Mengekalkan kuasa penyembuhan Laut Mati

PELANCONG datang berduyun-duyun memenuhi perairan laut biru yang tenang itu. Penghidap penyakit kulit juga hadir untuk mendapat manfaat daripada kandungan mineral di dalamnya.

Pada tahun 1970-an dan 80-an, terdapat sebuah hotel besar dibina di sepanjang pantai Israel malah, beberapa hotel terkemuka seperti Movenpick Resort & Spa turut dibuka baru-baru ini di bahagian sebelah Jordan.

Bagaimanapun paras airnya kini berubah mendadak. Selepas lima dekad, paras air di pantai itu menyusut lebih daripada 18 meter apabila Israel, Syria dan Jordan mula menggunakan sumber air di Sungai Jordan. Tujuannya bagi mengairi kawasan pertanian, sumber minuman dan mandi, sekali gus menyebabkan air sungai itu mengalir lesu sebaik sahaja tiba di Laut Mati.



Kemerosotan paras air juga menjejaskan keunikan ekosistemnya. Antaranya, jutaan burung yang tidak lagi berhenti di situ ketika proses migrasi dari Eropah dan Afrika. Begitu juga ratusan tumbuhan asal serta kambing gurun dan harimau haiwan yang menjadi penghuni setianya.

Situasi yang berlaku juga turut mengancam industri pelancongan yang bernilai berbilion-bilion dolar dan rangkaian hotel mewah yang semakin berkembang di kedua-dua perairan.

Biarpun begitu, Hilton Wordwide baru-baru ini mengumumkan untuk meneruskan projek pembinaan hotel baharu berkapasiti 285 bilik di perairan timur laut Jordan pada 2013 nanti.

Sebagai langkah penyelesaian, negara-negara yang terlibat seperti Israel, Jordan dan Palestin kini mempertimbangkan perlaksanaan pelan kontroversi bernilai jutaan dolar, membabitkan pembinaan terusan sejauh 110 kilometer bagi mengalirkan air dari Laut Merah ke Laut Mati.

Bagaimanapun, sesetengah pakar alam sekitar melahirkan kebimbangan mereka terhadap cadangan pembinaan terusan itu.


Mereka berpendapat ia boleh membawa bencana yang lebih buruk terhadap pantai yang semakin kering itu, mengubah warna biru laut menjadi susu dan mengeluarkan bau yang merbahaya. Sehingga kini, tiada tindakan dilakukan sehingga Bank Dunia melengkapkan kajian menyeluruh mengenainya.

Perubahan pesisir pantai

Tekanan juga meningkat terutama membabitkan cadangan bilionair hartanah Israel, Yitzhak Tshuva, yang terkenal di Amerika Syarikat disebabkan penglibatannya dalam projek pengubahsuaian New York's Plaza Hotel.

Beliau dan beberapa pelabur lain sebelum ini mencadangkan pembangunan yang seakan-akan Dubai di sepanjang terusan itu, lengkap dengan hotel-hotel, taman, lagun, pantai dan pusat hiburan.

Gidon Bromberg, Pengarah EcoPeade Israel secara terbuka bercakap mengenai impak alam sekitar ketika kami memandu ke arah selatan di sepanjang perairan Israel, melepasi Khirbet Qumran iaitu gua di mana kitab suci Hebrew Dead Sea Scrolls didakwa ditemui pada tahun 1947.

Ketika kami meneruskan perjalanan ke Kibbutz Ein Gedi, berhampiran pantai barat perairan itu, kami melihat garam-garam kristal membentuk batuan kristal berwarna-warni disebabkan tahap kemasinan air laut.

Di kawasan itu terdapat sebuah bangunan spa yang luas dibuka berhampiran laut sekitar tahun 1982 dahulu. Selepas 28 tahun, kedudukan bangunan itu berubah hampir satu kilometer dari pantai. Kini, terdapat trem khas yang membawa pengunjung-pengunjung dari bangunan itu ke pantai.

Jauh ke selatan, kami tiba ke kawasan menempatkan hotel-hotel yang menghadap pantai di pusat peranginan, dikenali sebagai Ein Bokek.

Sementara semua hartanah di situ dilihat seakan-akan menghadap ke arah Laut Mati, ia sebenarnya merupakan sebuah tasik buatan manusia dipenuhi air yang dipam dari hujung bahagian utara laut itu.

Lembangan itu sedalam 1.8 meter, oleh yang demikian, ia membolehkan proses penyejatan air tasik berlaku dengan pantas.

Dalam usaha melombong mineral-mineral yang terkumpul di bawahnya, paras air perlu di sentiasa ditambah, sehingga menyebabkan pinggir laut semakin hampir dengan hotel-hotel.

Pada masa yang sama, proses itu juga menghakis kandungan garam di dalam tanah, sekali gus menjejaskan binaan bangunan-bangunan di atasnya. Masalah itu dilihat semakin parah sehingga kerajaan Israel berhasrat untuk memindahkan sebahagian hotel terbabit ke seberang jalan.


Terdapat isu lain yang mendasari hotel-hotel yang baru dibina di sebelah bahagian laut di Jordan. Di Movenpick Resort & Spa, bekas pengurus perhubngan awamnya, Helene Leuenberger memberitahu penulis: "Pasir-pasir di sini sentiasa bercambah disebabkan perubahan paras air laut."

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tembok penghadang telah dibina bagi menghalang segala bahan binaan di pantai itu daripada terus dihakis air.

Saya mendapat tahu semua kerja-kerja dilakukan pada sebelah malam bagi mengelakkan daripada mengganggu pelancong. Panel-panel plastik dipasang bertujuan melindungi penglihatan terhadap jengkaut yang melakukan kerja-kerja mengangkut pasir.

Menurut penyelidik dari Jabatan Geologi Israel, Nadav Lensky, sekurang-kurangnya 200 juta gelen air diperlukan setiap tahun atau bersamaan satu pertiga daripada jumlah air yang digunakan di Israel untuk menghentikan kemerosotan air laut dan memastikan ia kekal pada paras semasa.

Sesiapa yang berpengalaman menikmati keindahan Laut Mati sebelum ini pastinya merasakan perlunya usaha segera dilakukan bagi menghalang kepupusannya. - AFP

sumber : www.kosmo.com.my
Post a Comment