Rasuah: Pembantu penguat kuasa JPJ didakwa


KUALA LUMPUR – Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan meminta dan cuba memperoleh rasuah melibatkan RM2,000.

Bagi pertuduhan pertama, Norazha Izwan Mohd Aripin, 26, didakwa meminta suapan RM1,000 daripada Ooi Aik Keng, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Aik Keng yang mempunyai cukai jalan tamat tempoh dan membuat pengubahsuaian kenderaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran BHP Petrol Jalan Kuching, pada pukul 5 petang, 4 Januari lalu.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan RM1,000 daripada Aik Keng bagi tujuan yang sama di hadapan EON Bank Danau Kota, Setapak di sini pada 8 malam, 4 Januari lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Ahmad Zamzani menetapkan 15 Disember untuk sebutan semula kes itu. – Bernama

0 comments: