Dadah 'alas kaki' RM3.9j dirampas

SEREMBAN . - Seorang lelaki warga India yang cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM3.9 juta mungkin menyangka tidak akan ditahan pihak berkuasa selepas dia terlepas daripada pemeriksaan keselamatan sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Ahad lalu.
Namun, tanpa disedari, dia sebenarnya termasuk perangkap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengesan suspek lain di negara ini.
Hasilnya, selain suspek berusia 37 tahun, JKDM menahan dua lagi suspek warga tempatan berusia 20 dan 55 tahun ketika urusan penyerahan dadah dilakukan di hadapan sebuah hotel murah di ibu negara, pukul 12 tengah malam semalam.
Timbalan Pengarah JKDM Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, lelaki India itu tiba di ibu negara dari Bangalore, India melalui LCCT pada pukul 10.30 malam, Ahad lalu.
Ketika pemeriksaan bagasi, pihaknya mendapati lelaki itu membawa 15 alas kaki yang dimasukkan di dalam sebuah beg.
"Hasil pemeriksaan kita dapati alas kaki itu terlalu berat dan hasil imbasan menunjukkan ada serbuk mencurigakan di dalamnya.
"Kita mengambil keputusan melepaskan lelaki itu dan pada masa sama pasukan khas ditubuhkan untuk mengekori suspek," katanya pada sidang akhbar di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hari ini.
Liah memberitahu, selepas keluar dari LCCT, lelaki tersebut terus ke sebuah hotel murah di ibu negara dan bertemu dua lelaki warga tempatan.
"Beberapa pegawai JKDM lalu menahan kesemua suspek. Kita percaya kesemua suspek sedang melakukan urusan penyerahan dadah di hadapan hotel berkenaan sebelum serbuan dilakukan," jelasnya.
Menurut Liah, selain menemui 15.6 kilogram syabu, pihaknya turut menemui tujuh gram dadah dipercayai syabu bersama wang tunai RM10,000 dalam dua kereta milik lelaki warga tempatan itu.
"Berdasarkan dokumen perjalanan kita mendapati lelaki warga India itu berulang-alik ke negara ini sebanyak tiga kali dalam sebulan sejak Mei lalu.
"Dengan tertangkapnya kesemua lelaki itu, kita percaya JKDM dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara ini," katanya.
Liah berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

0 comments: