Kanser daripada sel neuroendokrin

TUMOR neuroendokrin (NET) mungkin sesuatu yang asing bagi kita tetapi apabila pengasas Apple, Steve Jobs, 56, meninggal dunia akibat menderita penyakit itu, ia mula mendapat perhatian.
NET ialah ketumbuhan berasal daripada sel neuroendokrin. Ia dinamakan NET kerana sel itu berkemampuan membuat dan mengeluarkan beberapa jenis hormon yang mempunyai fungsi penting dalam badan. 
Ia boleh di mana-mana bahagian badan tetapi kebanyakan ketumbuhan ini berasal daripada sistem gastrointestinal iaitu usus, pankreas dan organ paru-paru. Satu cirinya ialah tumbuh sangat perlahan dan mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar.

Ada NET yang mempunyai gejala tetapi kebanyakan tiada gejala dan tidak dapat dikesan lebih awal. Kebanyakan kes hanya dapat dikesan selepas lima hingga tujuh tahun ia berlaku. Antara gejala NET ialah jika di gastrointestinal, ia menyebabkan pesakit mengalami sakit perut, cirit-birit dan penurunan berat badan. Jika berlaku di paru-paru, ia menyebabkan pesakit batuk, asma atau kahak berdarah.

Kebanyakan kes mungkin didiagnosis dan dirawat sebagai sakit biasa, iaitu doktor memberikan ubat untuk mengubati batuk atau cirit-birit meskipun penyakit itu berlarutan bertahun-tahun.
Ada sebilangan kes hadir dengan gejala lebih spesifik seperti pengeluaran hormon berlebihan daripada NET, selalunya daripada pankreas, contohnya jenis ketumbuhan yang mengeluarkan insulin dipanggil ‘insulinoma’.

Pesakit akan menghidap penyakit kekurangan gula atau ‘hipoglisemia’. Doktor akan membuat ujian untuk mengukur paras insulin dalam darah dan membuat imbasan di pankreas.

Ada juga gejala disebabkan ketumbuhan itu semakin membesar seperti bengkak atau benjolan yang menghimpit organ menyebabkan sakit. Ketumbuhan dalam usus menyempitkan usus, malah mungkin melarat ke organ lain terutama paru-paru, hati dan tulang, serta mengganggu fungsi organ terbabit.

Perunding Pakar Endokrinologi Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, berkata NET bukan penyakit baru tetapi kesedaran dan pengesanan mengenainya kini bertambah baik.

Kes NET berlaku empat kali ganda dalam tempoh 30 tahun. Kajian di Amerika Syarikat pada 2004 menunjukkan purata lima kes bagi 100,000 penduduk.

Jika dilihat pada graf, kes NET semakin meningkat dan faktor itu mungkin disebabkan doktor mengawasi dan pesakit cepat datang untuk rawatan.

“Diagnosis awal cuma dibuat selepas pesakit bertahun-tahun menderita sakit, misalnya cirit-birit atau gastrik. Tiada ujian spesifik untuk mengenal pasti penyakit ini. Ujian darah biasa tidak dapat mengesan NET.

“Bagaimanapun, ujian darah dipanggil CgA (chromogranin A) yang dilakukan boleh mengesan NET, malangnya fasiliti itu tidak banyak disediakan dan hanya boleh diaplikasi apabila ada gejala,” katanya.

Ujian air kencing 5 hydroxyindole asid asetik (5HIAA) juga boleh dibuat untuk mengesan NET tetapi jarang dilakukan. Ujian lain ialah endoskop, CT scan, pengimejan resonans bermagnet (MRI) dan pengimejan nuklear (somatostatin receptor scintigraphy).

Menurutnya, doktor di klinik biasa memberi perhatian terhadap penyakit ini dan merujuk pesakit kepada pakar.

Paling penting, katanya, kesedaran doktor dan orang awam terhadap penyakit ini supaya ia dapat dibendung lebih awal.

Kebanyakan pesakit datang bukan dalam keadaan tenat. Jobs misalnya, mendapat NET pada 2003 dan meninggal dunia selepas lapan tahun menghidap penyakit itu.

Sambutan hari kesedaran NET pada 10 November setiap tahun tetapi ini tahun kedua kempen di seluruh dunia. Objektif kempen ialah meningkatkan kesedaran diagnosis NET lebih awal bagi membolehkan pesakit mendapat rawatan lebih optimum.


Rawatan utama untuk NET:

1. Buang ketumbuhan itu sama ada di usus, pankreas, paru-paru atau hati — masalah utama ialah bagi 60 peratus pesakit, NET dikesan apabila ia merebak. Jika sudah merebak, pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan pesakit.

2. Embolization — menyekat saluran darah yang membekal darah ke ketumbuhan itu.

3. Radiasi — membakar ketumbuhan berkenaan yang tumbuh di hati. Jika sudah merebak, ia dipanggil kanser. Lebih separuh kes NET menjadi kanser.

4. Terapi perubatan — ubat yang boleh digunakan ialah menyekat hormon yang dikeluarkan oleh ketumbuhan itu, misalnya octreotide.

5. Kemoterapi.

6. Rawatan ubatan terbaru jenis ‘mTOR inhibitor’

sumber : harianmetro/ahad

0 comments: