 atau menderma ke akaun Maybank bernombor 152068752737 (Mohd. Taufid Ahmad). - Bernama

0 comments: