Kegunaan hidrogel dalam farmaseutikal


MESKIPUN hidrogel berdepan dengan reputasi buruk di media massa berikutan kejadian-kejadian yang mengancaman nyawa, namun Naveed Ahmad, 27, tetap meletakkan kepercayaan terhadap sebatian kimia yang mampu menyerap dan menampung air dalam jangka masa panjang itu.

Pelajar lepasan sarjana muda jurusan farmasi itu yakin bahan yang menjadi tesis doktor falsafahnya itu mempunyai masa hadapan cerah. Kini, beliau sudah berada pada peringkat akhir kajian dan artikel penerbitan sainsnya bakal diterbitkan.

"Bahan utama yang digunakan sangat murah iaitu kelapa yang bersifat natural dan diyakini selamat untuk penggunaan manusia," ujarnya ketika ditemui di makmal Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cawangan Kuala Lumpur.

ciptaan pertama . . .HIDROGEL diperoleh daripada sumber yang berbeza-beza.

Ujar lelaki dari Pakistan itu, hasil kajiannya membolehkan pesakit diabetes tidak perlu menggunakan kaedah suntikan untuk mendapatkan insulin tetapi boleh diambil secara oral.

Berbeza dengan hidrogel untuk pertanian yang berasaskan polimer sintetik dan telah terbukti merbahaya jika masuk ke dalam sistem badan manusia, kelak hasil kajian Naveed membolehkan ia ditelan tanpa memberi efek buruk pada kesihatan.

Penyelidikan Naveed adalah rentetan daripada kajian yang telah dan sedang dijalankan oleh pensyarahnya iaitu Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd. Amin, 39.

Hidrogel adalah bahan yang ditemui secara tidak sengaja oleh kumpulan penyelidik diketuai oleh Cairul untuk merubah keadaan fizikal penemuan pertama mereka iaitu bahan salutan tablet.

Bahan itu dihasilkan daripada komposisi sejenis bakteria selulosa yang diekstrak daripada nata de coco dan asid akrilik berada dalam keadaan cecair. Menurut Cairul, ia tidak mungkin dapat dikomersialkan.

"Cahaya elektron yang dipancarkan terhadap bahan ini (komposit enzim selulosa dan asid akrilik) telah menyebabkan molekulnya bertaut silang dan menghasilkan hidrogel," terangnya kepada Kosmo!

Fizikal asalnya kelihatan seperti sekeping pepejal yang nipis tetapi selepas beberapa kali penyelidikan terhadap komposisi bahan dan jumlah cahaya yang dipancarkan, rupanya kini agak tebal dan keras.

Apabila disentuh selepas mengembang dalam rendaman, ia agak sedikit melekit tetapi kenyal dan keras sesuai dengan kajiannya untuk dijadikan sebagai tampalan (patch).

Hidrogel yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UKM itu boleh mengembang sehingga 1,000 peratus dan apabila sampai pada satu tahap ia akan pecah. Ia merupakan ciptaan pertama bahan jenis itu di Malaysia.

Ciri-ciri permukaan bahan tersebut mempunyai liang-liang yang boleh dimasukkan ubat. Sesuai digunakan pesakit yang demam kerana boleh memberi kedinginan melalui simpanan air. Pada masa yang sama proses penyerapan ubat boleh berlaku.

Tembakan sinaran elektron yang berbeza kuantiti boleh menentukan saiz liang pada permukaan hidrogel.

Menurut Cairul, hidrogel berasaskan bakteria selulosa itu boleh mengembang melalui tindak balas dengan dua unsur iaitu pH dan suhu.

"Apabila berada dalam suhu badan iaitu 37 darjah Celsius, ia akan mengecut. Selain daripada suhu itu, ia akan mengembang.

"Untuk cecair pula, apabila direndam pada pH tujuh iaitu pH neutral, ia akan berkembang secara maksimum berbanding pada pH cecair lain," terangnya sambil memegang sampel hidrogel.

Jadi, ia amat sesuai untuk rawatan kaedah tampalan (patch) seperti koyok manakala bagi perubatan yang lebih moden, ia boleh diimplan dalam badan.

Untuk uji kaji ubat insulin menggunakan kaedah oral pula, mereka menggantikan bahan tersebut dengan protein yang dikenali sebagai bovine serum albumin (BSA).

Pelbagai eksperimen telah dijalankan dengan menentukan kestabilan ubat dalam hidrogel apabila dipanaskan selain menentukan kesesuaian saiz bulatan untuk dijadikan ubat oral.

"Sehingga kini, eksperimen menunjukkan ubat yang terkandung dalam hidrogel adalah stabil dan perubahan suhu tidak memberi kesan kepada bahan tersebut," kata Cairul.

Menariknya, salah satu uji kaji yang dijalankan oleh Naveed dengan menyejukkan hidrogel secara paksa melalui kaedah dingin kering telah menukarkan bahan tersebut menjadi seakan-akan gabus.

Pasaran luas

Antara penemuan lain mereka ialah ketika hidrogel tersebut berada dalam organ perut manusia. Kajian itu mendedahkan, ia akan membesar pada tahap maksimum tetapi ia sangat lembut seperti lengkong.

Bagaimanapun, ia mudah pecah apabila ada pergerakan dan secara semula jadi otot-otot perut akan sentiasa bergerak untuk menolak makanan yang dihadam ke dalam usus.

Pasaran hidrogel pada masa hadapan dalam bidang perubatan dan farmaseutikal diyakini amat cerah kerana ia mampu merubah kaedah rawatan yang diamalkan oleh pengamal-pengamal perubatan sekarang.

Sehingga kini, tidak ramai pemain industri yang menjadikan hidrogel sebagai produk utama mereka kecuali syarikat pengeluar produk membalut luka, Smiths & Nephews dan terbaru, sebuah syarikat tempatan, Icon Pharma Sdn. Bhd. juga fokus untuk menembusi pasaran tersebut.

Syarikat tersebut tidak menyasarkan penjualan secara kecil-kecilan seperti pembalut luka yang terdapat di rak-rak kedai farmasi tetapi ia bakal dijual secara pukal di institusi-institusi perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pharma Sdn. Bhd., Mohamad Faizal Abu Bakar, 26, berkata, luka terbakar, luka akibat terlantar terlalu lama atas katil, venous stasis dan semua jenis luka-luka sukar dirawat akibat diabetes bakal mendapat manfaat daripada kajian yang sedang dijalankan.

"Sebagai contoh, terutama di institusi-institusi perubatan kerajaan mereka masih lagi mengamalkan kaedah kering dan potong iaitu menukar balutan luka sehingga luka kering," ujarnya.

Namun, kaedah tersebut tidak praktikal kerana proses penyembuhan luka menggunakan konsep kelembapan untuk sembuh manakala rawatan luka terbakar pula adalah dengan memotong kulit pada bahagian lain untuk ditampal pada bahagian yang terlibat.

Para pengamal perubatan kini mahukan satu rawatan yang efektif tanpa pesakit perlu melalui kesakitan sebanyak dua kali ganda.

Hidrogel pula bahan yang mampu menyalurkan kelembapan berterusan supaya luka dapat disembuh tanpa balutan ditukar secara kerap. Ia juga mampu menjadi pemegang sel kulit yang dihasilkan di makmal untuk dilekatkan pada kulit.

Perkara tersebut diakui oleh Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai, Dr. Steven Chow bahawa hidrogel memberikan perlindungan yang terbaik pada bahagian luka dan mengekalkan kelembapan.

"Ia mengurangkan kadar kekeringan dan pembentukan kuping pada bahagian yang cedera. Ia sekali gus meningkatkan proses penyembuhan," terang Steven.

Bahan yang selalu digunakan untuk mengubat luka adalah sintetik polimer dalam bentuk gel pelekat yang mengandungi air atau helaian pembalut.

Tegasnya, penggunaan hidrogel tiada efek buruk yang ketara dan selamat digunakan.

sumber : www.kosmo.com.my

2 comments:

azizie said...

Bnda ni xelok ke?

nangit86 said...

bende ni elok, salah satu kaedah perubatan akan datang..cuma penggunaan dia mungkin tak meluas lagi.