Permainan di dunia khayalan Hollywood



PETANG itu, saya cuma ada lima jam. Ya, hanya lima jam untuk merasai keseronokan kembali menjadi kanak-kanak di taman tema paling mengagumkan di Asia Tenggara, Universal Studios Singapore (USS).
Terletak dalam kawasan gabungan empat buah hotel di Resort World Sentosa (RWS) Singapura seluas 49 hektar, USS menggamit semua pengunjungnya dengan glob biru tulisan Universal Studios berwarna emas yang gah itu.
Lengkap dengan asap di bahagian bawahnya, ia berjaya membangkitkan rasa kagum dan dramatik. Bagaikan satu ritual pula, semua pengunjung pasti merakamkan gambar di sana. Mungkin sebagai tanda bahawa mereka pernah menjejakkan kaki ke taman tema yang sudah menarik lebih dua juta pengunjung walaupun baru dibuka pada Januari 2010.
Melepasi tempat pemeriksaan tiket, saya berdiri tegak meneliti kota khayalan yang dibina penuh teliti. Bangunan di kiri dan kanannya berwarna-warni mengangkat tema Hollywood Boulevard pada era 1970-an dengan struktur seni bina yang dinamik bersama pohon-pohon palma.
Kalau mahu berangan seperti berada di Walk of Fame Hollywood, majukan langkah ke sebelah kiri. Di sana, nama-nama bintang seperti Audrey Hepburn disimen di lantai dalam ruang berbentuk bintang berwarna merah jambu. Satu pengiktirafan yang sangat didambakan oleh golongan selebriti di Hollywood.
Laluan sepanjang 21 meter dari pintu masuk itu turut menempatkan beberapa kedai menjual cenderamata, coklat dan restoran. Harganya? Masih boleh dianggap berpatutan, jika anda pejam mata dan tidak terlalu kerap mengira tukaran mata wang dolar Singapura kepada Ringgit Malaysia (RM) di dalam kepala.
Lokasi wajib
Saya memilih untuk meneruskan penerokaan USS dengan berjalan ke arah bangunan yang memaparkan kota New York pascamodenisasi pula. Di sana, ada beberapa lokasi yang wajib dikunjungi.
Antaranya ialah studio Lights! Camera! Action! Hosted by Steven Spielberg. Pengunjung pasti terpegun dengan kehebatan sebuah studio kecil yang sarat dengan pelbagai kesan khas dan diubah dengan sempurna untuk menjadi satu latar belakang suasana ribut hurikan akan melanda bandar raya New York.
Bagi mereka yang sukakan lagu-lagu lama pula, tunggu persembahan nyanyian secara langsung yang diadakan di Stage 28. Kalau lapar dan ingin merasa hidangan burger yang enak dengan dekorasi tahun 1950-an, masuk sahaja ke dalam Mel’s Drive-in. Sebelah Stage 28 sahaja.
Selesai menjamu selera, kalau bernasib baik, anda akan terserempak dengan karekter-karekter filem terkenal. Si beruang panda Po, dari filem Kung Fu Panda, Woody Wood Pecker, makhluk Frankenstein, aktres Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Beetlejuice dan Betty Boop sudah bersedia untuk bergambar dengan anda.
Mahu menguji kemampuan vokal hingga ke tahap lapan oktav? Apa kata cuba roller-coaster yang terletak dalam wilayah Battlestar Galactica. Sama ada Battlestar Galactica: Human atau Battlestar Galactica: Cyclon, kedua-duanya pasti membuatkan sesiapa sahaja kecut perut.
Boleh dikatakan bahawa roller-coaster itu adalah yang terbaik pernah saya naiki setakat ini. Jadi, ia adalah lokasi paling ideal untuk melepaskan tekanan selepas dimarah bos atau sekadar mahu mengubat hati yang lara. Biarpun begitu, permainan tersebut tidak dicadangkan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Bukti paling nyata, seorang rakan muntah hijau selepas mencubanya.
Memandangkan ia merupakan roller-coaster berkelajuan tinggi atau lebih tepatnya boleh mencecah sehingga 90 kilometer sejam, aspek keselamatan amat diambil berat. Pengunjung tidak dibenarkan untuk memakai selipar, cermin mata, beg atau benda-benda yang berkemungkinan boleh tercabut ketika sedang sibuk menjerit.
Jangan bimbang jika anda tidak berteman dan tiada orang yang boleh menjaga beg. Tidak jauh dari situ ada lokar-lokar yang dikunci secara elektronik. Hanya perlu masukkan nombor tarikh lahir dan pilih warna kegemaran untuk mengunci dan membukanya.
Namun, pastikan tempoh setiap kali penggunaannya tidak melebihi 45 minit. Jika terlebih, caj sebanyak $3 dolar Singapura (RM7.30) akan dikenakan.
Jika ternampak lelaki ala-ala Arab tidak berbaju dan tingginya lebih sekali ganda manusia biasa, itu bermakna anda sudah sampai ke kawasan Ancient Egypt. Mengangkat tema Zaman Emas Eksplorasi rakyat Mesir sekitar tahun 1930-an, pengunjung boleh merasai sendiri keterujaan pengembaraan dalam filem francais, The Mummy menerusi roller-coaster yang diberi nama Revenge of the Mummy: The Ride.
Pada hujung minggu khususnya, jumlah pengunjung USS berlipat kali ganda berbanding hari biasa. Jadi menunggu untuk mencuba sesuatu permainan kadangkala boleh mencecah satu jam. Jadi, ada dua cara boleh anda aplikasikan.
Pertama, berjalan seorang atau kalau bersama pasangan sekali pun beritahu sahaja anda datang seorang. Kalau taktik itu masih tidak berjaya sepenuhnya, beli sahaja tiket Express yang berharga $48 dolar Singapura (RM118). Percayalah, ia sangat berbaloi.
Teruskan fantasi anda dengan memasuki istana di Far Far Away. Di sana, anda berpeluang menonton tayangan empat dimensi (4D) Shrek 4-D Adventure.
Ia bukan tayangan filem 4D biasa kerana lengkap dengan semburan air apabila watak si keldai dalam animasi Shrek itu bersin. Malah, kaki anda terasa dirayap oleh labah-labah apabila makhluk menggelikan itu muncul di atas skrin.
Itu hanya sebahagian kecil daripada keseronokan yang boleh diperoleh pengunjung jika bertandang ke USS. Pendek kata, kalau masa yang ada begitu, terhad baik lupakan sahaja. Datang sahaja awal pagi keesokan harinya dan cuba semua permainan yang ada.
Ini kerana USS ditutup pada pukul 7 malam. Memang agak awal untuk sebuah taman tema yang mempunyai begitu banyak tarikan. Apatah lagi bayaran yang dikenakan adalah sekitar $32 (RM78) hingga $72 dolar Singapura (RM177) untuk pas satu hari bergantung kepada waktu puncak atau tidak, selain kategori umur.
Jika anda masih enggan meninggalkan RWS, hadirkan diri menonton pertunjukan animatronik yang dipanggil crane dance (tarian kren).
Keliru? Ia sebenarnya merupakan gabungan persembahan skrin gergasi, kren dengan pancuran air, muzik serta pancaran lampu. Jangan main-main. Ia adalah hasil karya pemenang empat kali Anugerah Emmy, Jeremy Railton dan direka khas untuk RWS.

0 comments: