SAKIT MENTAL bermula sejak kecil

KETAKUTAN... persekitaran tidak selamat mengganggu fikiran anak.

“SERONOKNYA jadi kanak-kanak, tiada masalah yang perlu difikirkan, pasti tidak tertekan.” Mungkin anda pernah mendengar atau anda sendiri yang meluahkan ayat sebegitu.
Ramai beranggapan, menjadi kanak-kanak sesuatu yang menyeronokkan kerana tidak perlu berfikir mengenai sesuatu yang berat dan hanya bermain dan berseronok.
Namun hakikatnya sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga mengalami tekanan emosi, malah bayi juga tidak terlepas menghadapi masalah sama.

Lebih membimbangkan, jika masalah itu tidak diatasi lebih awal, mereka mungkin mengalami masalah mental apabila dewasa kelak.Tekanan emosi boleh berlaku kepada kanak-kanak pelbagai peringkat usia dan tanda ditunjukkan mereka berbeza mengikut usia masing-masing.
BIMBINGAN... kemampuan menangani tekanan tidak wujud secara semula jadi dalam diri seseorang tetapi ia harus diterapkan sejak kecil.

Mengejutkan apabila hasil kajian dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan ciri gejala sakit mental dapat dilihat pada kanak-kanak seawal di bangku sekolah.

Kajian dilakukan di enam sekolah itu mendapati 17.1 peratus gejala kebimbangan dan 5.2 peratus kemurungan yang teruk, manakala 4.8 peratus mengalami tekanan perasaan.

Presiden Persatuan Sakit Mental Malaysia (MMHA), Datin Dr Ang Kim Teng berkata, gejala berkenaan adalah permulaan penyakit mental yang serius.

Katanya, kebanyakan pesakit mental di negara ini tidak menyedari mereka menghidapi penyakit itu sejak kecil dan keadaan menjadi lebih teruk sehingga dewasa apabila ia tidak dirawat.

“Peningkatan kes membabitkan pesakit mental ini berpunca daripada kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kesihatan mental, sebaliknya hanya merawat apabila ia menjadi teruk.

“Kemampuan menangani tekanan ini tidak wujud secara semula jadi dalam diri seseorang tetapi ia harus diterapkan sejak kecil,” katanya ketika ditemui di forum awam sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, baru-baru ini.

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Malaysia (WHO) memilih tema ‘Investing in Mental Health: The Great Push’.

Namun MMHA memilih untuk memberi fokus kepada tema ‘Nurturing Mentally Resilent Children and The Youth’ kerana golongan itu adalah masa depan negara.

Kesedaran mengenai kesihatan mental di kalangan golongan itu masih rendah dan ia dikatakan berkait rapat dengan latar belakang pendidikan rendah, keganasan dan kelemahan reproduktif dan kesihatan seksual.

Katanya, kanak-kanak yang mengalami gangguan mental sebenarnya dapat dilihat daripada sikapnya yang lebih suka menyendiri, kekurangan selera makan dan kelihatan lebih kurus.

“Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang gangguan kesihatan mental ini ialah faktor psikososial merangkumi aspek kekeluargaan, suasana di rumah dan sekolah dan juga aspek pergaulan.

“Ibu bapa perlu lebih peka untuk memantau jika berlaku sebarang perubahan pada anak mereka, sama ada positif mahupun negatif,” katanya.

Menurutnya, rekodkan perubahan mereka dan cuba kaji puncanya. Ia mungkin berpunca daripada persekitaran di rumah atau luar, pergaulan mahupun pergolakan dalam diri mereka sendiri.


Fakta mengenai sakit mental:

  • Kira-kira 14 peratus daripada beban penyakit global disebabkan gangguan neuropsychiatric (NPD). NPDs penyumbang terbesar dalam kategori penyakit tidak berjangkit

  • Dianggarkan 20 peratus daripada kanak-kanak dan remaja di dunia mempunyai gangguan mental atau masalah, dengan jenis penyakit yang dilaporkan di seluruh negara

  • Hampir 50 peratus daripada masalah gangguan mental dialami golongan dewasa sebenarnya bermula ketika remaja

  • Bunuh diri dikenal pasti punca ketiga di kalangan remaja

  • Kemurungan dikategorikan kesedihan berpanjangan yang mana mempengaruhi psikologi, tingkah laku dan fizikal

  • Secara purata 800,000 orang membunuh diri setiap tahun dan 86 peratus daripada mereka daripada negara berpendapatan rendah dan sederhana

  • Lebih 450 juta orang mengalami gangguan mental dan masalah mental


    Kemampuan untuk menangani tekanan tidak dimiliki semua orang, tetapi perlu disemai dan dididik sejak kecil dan ia bermula dari rumah hingga ke sekolah, seterusnya di tempat kerja.

    Cara seseorang itu menangani tekanan berbeza dan ia bergantung pada personaliti atau perwatakannya yang dibentuk sejak kecil.

    Setiap individu memang ada kebolehan untuk mengatasi kelemahannya, begitu juga kanak-kanak yang mengalami proses tumbesaran dan ketika ini pemikirannya mudah dibentuk melalui pendidikan dan contoh positif.

    Bagi golongan dewasa, keupayaan berfikir dengan tenang dan kecekapan menganalisis sesuatu keadaan untuk mendapat kaedah penyelesaian wajar ialah cara berkesan mengatasi atau mengurangkan tekanan emosi.

    Seseorang yang sering resah dan mudah berasa gentar apabila menghadapi sesuatu masalah sewajarnya mengubah sikapnya supaya dapat mengelak dirinya dibebani tekanan.

    Berbeza dengan kanak-kanak, mereka tidak mampu memotivasikan diri sendiri bertindak sedemikian, sebaliknya memerlukan orang lain bagi membantu mereka.

    Tabiat kurang sihat dan negatif sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi, cara pemikiran dan kemampuan mereka untuk mengelak berdepan tekanan.

    Untuk mencegah masalah gangguan mental, ia perlu dilakukan sejak kanak-kanak dengan mengambil kira tiga peringkat iaitu peringkat faktor risiko, perlindungan dan penentu kesihatan.

    Ia sebenarnya memudahkan kita untuk mendidik dan pada masa sama mengenal pasti elemen yang boleh menyebabkan berlakunya masalah itu. Antara elemen berkenaan ialah:


  • Faktor perlindungan:

  • Kemahiran sosial

  • Keharmonian keluarga

  • Persekitaran sekolah yang positif

  • Unsur positif ketika di alam kanak-kanak

  • Persekitaran ketika dalam masyarakat


    Faktor risiko:

  • Persekitaran tidak selamat bagi bayi dan kanak-kanak

  • Keganasan dan konflik keluarga

  • Persekitaran sekolah yang tidak memuaskan

  • Unsur negatif ketika di alam kanak-kanak


    Penentu kesihatan:

  • Kediaman yang selesa

  • Keadaan tempat kerja

  • Pengagihan pendapatan

  • Sokongan sosial

  • Kebebasan daripada keganasan dan diskriminasi


    Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memupuk kesedaran ini kerana tekanan emosi boleh dialami sesiapa tanpa mengira usia.

    Ibu bapa perlu memahami dan mengenali ciri tekanan emosi di kalangan anak mereka dan seharusnya meneliti punca yang menyumbang ke arah perkembangan masalah itu.

    Jika dibiarkan, ia bukan hanya membiarkan anak mereka membesar dengan gangguan masalah mental yang serius, tetapi boleh membahayakan orang lain dan masyarakat.                                                                                                                     Sumber : harianmetro,ahad,6 Nov 2011
  • Post a Comment